HADIAH
Kini kehidupan aku dan Arman sudah kembali normal. Aku merasa diriku amat bahagia kerana disayangi oleh semua ahli keluarganya. Oleh kerana aku masih tidak bekerja sebagai peguam, Umi ajar aku memasak hidangan Melayu. Dia puji aku selepas memasak, walaupun aku tahu tak sesedap masakan dia.
Orang kampung pula, apabila bertemu di pasar, tak berhenti-henti memuji aku kerana menolong mereka menghalang syarikat yang mahu menukar hutan kepada ladang Musang King. Sedangkan yang banyak buat kerja sebenarnya Abang Ezhar dengan Abang Zarif. Tetapi sebab aku yang kena serang sampai hampir lumpuh dan bisu, maka pujian orang kampung melimpah ruah kepada aku.
Kira sudah macam lembu punya susu, sapi dapat nama.
Sekarang mereka boleh masuk ke dalam hutan untuk mencari gaharu dan madu tualang.
Jambatan ponton sudah dimusnahkan oleh polis. Tiada lagi kerbau kaki pendek merayap-rayap di kampung ini.
Hari ini lepas solat Jumaat dan makan tengah hari, Arman terus bersiap untuk keluar. Aku perhatikan dia. Sikit pun dia tak ajak aku. Aku tanya dia nak ke mana, dia senyum sahaja.
Dia pakai jaket and ambil helmetnya. Aku ikut dia ke pintu. Dia cium aku di dahi, pakai helmet dan terus pergi.
Sejak aku sudah boleh berjalan tanpa tongkat, Arman tak pernah tinggalkan aku keseorangan di rumah. Lepas majlis resepsi kami, lagi kerap dia bawa aku ke sana-sini. Hampir semua rumah saudara maranya yang tinggal di Kampung Seri Bahagia sudah kami singgahi. Rupanya begitu adat mereka. Orang baru kahwin hendaklah berjalan ke rumah saudara mara.
Tetapi hari ini dia keluar sendiri.
Sampai lepas maghrib, dia tak pulang. Aku jadi risau. Aku WhatsApp, cuma dapat blue tick, tapi tak jawab.
Malam itu aku, Umi dan Sarah makan bertiga. Kata Umi, Walid pergi kenduri doa selamat di surau.
Aku mula muncung mulut sebab Arman tak pulang. Ingat suka ke dapat blue tick?
Tiba-tiba Arman peluk aku dari belakang dan aku dihujani dengan ciumannya.
Aku geram betul bila kena serang hendap begini. Dia berkali-kali buat begitu. Dan aku sentiasa tewas.
Aku terlalu bagi muka kepada Encik Suami.
Kerana katanya dia cintakan aku. Bagi aku itu sudah cukup untuk mempercayainya. Siapa suruh kahwin dengan lelaki terlebih yakin ini? Pilihan sendiri kan?
Tetapi kali ini aku letak tangan di dadanya bagi menjarakkan diri aku daripada dia.
"Abang pergi mana?" soalku.
Dia beri senyuman manis.
Aku keraskan hati.
"Cakap! Abang pergi mana?" Kening mula aku kerutkan.
Dia ambil satu beg kertas di atas meja dan hulurkan kepada aku.
Tindakannya buat aku tercengang. Aku keluarkan isi beg. Sehelai jaket kulit dan sepasang sarung tangan kulit.
Semakin aku tercengang.
"Merata abang cari desain dan saiz yang sesuai," katanya.
Lalu dia pakaikan jaket kulit itu. Muat-muat badan aku. Sarung tangan pun muat.
"Pandai abang cari." Aku puji dia.
Terus dia tunjuk ke pipinya. Hmm . . . minta hadiah le tu.
Aku bagi dia kucupan sekilas.
"Thank you abang. Nak ke mana pakai jaket dan glove kulit ini?"
Dia tunjuk pipi sebelah lagi. Eh! Mengada-ngada pula Encik Suami ni. Sudah le taknak bercakap.
YOU ARE READING
RINDU KAMILAH
RomanceBLURB: Puspa Kamilah - peguam. Merindui bekas banduan akhir yang berjaya dilepaskannya daripada tali gantung. Peribadinya seindah namanya, begitu berdedikasi mendidik remaja menghindari dadah dalam sukan. Tetapi diri sendiri menjadi mangsa kartel da...