WTLHM 10

1.3K 60 4
                                    

" Pesonamu mengetuk pintu hati hingga aku membukanya untukmu" - Elleora Eunice

Beberapa hari kemudian

Elleora mengunjungi lagi pusara Andre. Seperti biasa, dia membawa jambangan bunga carnation putih dan kekwa kuning. Dia melangkah dengan longlai. Mengunjungi pusara Andre bukan perkara mudah baginya. Setiap memandang pusara yang tanahnya masih merah, hati Elleora terasa disiat-siat. Tidak hanya sekali dia membayangkan Andre bergelut dengan luka dan kesakitan yang akhirnya meregut nafas terakhirnya.

Dari jauh, Elleora melihat seseorang sedang berdiri di tepi pusara Andre, membelakanginya. Elleora berhenti melangkah. Dadanya berdegup kencang. Diperhatikannya sekelilingnya. Sepi. Hanya dia dan lelaki itu.

"Siapa dia?" hatinya bertanya. Elleora ragu untuk melangkah. Hinggalah setelah beberapa detik, lelaki itu berpaling. Dia sama terkejut seperti Elleora. Tetapi dia melangkah hingga  langkahnya terhenti di hadapan gadis itu.

"Elleora Eunice, " sapanya menyebut nama panjang gadis itu. Elleora menurunkan alisnya. Lelaki itu tahu namanya. Tetapi dia rasanya tidak mengenali lelaki itu.

"Bagaimana anda tahu nama saya?" soalnya penuh curiga. Lelaki itu tersenyum ramah.

"Adythia Surya," dia menghulurkan tangannya. Elleora cuma memandang tangan yang terhulur tanpa berniat menyambutnya. Akhirnya, masih dengan senyuman Adythia menjatuhkan tangannya di tepi tubuh.

" Nampaknya tunang Elleora... oh, maaf... nampaknya arwah Andre nggak pernah cerita tentang saya," sekali lagi Elleora terkesima. Lelaki itu bukan orang sini. Dari bahasanya Elleora tahu lelaki itu pasti berasal dari negara jiran.

"Apa hubungan anda dengan Andre," tanya Elleora. Panas matahari terasa membakar atas kepalanya. Peluh mula menitis dari dahi hingga menuruni pipi dan meleleh hingga ke lehernya.

Lagi-lagi lelaki itu senyum. Sebelah tangannya menarik sapu tangan dari saku seluarnya. Tanpa permit, tanpa sempat Elleora cegah, sapu tangan itu telah menyapu kulit lehernya. Mata Elleora terbeliak tidak percaya.

"Maaf, lebih baik Elleora cepat. Matahari sebentar lagi akan jadi semakin panas," katanya.

Mengiyakan, Elleora melangkah melewatinya. Mungkin efek dari tindakan Adythia membuatnya tidak mahu bertekak lebih lama dengan lelaki itu.

Elleora melihat jambangan bunga yang ada di pusara Andre. Persis dengan jambangan bunga yang beberapa kali disingkirkannya dari pusara Andre. Kini dia pasti siapa pengunjung misteri pusara mantan tunangnya itu.

"Jadi anda yang selalu mengunjungi pusara Andre?" Elleora berpaling pada lelaki itu, yang kini berjarak lebih kurang dua meter darinya. Lelaki itu mengangguk.

"Sebenarnya itu nggak bisa dibilang sering, Yora. Ini kali kelima aku ke sini." Adythia menyeka peluh di dahi dengan jarinya. Elleora menggeleng perlahan. Matanya mengerling sapu tangan yang masih berada di tangan kiri Adythia.

"Ini..." dia menayangkan sapu tangan itu.

"Ada peluh gadis cantik di sini. Aku tidak mahu memakainya. Kusimpan, biar nanti bisa jadi kenangan," katanya.

Lelaki pelik, kata hati Elleora. Dia meletakkan bunga yang dibawanya bersebelahan bunga yang dibawa oleh Adythia. Tidak seperti biasanya, kehadiran lelaki bernama Adythia menyebabkan Elleora hanya menitipkan doa pendek untuk Andre. Hanya memohon agar lelaki itu ditempatkan di tempat yang terbaik di syurga.

When Two Lonely Hearts Meet ✔️Where stories live. Discover now