BAB 5

209 35 11
                                    

"Semua sudah siap kemas, Hanis?" Hanis yang sedang zip beg bajunya berpaling ke arah mamanya yang sedang membuang sampah sarap dan mengikatnya kemas.

"Sudah, mama." Hanis menjawab ringkas sebelum menepuk - nepuk beg bajunya yang sudah selesai dizip itu. Ayahnya yang berada di situ cuba mengambil beg itu. Hanis menahan ayahnya daripada mengambil beg itu.

"Eh, tak apalah ayah. Hanis boleh bawa." Hanis berkata - kata sambil tersenyum nipis. Kalau boleh, dia tidak mahu menyusahkan lagi ayahnya itu. Ayahnya datang ke sini semata - mata untuk menjemputnya pulang sahaja sudah menggembirakannya. Dia tahu, ayahnya mempunyai kerja yang berlambak di pejabat. Tetapi, lelaki itu sentiasa memastikan Hanis tahu bahawa dirinya tidak melupakan gadis itu.

"Tak apa. Ayah bawakan. Lagipun, Hanis kan baru keluar hospital hari ni. Badan Hanis tak boleh buat kerja sangat sekarang ni. Bukannya berat sangat pun beg Hanis ni." Dato' Yhaya berkata sambil tersenyum ke arah anak gadisnya. Tangannya mencapai beg tersebut dan dibawa bersamanya. Hanis akur dan membiarkan ayahnya membawa beg tersebut walaupun dia kurang senang kerana tangannya kosong ketika itu.

Langkah mereka bertiga dibawa ke sebuah kereta yang sudah pun menunggu mereka berdekatan dengan lobi. Mereka bertiga melangkah masuk dan kenderaan itu memulakan perjalanan mereka ke kediaman mereka.

"Hanis ada nak singgah mana - mana atau nak beli apa - apa sebelum kita sampai rumah?" Datin Maria bertanya, memecah kesunyian. Hanis terdiam sebelum menjawab.

"Kalau untuk beli apa - apa, tak ada rasanya. Tapi, kalau boleh, Hanis nak pergi dekat satu tempat ni sebelum sampai ke rumah." Hanis berkata perlahan sambil matanya ke bawah. Dato' Yahya dan Datin Maria hairan melihat respon dari satu - satunya puteri mereka itu.

"Hanis nak pergi mana?" Dato' Yahya bertanya. Hanis masih diam beberapa ketika. Mereka berdua diam, sabar menunggu jawapan dari Hanis.

"Hanis nak lawat kubur arwah papa." Dia menjawab perlahan, namun jelas didengari oleh kedua orang tuanya itu. Seketika, suasana di dalam kereta itu menjadi sepi. Datin Maria mengelus bahu anak perempuannya lembut.

"Boleh. Nanti mama turun sekali dengan Hanis, ya." Jawapan Datin Maria membuatkan Hanis tersenyum lebar sebelum melemparkan dirinya ke dalam pelukan wanita itu. Wanita itu memeluk kembali gadis itu. Belakangnya digosok tanda memberi kekuatan.

Dato' Yahya yang melihat kejadian itu, tersenyum senang. Sejak dari kematian papanya, Hanis sering kali menolak untuk melawat ayah kandungnya. Dia tahu perkara itu memberi impak yang sangat besar bagi gadis itu. Isterinya ada juga mengatakan bahawa Hanis sangat rapat dengan arwah papanya.

Apabila berita berkenaan pemergian papanya tersebar, Hanis hanya terkurung di dalam biliknya dan menangis sepanjang hari. Malah kesedihannya semakin bertambah apabila mereka berdua disatukan. Dia tidak menyalahkan Hanis tentang itu. Mungkin sebahagian daripada perkara yang terjadi merupakan salahnya. Kerana itu, dia sangat gembira melihat perubahan yang sedang berlaku di hadapan matanya sekarang.

Tapi, dia tahu semua ini hanya sementara. Apabila ingatan Hanis sudah pulih, kemungkinan besar dia akan kembali kepada sikapnya yang dahulu. Jadi kalau boleh, dia mahu mencipta pelbagai memori indah bersama anak tirinya itu selagi boleh.

Dato' Yahya hanya mampu berdoa agar masa mereka bersama dapat dipanjangkan dan berkekalan sehingga akhir hayat mereka.





"Betul kau tak nak bagitahu aku apa yang sudah jadi sekarang ni?" Arif memandang tepat ke arah wajah Imani. Imani yang melihat wajah serius hanya mampu mengalihkan pandangannya. Takut rahsianya akan terbongkar tanpa dirinya sendiri menyedari akan hal itu. Dirinya berdehem kecil sebelum memulakan bicara.

Secret Identity : MEMORY [BOOK 2]Where stories live. Discover now