MEMORI YANG HILANG (2)

66 3 0
                                    


Dalam perjalanan untuk pulang ke rumah, Azzim sempat singgah di stesen minyak Caltex di Jalan Pudu. Dan sepanjang itulah fikirannya tidak dapat tidak untuk berhenti berfikir mengenai perihal vampire yang diceritakan Phoenix tadi.

Dia mengerti dengan segala apa yang dimaksudkan Phoenix, tapi untuk mencernakan semuanya dalam beberapa jam untuk menerima semuanya masih susah untuk Azzim. Rakan sekerjanya Fizi baru meninggal dan dia sendiri memang mengesyaki kalau itu memang perbuatan vampire. Terlupa pula untuk bertanyakan Phoenix akan hal itu; kalau-kalau Phoenix tahu sesuatu mengenai kes kematian arwah Fizi.

Ah, lepas tu pasal vampire lelaki yang bernama Kai pula. Rupanya malam semalam dia sudah ditanda di lebuhraya Sultan Ismail tu. Dan kalau pun Kai ni mungkin ada motifnya sendiri mengapa dia melepaskan Azzim dari jadi protégé-nya, itu tidak bermakna dia tidak akan datang balik kepadanya bukan?

Dia jadi takut semula sendirian. Jalan Pudu Ulu ini pun kelihatan lengang dari biasanya. Dia fokuskan matanya ke hadapan. Ada sebuah dua kereta dari belakang memotongnya, tapi semuanya memecut laju. Ada orang yang masih lalu lalang di tepi jalan, menyeberangi jalan raya dan ada barisan teksi dengan pemandu-pemandunya yang lepak sesama mereka, berborak-borak sambil merokok.

Dia tahu yang dia sepatutnya rasa lega sedikit dengan orang yang masih ada wujud di sepanjang jalan raya. Suasana dan tiang lampu elektrik yang menemani perjalanannya pun tidak semalap di lebuhraya Sultan Ismail malam semalam, tapi dia masih tidak dapat menghindari rasa takutnya.

Dan besok pula dia akan mula bekerja shift malam, menggantikan arwah Fizi. Kak Amy sudah memberitahunya yang dia terpaksa kerja shift malam, sehinggalah ada staf baru untuk pharmacy department.

Dia rasa sangat vulnerable mengetahui yang kawasan KL ini ada vampire yang bebas berkeliaran di tengah malam mencari mangsa. Azzim tidak rasa selamat. Nalurinya kuat mengatakan yang dia akan bertemu lagi dengan Kai selepas ini.

Di tempat kerja pun sama. Azzim sendiri rasa seram memikirkan yang arwah Fizi mati dibunuh di dalam tandas yang hari-hari dia dan rakan sekerjanya pakai. Arwah Fizi mati dibunuh vampire dengan cara sadis, dengan lehernya yang hampir terputus dari badan. Dia tidak akan selamat di sana dan dia boleh jadi mangsa seterusnya selepas Fizi.

"ALLAH!"

Azzim terkejut apabila dia merasakan ada sepasang mata violet bercahaya tepat di hadapannya dalam tempoh kurang dari sesaat tadi.

Dia pasti itu memang seekor vampire. Walaupun hanya melihat dalam sekali imbas, dia dengan jelas-jelasnya dapat menangkap gambaran pemilik mata violet itu menyeringai dengan barisan gigi taring yang penuh di mulut, tak ubah seperti mulut seekor ikan jerung.

Motosikalnya kini sudah memasuki kawasan berbukit dalam jarak lima kilometer ke kawasan rumahnya di Pandan Height. Suhu di sekitarnya mulai menurun dan hatinya sudah tidak rasa sedap. Ada seekor dua vampire yang sedang menyakat atau bermain-main dengannya sekarang.

Kai matanya biru, Phoenix pula hijau. Tapi sepasang mata itu tadi berwarna violet; ungu. Dia istighfar, ketakutan di dalam dirinya makin menguat sendirinya tanpa dia dapat kawal.

"Ya Allah, selamatkan aku!"

Azzim nekad untuk memecut laju motornya walaupun masih dalam keadaan menaiki bukit, tapi beban berat membuatkan dia terpaksa menundukkan badannya; motor ini rasa semakin berat.

Dia mendecit apabila ternampak wajah lelaki yang kurang jelas sedang berlari, ataupun lebih tepat lagi, sedang melayang menyaingi kelajuan motornya. Mata mereka berdua bertentang tepat dan kini Azzim tahu, lelaki inilah pemilik mata violet tadi.

INFINIT (Siri Vampire Infinit Pertama)Where stories live. Discover now