Enam hari berlalu setelah Kai pindah ke rumahnya. Kes pembunuhan arwah Fizi masih belum berjawab dan sudah ada berita rantaian kematian yang hampir serupa terjadi yang keluar di dalam berita TV, suratkhabar dan media sosial semenjak itu.
Sebelas kes kematian selepas kematian arwah Fizi menjadi momokan warga Kuala Lumpur. Macam-macam yang dia baca di media sosial; banyak spekulasi dan ada yang menebak persoalan dengan tepat, tapi selain Doktor Aqilah, Azzim rasa hanya dia yang tahu kisah sebenarnya.
Melalui Kai, Azzim kini tahu yang pembunuhan itu semua dilakukan oleh pengikut-pengikut Nahlia, musuh Kai. Dia merancang kesemua pembunuhan ini untuk memberitahu Kai yang dia ingin merampas kawasan Kuala Lumpur. Tapi menurut Phoenix pula, ini semua kerja Fattah bersama Lirun.
Dan sehingga sekarang, Azzim masih belum jelas apa sebenarnya motif yang mendorong vampire yang bernama Nahlia, Fattah dan Lirun itu semua untuk merampas kawasan milik Kai dan Phoenix. Dia pelik, betapalah luas dunia ini, mengapa ketiga-tiga ekor vampire yang tidak dikenalinya itu semua ingin juga mahu menakluki Kuala Lumpur?
Kai sering mengelak dari menjawab soalan-soalan darinya dengan alasan, Azzim tidak perlu tahu banyak sangat, sebab tidak berkepentingan apa pun untuk dia tahu; sama seperti alasan yang diberikan Phoenix sebelum ini.
Doktor Aqilah juga tidak banyak membantu. Azzim pun jarang dapat bersembang dengan doktor itu sekalipun dalam tempoh seminggu ini, mereka bekerja dalam shift yang sama. Doktor Aqilah pun hanya mengulang amaran yang sama; hati-hati dengan Kai dan pastikan kalau dia hendak ke mana-mana, dia mesti ditemani Kai.
Dan tinggal serumah dengan Kai dalam tempoh seminggu itu juga bukan mudah buat Azzim. Walaupun secara teknikalnya, Kai itu sudah berusia 42 tahun, hakikatnya dia lebih berperangai kebudak-budakkan dari Azzim.
Ada masanya Kai baik, sangat protective dengan Azzim; seperti seorang abang. Azzim yang tidak pernah ada abang seumur hidupnya, memang tidak biasa diperlakukan sebegitu. Kai memang ambil berat padanya, tetapi apabila sampai ke tahap yang terlalu mengongkong dengan pelbagai peraturan yang tidak masuk akal, dia jadi rimas.
Hendak keluar di siang-siang hari pun susah, sehingga Azzim sudah letih untuk berperang mulut dengan Kai dan dia banyak mengalah, melayankan karenah Kai. Dan vampire itu juga selalu panas baran dan akan hilang sabar kalau dia turutkan juga kepala batunya sendiri.
Selama ini Azzim hidup bersendirian dan dia tidak perlu untuk meminta kebenaran dari sesiapa pun untuk buat apa saja yang ingin dilakukannya. Tapi kini dia mulai rasa terbatas, walaupun pada masa yang sama dia rasa senang yang dia sudah ada seseorang yang dia boleh panggil sebagai kawan.
Kai selalu mengatakan yang Azzim ini degil, tapi hakikatnya, Azzim merasakan Kai itu yang degil sebenarnya. Apa saja pendapat dan perintahnya mesti dipersetujui dan diikuti Azzim, tanpa sebarang kompromi.
Dan dalam tempoh seminggu ini, memang banyak pergaduhan yang terjadi antara mereka berdua, dari sekecil-kecil hal, hinggalah sebesar-besar masalah. Tapi Kai juga pandai memujuk dan suka melayani Azzim seperti anak kecil, atas alasan yang dia ambil berat atas keselamatannya.
Dengan lesen terikat dengan vampire itu dari darahnya sendiri, dia cuba untuk menyesuaikan diri. Dan kalau inilah harga yang terpaksa dia bayar untuk mendapatkan seorang kawan yang dia boleh harapkan, mahu tidak mahu, dia harus terima. Tapi bukan dalam tempoh yang sekejap seperti ini. Ini semua rasanya terlalu drastik buat Azzim untuk diambil sekali harung.
Dalam tempoh seminggu itu juga, Azzim sudah tidak nampak lagi bayang Phoenix. Dan apabila perkara ini diutarakan pada Kai, Kai merasakan itu perkara yang bagus. Kai dengan jelasnya tidak suka dia rapat dengan Phoenix.
YOU ARE READING
INFINIT (Siri Vampire Infinit Pertama)
VampireAmirul Azzim, seorang pembantu farmasi yang baru dua minggu bekerja di sebuah hospital, telah ditanda oleh seekor makhluk penghisap darah yang bernama Kai. Maklumat ini diketahuinya oleh seorang gadis aneh yang bernama Phoenix. Semua ini terjadi set...