KEHILANGAN KAI

42 0 0
                                    


"Masalahnya, bukan sebab saya tak nak kesiankan awak. Saya ni pun ada keluarga, ada anak-anak kecik yang masih sekolah lagi. Saya pun nak kena pakai belanja, nak bayar bil api, bil air, makan minum saya hari-hari dengan anak-anak~"

"Saya faham Kak Fifah, saya mintak maaf. Tapi kalau boleh tunggulah sampai suami saya balik dulu. Dia outstation sekarang ni, dah empat hari tak balik~"

"NAK TUNGGU BERAPA LAMA LAGI?"

Tersentak dia dibuatnya dengan jeritan nyaring Kak Fifah, wanita India Muslim separuh baya, yang juga tuan rumah yang kini disewa Andrita dan Khairullah.

"Kamu tau tak, rumah saya jauh? Saya datang sini naik motor, naik tingkat tujuh nak kutip duit sewa rumah. Bila sampai kat sini, macam ini jawapan awak dekat saya. Tiga bulan sewa rumah ni dah tertangguh. Boyfriend kamu tu pun tak pernah nak telefon saya lepas kali pertama dia bagi saya deposit untuk rumah ni~"

"Itu suami saya kak, bukan boyfriend~"

"Saya peduli apa! Awak ingat saya ni bodoh sangat ke? Menengok muka awak ni pun saya boleh tau, yang awak ni bawah umur lagi. Apa lagi boyfriend awak tu, nampak sangat muka budak-budak!"

Suara Kak Fifah yang meninggi berdiri di hadapan pintu rumah itu memang menarik perhatian jiran-jiran di kiri kanan rumah untuk menjengah kepala dari pintu rumah mereka, ikut menyibuk sekali. Ada juga yang tak segan silu, datang sekali ikut berdiri di depan pintu rumah Andrita, ingin mencari tahu apa sebenarnya yang dibising-bisingkan oleh si tuan rumah ni.

"Saya ni bukan kejam. Saya ni ada jugak perasaan kesian kat awak, sebab awak tu tengah mengandung. Tapi kalau saya kesiankan awak, siapa nak kesiankan saya?"

"Tolonglah saya Kak Fifah, sekurang-kurangnya sampai hujung bulan ni, bila suami saya dah balik nanti," rayu Dita.

"Halaukan aje kak! Orang macam ni memang tak patut dibagi muka!" Kedengaran satu suara perempuan yang tak dikenali berbunyi dari belakang, menjadi batu api.

"Nilah yang akak marah ni. Kita dah bagi dia duduk rumah kita, tapi dia buat kita macam ni. Akak ni pun nak pakai duit jugak, anak-anak sekolah pun nak pakai duit belanja jugak. Ni pun nasiblah akak mintak mintak deposit tiga bulan hari tu. Kalau tak, lagilah akak susah," kata Kak Fifah, seolah sengaja mencanang dengan satu blok bangunan.

Dan koridor depan pintu rumah Andrita kini mula dipenuhi dengan jiran-jiran tetangga yang majoritinya perempuan yang begitu teruja seperti melihat ada persembahan sarkas di tingkat tujuh itu sekarang.

"Dah berapa bulan dia tangguh kak?" Tanya satu lagi suara perempuan lain.

"Tiga bulan!"

"Tiga bulan?"

"Mak ai, melampau tu?"

"Nilah ni, manalah akak tak mengamuk? Hei... Sabar ajelah!" Kata Kak Fifah lagi.

"Halaukan ajelah Kak Fifah! Tak payah nak simpan penyewa macam ni. Kalau dah gantung sampai tiga bulan tu, susah tu. Tak mungkinnya dia boleh bayar lamsam sekaligus!"

Andrita rasa terhina. Sekiranya dia tidak berada dalam keadaan yang vulnerable dan fragile begini, dia akan melawan balik dengan semua batu-batu api yang ada berkumpul di depannya ini semua.

Tapi dek kerana dia sedang sarat hamil lapan bulan, dengan perubahan hormon pada badan dan keadaan kesihatan yang mula merosot, dia hanya mampu menahan air mata.

"Apa ni Kak Fifah, kecoh-kecoh tengah-tengahari buta ni? Dari tingkat enam saya dengar suara Kak Fifah terpekik terlolong macam orang gila!" Kedengaran lagi satu suara. Suara itu suara yang dikenali Andrita.

INFINIT (Siri Vampire Infinit Pertama)Where stories live. Discover now