Bab 4

1.9K 320 56
                                    


"SAYANG, nanti dah siap mandi, pakai baju yang Raid dah letak dekat atas katil tu ya?"

Mawar berhentikan pancuran air yang sedang jatuh mencurah-curah di atas kepalanya supaya dia boleh dengar apa yang Raid kata di luar pintu dengan lebih jelas.

Mawar tunggu beberapa saat, suara Raid sudah tidak kedengaran lagi.

Raid kata apa?

Mawar dengar hujung-hujung sahaja. Katil?

Baru dia nak buka mulut, sekali lagi suara Raid melantun kuat dari luar pintu bilik air.

"Mawar? Dengar tak?"

Mawar deras-deras balutkan tuala ke badannya yang kurus kering itu, lalu dia pergi ke pintu, dan menyelak sedikit. Cukup-cukup untuk menjenguk ke luar.

Ada Raid yang sedang berdiri betul-betul depan pintu itu.

"Eh, sayang. Sorry, Raid kacau sayang mandi ke?" Muka Raid sudah bersulam dengan rasa serba salah tengok Mawar sampai membuka pintu ketika sedang membersihkan diri.

Lambat-lambat Mawar menggeleng. "Saya tak dengar Raid cakap apa."

Riak bersalah tadi kini sudah berganti dengan senyuman nipis. Mawar terpaku lagi buat kesekian kalinya.

Lelaki ini, demi Tuhan wajahnya sangat indah untuk dipandang, bertambah menarik penampilannya bila mata redup itu dilindung dengan kaca mata.

Tak perlu bersusah payah pakai baju yang berjenama, cukup mengenakan seluar khakis dan t-shirt hitam pun dah berjaya buatkan Mawar jadi begini.

Benarkah lelaki ini suaminya?

Kalau benar, bagaimana itu boleh terjadi?

Bagaimana lelaki sekacak Raid boleh tertarik dengan perempuan seperti dia?

"Mawar? Dengar tak Raid cakap apa?"

Lamunan ringkasnya jadi terhenti bila lima jari Raid melambai-lambai di depan mukanya. Pipi mawar terasa panas sendiri, mujur sahaja dia berlindung di balik pintu bilik air, tidaklah terlalu jelas tertangkap sedang mengagumi suami sendiri.

"Ya?"

Raid tersenyum lagi. Dia ke tepi sedikit lalu tunjuk beberapa helai pakaian yang sudah siap berlipat di atas katil.

"Nanti, lepas sayang dah siap mandi, pakai baju yang tu eh? Raid dah sediakan untuk Mawar."
Oh, baju itu.

Mawar anggukkan kepalanya tanda dia mengerti. "Okey..."

"Okey... sayang sambunglah mandi. Raid nak sediakan makan malam kita, nanti sayang dah siap, keluar je, okey? Kita makan sama-sama."

Mawar angguk lagi.

"Okey."

"See you soon, sayang." Raid sempat cuit hidungnya sedikit sebelum keluar buatkan Mawar tersipu.
Manis.

***

MAWAR tilik penampilan dia depan cermin yang sudah siap berbaju. Rambutnya yang separas leher dan sedikit lembab itu dia sisir rapi dan diselak ke belakang telinga.

Dia pakai baju yang Raid sediakan, sehelai baju T dan seluar tidur panjang yang longgar.

Selesa.

Rupa dia juga lebih 'semenggah' berbanding mula-mula dia bangkit.

Masih kurus, tapi kali ini sedikit berseri, tidak pucat, kulitnya tidak lesi dan kering selepas dia tepek beberapa produk kecantikan yang ada di atas meja solek di dalam kamar tidur mereka.

Red MawarWhere stories live. Discover now