CELIK.Kelopak mata dia terbuka luas, kemudian sekelip mata cerah yang dia lihat tadi kini sudah berganti dengan gelap.
Pedih.
Ini bahanaya bila terlalu cepat mahu melihat dunia.
Perlahan-lahan, kali ini lebih berhati-hati, dia angkat kelopak mata hingga satu-persatu objek berjaya singgah ke retinanya.
Siling putih, lampu yang terang menyala.
Mawar toleh ke kiri, ada meja di sisi katil, tapi yang lebih menarik perhatian dia bukanlah meja itu, tetapi sesuatu yang berdiri di atasnya.
Berkelip-kelip kecil matanya memandang ke arah itu, lama.
Dengan kudrat dia yang tidak seberapa, dia cuba bangun dengan menongkat tangan ke tilam.
Berkerut kening Mawar bila terasa lenguh seluruh badan walaupun dia sudah berjaya duduk.
Mawar panjangkan tangan untuk mencapai bingkai gambar yang sedari tadi berjaya menarik perhatian dia lalu foto itu dibawa dekat ke muka.
Mahu melihat dengan lebih jelas.
Dalam gambar itu ada seorang perempuan sedang tersenyum manis berdiri di sebelah seorang lelaki berkaca mata yang tinggi, juga sedang tersenyum lebar hingga menyerlahkan rupa parasnya yang... sangat elok.
Mawar pandang ke cermin yang berada cuma setentang dengan katil tempat dia duduk. Dari biasan kaca itu, dia nampak wajahnya yang kurus dan cengkung, pipi hampir tiada menyerlahkan rangka muka.
Kemudian dia tunduk tengok gambar di dalam bingkai di tangan.
Perempuan di dalam gambar itu adalah Mawar. Walaupun jauh sekali beza rupa dia yang di cermin dengan yang di dalam gambar, tetap saja dia kenal dirinya sendiri.
Tapi siapa lelaki itu?
Siapa lelaki yang nampak mesra berdiri di sebelahnya?
Kenapa gambar mereka berdua boleh ada di sisi katil?
Kenapa Mawar tak kenal dia?
Mawar cuba-cuba perah ingatan, tapi kosong. Daripada nak mengesan tentang lelaki itu, kini Mawar baru sedar satu benda.
Yang dia langsung tak ingat apa-apa, bukan saja tentang lelaki di dalam gambar sebaliknya... tentang dia?
Nama dia siapa? Umur dia berapa? Dia ada dekat mana?
Satu maklumat pun Mawar tak tahu tentang diri dia, apatah lagi lelaki itu. Itu buatkan dia panik.
Matanya sudah membuntang luas, bibir terbuka sedikit kemudian terkatup rapat bila dia cuba bercakap tapi tak ada suara yang keluar.Tekak terasa perit, tiba-tiba Mawar rasa sangat haus. Haus yang langsung tidak boleh ditahan seolah sudah terlalu lama air tidak singgah di kerongkongnya buatkan dia cepat-cepat turunkan kaki dari katil.
Tak sampai selangkah, badannya dah jatuh terjelopok ke lantai.
Berkerut kening dia menahan sakit di lutut.
Mawar bangkit dengan berhati-hati. Kaki yang lenguh dia urut-urut kecil dengan tangannya yang kurus itu, cuba menyalurkan sedikit kekuatan agar ia boleh menapak semula.
Mungkin terlalu lama tidak digunakan hingga lemah begitu.
Baru dia hendak bangun, tiba-tiba pintu yang terkatup rapat sejak tadi kini terbuka dari luar.
Mata Mawar terarah ke situ.Dia perhatikan, satu sosok tubuh lelaki tinggi lampai, berkaca mata, ringkas mengenakan baju T ungu berkolar bulat dan berseluar panjang khaki berwarna coklat dah terkaku di muka pintu, muka itu seperti terkejut melihat dia yang separuh terbaring di atas lantai.
YOU ARE READING
Red Mawar
RomanceBangun-bangun sahaja Mawar, ada seorang lelaki di hadapannya. "Sayang dah bangun?" "Awak siapa?" "Sayang tak ingat saya?" "Awak siapa?!" "Raid. Saya Raid. Suami awak." Ya, dia tiada memori tentang lelaki itu. Hilang, langsung terbang dibawa angin...