Bab 11

1.5K 292 75
                                    


MAWAR bawa sekeping gambar yang berlipat itu pergi ke meja solek, kalut dia tarik kerusi dan duduk di depan cermin.

Dia letak sebentar foto tersebut atas meja kemudian dia tarik laci dengan kalut.

Dia keluarkan semua yang ada dalam laci itu satu-persatu dalam usahanya mencari sesuatu.

Jumpa!

Mawar keluarkan sehelai kertas yang terlipat kecil, lalu dia buka hingga sepenuhnya terbentang depan mata.

Kalut Mawar letak tepi gambar yang dia baru jumpa. Dia pandang angka-angka yang tertulis di atasnya.

Nombor itu dia tulis beberapa hari yang lalu sebaik Mawar bangun dari tidur, entah macam mana, sebaris nombor yang dia percaya adalah nombor telefon seseorang itu tiba-tiba melintas dalam kepala.

Gara-gara bimbang dia akan lupa, Mawar tulis secara rawak apa yang dia ingat di atas kertas. Tiga hari lepas, dia rasa nombor itu macam tak berguna, tapi tidak hari ini.

Tangan dia terkulai ke sisi peha, dengan mata hitamnya bergerak-gerak kejap ke kiri kejap ke kanan.

Dalam bingkai gambar yang pecah itu, bukan sahaja ada gambar Mawar dan Raid, tetapi ada juga gambar seorang lelaki lain, berdiri di sebelah Mawar.

Senang kata, Mawar itu kedudukannya di tengah-tengah antara Raid dan lelaki dari mimpinya.

"Ini Red?" Mawar berbisik sendiri.

Ya, Mawar yakin, lelaki ini Red. Dia pasti, firasatnya kuat berkata begitu. Gambar ditenung lagi, lama.

Ligat otaknya berfikir.

Tapi kenapa Mawar nampak cukup ceria berdiri di antara dua lelaki ini kalau benar Red itu orang yang bertanggungjawab menculik dia?

Kalau benar yang di dalam gambar bersama Mawar dan Raid itu Red, kenapa Raid tidak kenal?

Tapi kalau yang di dalam gambar ini bukan Red, habis dia siapa? Kenapa gambarnya terlipat begini?

Peningnya! Mawar pandang pula nombor telefon di atas kertas.

Mawar bangun dan pergi dapatkan telefon bimbitnya di atas katil lalu dia kembali semula ke meja solek.

Dengan tangan yang sedikit terketar dan sejuk, Mawar dail setiap nombor yang tertera di papan kekunci telefon.

Tidak terus ditekan butang memanggil, Mawar pandang lama-lama skrin yang masih menyala.

Dadanya yang sedikit berombak akibat bernafas tidak mengikut rentak itu Mawar pegang.

Sumpah dia berdebar, takut pun ada hendak menghadap kenyataan-kenyataan yang bakal terbongkar nanti andai betul sangkaan dia beberapa hari ini.

Mawar tarik nafas dalam-dalam, kemudian dia lepaskan dan hembus.

"Kalau bukan sekarang, bila lagi?" Mawar bisikkan pada diri sendiri kemudian dia terus tekan butang hijau.

Telefon diletakkan ke telinga.

Mawar ramas-ramas tangannya yang sudah sejuk sambil menanti panggilan bersambut.

Tut tut...

Tut tut...

Tolonglah angkat...

"Harap maaf. Nombor yang anda dail-"

Terus Mawar matikan panggilan dan campak telefon ke atas meja, dia pegang dada yang terasa hendak pecah bila disangka panggilannya bersambut.

Bila sudah sedikit tenang, Mawar capai semula telefon dia dan tekan butang hijau sekali lagi.

Mawar akan cuba telefon nombor itu sekali lagi sahaja. Kalau tak dapat, mungkin nombor itu nombor telefon dia yang lama yang tersimpan jauh dalam kotak memorinya.

Red MawarWhere stories live. Discover now