Bab 2

2.3K 325 32
                                    


MATANYA bergerak seiring dengan pergerakan Raid yang berjalan ke sana sini, sibuk mengangkat itu dan ini ke atas meja.

Mulutnya terkunci rapat, mahu bertanya tapi dia rasa tidak perlu.

Mudahnya Mawar hanya menunggu seperti anak kecil di meja makan itu untuk dihidangkan makanan.

"Okey, dah siap. Jom makan, sayang."

Raid datang bersama dengan semangkuk sup ayam lalu dia letakkan ke atas meja, betul-betul depan Mawar.

"Ini sayang punya, makan dengan bubur. Awak baru sedar, tak boleh nak makan yang berat-berat, makanan berempah. Nanti perut tak sedap. Kalau sayang dah sihat sikit nanti, Raid masakkan Mawar macam-macam lagi lauk yang sedap, okey?"

Raid bercakap dengan Mawar menggunakan nada yang sangat lembut, persis seperti dia sedang berkomunikasi dengan anak kecil.

Mawar terpaku lagi di kerusinya.

Mawar?

Jadi, nama dia Mawar?

Bukan sayang?

"Nah, sudu." Raid capai tangan Mawar lalu dia letakkan sebatang sudu di situ. Mata Mawar naik memanjat ke muka Raid, seperti sedang keliru.

"Ke Mawar nak Raid suapkan?"

Lambat-lambat Mawar menggeleng. Tak perlu, dia masih tahu cara untuk menyuap makanan ke dalam mulut.

Perut yang sememangnya berkeroncong hebat sedari tadi membuatkan Mawar mula menyudu bubur ke dalam mulut.

Dia berhenti seketika, terpejam mata saat lidahnya menyentuh makanan, kenikmatan yang tak mampu nak digambarkan dengan kata-kata.

Sesudu kuah sup pula singgah ke mulutnya.

Bulat matanya terbeliak, sedap!

Mawar dah tak peduli kalau-kalau Raid ada di tepi atau tidak bila dia makan dengan gelojoh. Sumpah, Mawar sangat-sangat lapar!

Sebagaimana dia dahagakan air, begitulah juga dia mahukan makanan.

"Perlahan-lahan, Mawar. Nanti terce-"

Tak sempat pun Raid nak habiskan ayatnya, Mawar tiba-tiba tersedak. Merah muka dia menahan perit yang hadir di tekak.

Kalut Raid bangun dan berdiri di sebelah isterinya sambil hulur segelas air, tangan dah terlebih dahulu mendarat di belakang badan Mawar, mengusap lembut di situ agar batuknya berkurang.

Rakus Mawar teguk air.

Nafas lega dilepaskan bila batuknya sudah reda.

"Dah okey?"

Malu-malu Mawar angguk.

"Sayang makan perlahan sikit, okey? Banyak lagi Raid masak, jangan risau. Kalau habis, nanti Raid tambah lagi."

Raid hulurkan semula sudu yang Mawar campak akibat panik tadi.

Sesaat.

Dua saat.

Tiga saat.

Mawar tidak sambut huluran itu sebaliknya cuma memandang kosong.

"Mawar?" Kepala Raid sedikit rendah semata mahu mencari mata Mawar.

Bola matanya sudah bertukar arah, dari sudu pergi ke sepasang mata yang berselindung di sebalik kaca yang tersangkut di hidung.

Tepat memanah ke sasaran.

Dapat mawar lihat reaksi Raid yang sedikit kaget.

"Mawar?" Dia sebut sebaris nama yang tak jemu meniti di bibir Raid sedari tadi.

Red MawarWhere stories live. Discover now