Bab 27

146 32 3
                                    

Loceng rumah dibunyikan. Air dari rambut basah menitik di sepanjang lantai menuju ke pintu utama rumah. Tombol aku pulas dan seorang lelaki yang memakai pakaian seragam pekerja apartment berdiri di depanku. Kotak coklat di tangannya.

"Selamat pagi Cik Eefa. Minta maaf mengganggu tapi tadi ada yang hantar parcel ni. Alamat rumah Cik Eefa, tapi atas nama Nur Hailmie." Jelasnya.

"Nur Hailmie?"

"Salah alamat ke?"

"Eh, tak!" Aku menghulurkan tangan, mengambil kotak itu dari tangannya. "Terima kasih."

"Sama-sama." Balasnya lalu meninggalkanku.

Aku kembali ke dalam rumah. Kaki menolak pintu, menutupnya rapat. Maklumat penghantar dan penerima bungkusan tersebut aku baca. Betullah. Ada nama Hailmie dengan alamat rumah ni. Kenapa Hailmie letak alamat rumah ni pula?

Kotak aku letakkan ke atas kaunter dapur. Telefon yang terletak bersebelahan pembakar roti aku capai. Mendail nombor Hailmie. Belum jari menekan butang buat panggilan, aku tukar fikiran. Memutuskan untuk menghantar mesej saja.

Ikon kamera aku tekan. Menyelarikan lensa kamera dengan kotak tersebut dan menekan butang tangkap gambar. Klik! Gambar tersebut aku muat naik ke ruang bual kami.

Meen: Your parcel is here

Sesaat kemudian, mesej telah dibaca dan dia menaip balasan. Dia tunggu mesej dari aku ke? Lajunya dia buka.

Hailmie: Boleh I ambil esok? Hari ni I busy kemas studio :(

Jarum jam dinding aku kerling. Masih ada beberapa jam lagi sebelum syifku bermula. Alang-alang satu jalan, baik aku tolong hantarkan.

Meen: Nak I tolong hantarkan ke? Kebetulan I pun nak pergi area situ

Hailmie: Boleh ke? Hehe

Meen: Be there in an hour




Tanda 'tutup' digantung pada pintu kaca HE Gallery. Baru saja aku mahu membunyikan bel untuk mengumumkan kedatanganku, pintu dibuka dari dalam. Seorang lelaki berkemeja putih menghadiahkan senyuman manis buatku.

"Cik Eefa nak jumpa Encik Hailmie, kan?" Soalnya.

"Ha'ah."

Dia mengangguk faham. "Masuklah."

Aku tunduk, mengangkat kotak tersebut dari lantai. Dia menawarkan diri untuk membantuku tapi aku tolak dengan sopan. Lagipun kotak je besar. Isi dia tak adalah berat mana.

Setelah aku masuk, dia memberitahuku untuk turun ke bawah menaiki lif. Katanya studio Hailmie terletak di aras bawah tanah. Selepas aku masuk ke dalam lif, dia menyambung kerjanya.

Sebaik saja pintu lif terbuka, muzik kuat memeranjatkanku. Bukan lagu rock metal, bukan juga genre Techno tetapi...

"Siapa pula dengar lagu K-Pop ni?"

Langkah aku atur dengan berhati-hati. Takut-takut Hailmie tak berseorangan. Lif membawaku terus ke dalam studio tetapi kerana ada pembahagi, penglihatanku terhad.

"Psycho... Psycho..." Nyanyi suara garau.

Aku menjenguk di sebalik pembahagi. Mata terbeliak melihat jejaka mengenakan kardigan berwarna mustard sedang asyik dengan dunianya sendiri. Bukan setakat menyanyi dengan suara sumbangnya, malahan punggungnya bergerak ke kiri kanan mengikut koreografi lagu.

Y/NWhere stories live. Discover now