Motosikal membelok, memasuki lorong sempit. Bangunan-bangunan tinggi mencakar langit sepanjang jalan tidak lagi kelihatan. Yang tinggal hanya kedai-kedai lama dengan atap yang usang dan dinding cat yang terkupas kerana terdedah kepada cuaca tak menentu di Malaysia.
Mateo menghentikan motosikal dan memberiku waktu untuk turun sebelum dia. Mataku melilar melihat lorong yang semakin jauh ke dalam, semakin sempit dan sesak dengan orang ramai. Bahasa Cantonese dan Mandarin dituturkan di mana-mana dengan majoriti pengunjung di sini, rata-ratanya berbangsa Cina.
"Sini." Panggil Mateo.
Dia membukakan topi keledar yang aku kenakan kemudian membuka topi keledar hitam di kepalanya pula. Sarung tangan kulit turut dia buka dan diseluk masuk ke dalam jaket yang dia kenakan.
"Jom."
"Kita nak pergi mana?" Aku membuntutinya.
Mateo menoleh sekilas ke arahku, tersenyum penuh makna. Sangat berahsia. Alih-alih, dia masuk ke dalam sebuah restoran lama. Aku kaku di hadapan restoran sementara dia menyapa seorang wanita yang sudah berusia dengan kucupan di pipi. Mateo membisikkan sesuatu kepada wanita tersebut yang membuatkan mereka serentak memandangku.
"Tipah!" Mateo memanggilku untuk masuk ke dalam.
Tanpa teragak-agak, aku akur. Keadaan di dalam restoran hampir penuh dengan pelanggan. Hanya ada beberapa buah meja kayu sahaja yang masih kosong. Restoran lama seperti ini, pasti ada ramai pelanggan tetap. Jadi tak hairanlah mengapa ramai yang datang berkunjung meskipun hari semakin menghampiri senja.
"Tipah. Ini mama aku." Ujar Mateo, tersenyum lebar.
"Oh. Hi, aunty. Saya Eef—" Aku melirik ke arah Mateo sejenak sebelum menyambung, "—er, Tipah. Kawan Mateo." Senyuman aku ukir di bibir, salam perkenalan.
Wanita yang bergelar mama kepada Mateo itu meraih tanganku, menepuknya perlahan seraya tertawa kecil. Lama tak merasakan kehangatan sentuhan ibu, hatiku terasa nyaman. Melebarkan senyuman hujung ke hujung.
Beliau kemudiannya mengatakan sesuatu kepada Mateo dalam Bahasa Cantonese dan Mateo mengangguk faham. Setelah menghadiahkan senyuman keibuannya kepadaku, dia membiarkan Mateo membawaku pergi, duduk di sebuah meja berdekatan pintu masuk.
"Cantik tak mama?" Tanya Mateo.
Aku mengangguk laju. Meskipun sudah dimamah usia, kecantikannya tak pudar ditelan masa. Dengan rambut disanggul kemas dan bibir merahnya. Mesti waktu muda dulu, ramai yang meminati beliau.
"Tu, tengok uncle tu." Mateo menjuihkan bibir ke arah seorang pak cik tua. "Uncle tu dah 40 tahun suka mama. Sampai sekarang tak kahwin-kahwin lagi."
"Iya ke?"
"Iya!" Tegasnya. "Tu, Tu! Tengok uncle yang itu pula!"
Pandangan mata jatuh kepada seorang lagi lelaki tua dengan tongkatnya disandarkan pada dinding. Menghirup teh hangat di tangan dengan mata sepetnya tak putus mengekori wanita yang sibuk menyiapkan sesuatu di dapur.
"Yang tu ex mama. Tiap hari datang sini jumpa mama tapi mama dah tak nak kat dia." Sambungnya.
Aku membuka mulut. Mahu bertanya tentang papanya pula tetapi setelah melihat situasi ini, mungkin lebih baik jika aku tak bertanya. Mulut aku kunci semula.
"Lepas my dad dah tak ada, mama tak pernah terfikir nak kahwin lagi." Tambahnya, tersenyum kecil.
"Oh..." Aku tertunduk.
YOU ARE READING
Y/N
Teen Fiction"Bila hidup se-klise fanfiction." MOHD BAARI: Pemain pasukan bola sepak kebangsaan, IQ di atas 120, peramah, latar belakang keluarga yang serba-serbi cukup, lembut bila berbicara dan meski menjadi pilihan pertama ramai wanita di luar sana, di matany...