"SIAPA pula lagi yang masuk meminangnya ibu? Kan kakak dah kata kakak tak nak kahwin lagi."
Ibu jeling aku tajam. Mesti sebab sudah geram sangat dengan aku. Masuk yang ini sudah kali keempat orang masuk meminang aku. Dan aku masih lagi dengan pendirian yang tetap berkeras nak menolak juga. Ibu ini pun, asyik canang dekat orang yang aku belum ada calon. Memanglah orang akan ambil sebagai lampu hijau!
"Kamu ni jangan biasa jual mahal, kakak. Takut orang benci dan dendam. Nanti lama-lama jadi anak dara tua pula. Ibu dulu 20 tahun dah kahwin dengan babah. Tengok sekarang, anak semua dah besar tapi ibu baru 45 tahun. Lelaki kahwin lambat tak ada masalah, perempuan kahwin lambat susah," balas ibu.
Apa pula dibezakan tahun dia dengan tahun aku ini? Zaman sudah berubah. Era sudah lain. Setakat umur 23 tahun belum kahwin itu bukan aku sorang je. Benda sudah jadi norma baharu. Perempuan pun nak kejar kerjaya sendiri apa? Bukannya lelaki je yang nak capai impian sendiri. Kami yang kaum hawa ini pun ada impian juga.
"Tak naklah, ibu. Kasilah kakak enjoy zaman bujang kakak ni dulu. Kakak baru habis belajar, baru nak masuk 5 bulan kerja. Tak puas lagi nak berfoya-foya."
Ibu jeling aku lagi sekali. Kali ini lebih tajam sebab aku pergi sebut perkataan berfoya-foya itu.
Okey fine... No berfoya-foya for me. Tapi aku tetap nak enjoy zaman bujang aku apa? Kalau sudah kahwin nanti, aku kena jaga suami dan jaga anak. Kalau suami itu pemalas, semua kerja aku nak kena buat. Kalau anak tu banyak kerenah. Memang tak tidur malamlah aku menjaganya. Tak naklah aku! Belum bersedia lagi nak melangkah ke alam itu. Mahu kena cekik suami dan anak aku nanti.
"Nanti dah kahwin pun kamu boleh enjoy, enjoy cara halal, keluar enjoy dengan suami. Dah ada orang nak jaga barulah ibu tenang sikit. Ibu dengan babah ni entah bilanya nak mati. Entah esok, entah lusa. Entah-entah malam ni ke... Kamu tu satu-satunya anak perempuan kami. Kamulah yang kami kena kahwinkan dulu, kena pastikan kamu dah ada orang yang boleh jaga. Barulah ibu dengan babah tenang dekat liang lahad sana." Ibu sudah mula buka cerita sedih. Karang kisah hidup dan mati pula dah!
Aku mengeluh kecil. Tetap enggan. Aku tak nak kahwin lagi! Aku tak nak jaga suami lagi! Aku tak nak jaga anak lagi! Aku tak nak, tak nak, tak nak!!!
"Babahnya pun, nasihatlah sikit budak ni. Asyik saya je yang membebel. Kaum awak juga yang datang masuk meminang tak henti-henti itu." Sudah tak pasal-pasal babah pun kena marah sekali dengan ibu.
Terus terpinga-pinga babah yang tengah baca surat khabar itu. Babah pandang muka ibu yang tengah geram dan muka aku yang tengah pasang muka minta simpati.
Harapnya babah menyebelahi akulah.
"Yelah kakak, kakak kahwinlah. Dah ada orang nak tu terima jelah. Kakak pun dah habis belajar, dah ada kerja."
Huarghhhhh!!!
Babah tak menyebelahi aku langsung!
Tengok muka puas hati ibu bila babah turut sekepala dengan dia buatkan aku mengalah daripada terus membangkang. Tapi... Ada syaratnya."Okay, tapi kakak tak nak kahwin dengan pilihan ibu. Kakak nak kahwin dengan pilihan kakak sendiri," ujarku.
Yelah, orang yang masuk meminang tu pun bukannya aku kenal. Atau sebenarnya aku memang tak nak kenal pun. Ibu nak bagitahu nama pun awal-awal lagi aku sudah tutup mulut ibu. Tak nak tahu apa-apa! Termasuklah yang baru masuk meminang ini. Pun aku tak nak tahu nama dia juga.