AKU buka pintu rumah. Dekat sebelah tangan ada kasut dan sebelah lagi tangan tengah pegang plastik burger Ramly yang aku selitkan sekali clutch aku di dalamnya. Aku baru balik dari makan malam bersama Rafiq tadi. Aku tak ada selera di restoran. Tapi bila lalu sebelah kedai burger tadi terus selera aku datang semula. Kalau tidak manakan sampai dua biji burger double special aku beli.
Yakin je boleh habiskan semua sorang-sorang. Biasalah kalau sudah nafsu nak makan itu datang mana nak fikir makan sikit-sikit dah.
Aku melangkah masuk ke dalam lalu pintu ditutup. Kasut aku campak ke tempat letak kasut milik Hail. Esok sajalah aku ambil masuk dalam kotak semula. Itu pun kalau aku rajin, kalau aku malas biarlah dekat situ sampai reput.
Aku intai ruang tamu. TV sudah tertutup. Mungkin Hail dah masuk bilik dan tidur. Lagipun sekarang sudah jam 12 malam. Tapi rupanya sangkaan aku salah. Hail memang tengah tidur tapi bukan di dalam bilik. Lelaki itu tengah tidur di atas sofa depan TV. Kaki dilunjur atas sofa sambil tangan disilang di belakang kepala menggantikan bantal.
Plastik di tangan aku letakkan di atas meja sebelum aku perlahan-lahan melabuhkan duduk di sisi Hail. Mataku memerhatikan wajahnya yang bagi aku cukup sempurna. Segalanya tentang fizikal Hail adalah sangat sempurna. Terukir cantik dari segenap sudut pandangan. Tengoklah dari sisi mana pun pasti tetap akan rasa Hail sangat sempurna. Kacak dan bergaya orangnya. Belas pula aku lihat dia tidur macam ini.
Nak kejutkan dia supaya dia bangun dan masuk tidur dalam bilik atau tak ye? Hmm...
Kejap lagilah aku bangunkan dia. Elok juga buat peneman sambil aku makan di bawah ini. Tak adalah aku takut walaupun dia tengah tidur.Mataku turun pula pada badannya yang terdedah. Lelaki ini kalau duduk rumah mesti akan buka baju. Tak pernah lagi rasanya aku nampak Hail berbaju di rumah. Bila aku suruh dia pakai baju kerana menyilaukan mataku, dia dengan selambanya kata panas padahal pendingin hawa ada pada suhu 23 darjah celcius.
Aku yang baru nak bangun terus terduduk semula bila ada tangan yang menarik tangan aku.
Aku tunduk melihat muka Hail semula. Matanya masih tertutup tapi tangannya erat memegang tangan aku. Agaknya dia tengah mimpi pasal scandal-scandal dia kut. Mimpi berkejaran di taman bunga lalu tangan skandalnya ditarik dan dicium. Apa yang aku tengah merapu ini?
Aku cuba untuk bangun semula. Tangan Hail yang memegang tangan aku itu, cuba dirungkaikan. Tapi erat sungguh dia pegang tangan aku. Mata naik semula memandang mukanya.
Err...
Aku sudah kejutkan Hail dari mimpi tentang skandal dia tadi ke? Sebab Hail dah buka mata. Mata Hail tepat pandang aku. Tajam seperti biasa."Baru balik?" soal Hail.
Aku angguk. Tiba-tiba peti suara bagaikan terkunci semula. Entah kenapa aku rasa nada suara Hail sedikit dingin, tak seperti sebelum aku keluar tadi. Lembut.
Hail lepaskan tangan aku. Terus aku berdiri dan menjarakkan diri daripada dia yang sedang bangun dari pembaringan itu. Aku lihat mata Hail jatuh pada plastik burger di atas meja sebelum dia kembali pandang aku.
"Keluar dinner tapi tapaw burger Ramly?"
Sekejap... Mana Hail tahu yang aku keluar dinner? Aku ada kata dengan Hail yang aku keluar dinner ke tadi? Bukan aku kata aku keluar dating dan keluar dengan kawan je ke?