"SAYA nak tidur dalam bilik tu!" kataku sambil jari telunjuk lurus mengarah ke arah bilik yang dari luar pun aku dah tahu itu bilik utama. Tapi sebab bilik itu saja yang ada tandas di dalam, jadi aku tetap nak bilik itu. Tak kesahlah kalau aku perlu tendang Hail sampai dia jatuh tergolek dekat tangga pun.
"Itu bilik akulah," balas Hail.
"Saya tak kira. Saya nak bilik tu juga. Bilik tu ada tandas. Bilik lain saya kena guna tandas luar." Aku ini nak tandas yang dah sedia ada dalam bilik sebab aku nak minimumkan kebarangkalian aku kena keluar dari bilik sebab aku nak bebas berpakaian separuh bogel tanpa dilihat oleh lelaki tu.
Aku tengok Hail jeling aku. Jeling geramlah itu sebab aku sudah buat kepala batu aku dekat depan dia.
Tapi, ada aku kesah?
"Kau nak aku usung skandal aku keluar masuk bilik ke?" kata Hail. Lelaki itu dengungkan perkataan skandal itu.
"Well, saya tak peduli kalau sekalipun encik nak usung dia naik atas chandelier tu. Nanti saya tolong call pencegah maksiat untuk encik ye? Yang saya tahu, saya nak bilik tu juga," Aku terus tarik luggage dan masuk ke dalam bilik itu. Tak sempat Hail nak menahan aku lagi, aku sudah tutup pintu bilik dan kunci tombolnya sekali.
Aku melihat keadaan sekeliling bilik itu. Bau wangian yang selalu Hail pakai menusuk hidung aku. Wangi dan bau yang sangat jantan. Aku periksa bilik air. Wah! Ada bath tub sebiji. Bolehlah aku berendam nanti.
Tudung di atas kepala aku buka. Panas walaupun bilik ini berpendingin hawa. Tapi tak berapa nak rasa lagi sebab masih baru dibuka.
Aku periksa almari. Kosong. Mana baju Hail? Ah, pedulikan. Aku buka luggage dan aku mula mengeluarkan semua baju aku. Baju itu aku susunkan ke dalam almari baju. Bahan dalaman pula aku masukkan ke dalam laci di bawah. Aku tak bawa semua baju lagi sebab cadangnya aku akan ambil sedikit demi sedikit.
Lagipun restoran cawangan yang aku jaga itu bukannya jauh sangat dari rumah ibu. Bolehlah aku singgah sana untuk ambil baju sebelum balik ke rumah ni. Tapi Hail ada kata yang dia akan hantar dan ambil aku pergi dan balik kerja sebab tak ada bas dari sini yang pergi ke sana lagipun kan syarat Hail dulu aku tak boleh menidakkan tanggungjawab dia.
Aku mengikut sajalah. Okeylah, tak payah aku menunggu bas lagi.
Baru aku nak melabuhkan duduk di atas katil selepas selesai mengemas baju-baju, tiba-tiba suara Hail kedengaran dari luar.
"Kau tak nak tengok dance room kau tu ke?"
Eh, yelah! Kan Hail sudah janji nak kasi aku satu bilik untuk aku menari! Aku ini hantu menari. Tapi disebabkan aku bertudung, aku terpaksalah korbankan cita-cita nak jadi penyanyi dan penari itu walaupun aku pernah dapat tawaran untuk pergi uji bakat lepas aku menang pertandingan Show Me Your Talent.
Tempat kedua dengan hanya menari dan menyanyi sahaja. Tapi itu zaman sekolah menengah. Zaman aku tak bertudung lagi. Aku mula bertudung bila aku naik tingkatan lima. Agak lambat, tapi syukurlah aku sedar diri dan cepat-cepat tutup aurat.
Aku terus buka pintu bilik. Nampak Hail yang tengah berdiri di depan pintu bilik sambil berpeluk tubuh.
"Mana bilik tu?" soalku. Teruja.
Hail angkat tangan lalu jarinya menghala pada pintu di sebelah bilik aku ni. Aku pun apa lagi, dengan semangatnya aku terus menuju ke arah pintu itu. Tombol pintu dipulas lalu aku tolak daun pintu. Automatik bilik yang tak berapa nak cerah itu jadi terang-benderang bila lampu automatik menyala.
Wah! Siap ada sensor nyah!
Aku masuk dan lihat sekeliling biliknya. Besar seperti saiz bilik tidur aku di rumah teres milik ibu dan babah. Ada cermin yang sebesar dinding di bahagian depannya. Siap ada speaker lagi! Melihatkan dindingnya aku sudah tahu bilik ini soundproof.