AKU tolak pintu kaca restoran tempat aku bekerja yang besar-besar bertulis H's pada permukaannya. Aku baru balik dari surau tadi lepas solat isyak. Hari ini aku kerja lebih masa memandangkan Hail juga terpaksa balik lambat kerana ada kerja di ofis.
Dia tak bagi bilik sendiri. Risau katanya. Dia suruh aku OT, tapi tak payah buat kerja. Tapi aku kan pekerja berdedikasi. Mestilah aku buat juga kerjanya!
"Kak... Ada orang nak jumpa." Lalu je di depan kaunter, Firah menyapa aku.
"Siapa?" soalku.
"Tu..." Firah muncungkan bibirnya ke suatu arah.
Aku pandang ke arah yang ditunjukkannya. Terus rasa macam nak tepuk dahi sendiri bila tengok kelibat seorang lelaki yang tak lekang dengan senyuman di bibir tengah duduk tenang di sana. Rafiq!
Lambat-lambat aku melangkah juga ke arahnya. Tangan kuseluk masuk ke dalam half apron yang terikat cantik pada pinggang, lalu aku sengetkan kepala sikit sambil pandang mukanya.
"Kenapa awak nak jumpa saya?"
"Sengaja. Saya rindukan awak. Sejak jumpa awak hari tu, saya jadi angau. Sampai nak sebut nama orang lain pun tersebut nama awak. Angau dan sasau." Laju dan tenang Rafiq menjawab soalan aku.
Aku diam seketika, tak terus membalas. Lelaki di depan ni begitu pemurah dengan senyuman, nada suara pun kendengaran sangat mesra. Walau apapun yang aku sembur, dia tetap senyum dan balas semuanya sebagai satu gurauan semata. Sampaikan aku rasa macam tak tahu nak sembur apa lagi dah kerana tindak balas yang sangat baik tu. Tapi yang menjadi tanda tanya aku sekarang, kenapa pada malam kami terserempak di majlis tu, dia senyum sinis sambil tengok aku yang ditarik Hail untuk menari sama?
Ye, senyum sinis. Aku yakin senyuman dia pada malam tu adalah sebuah senyuman yang sangat sinis. Sangat sinis sampaikan aku rasa pelik. Tak sama langsung dengan senyuman yang dia tayang pada aku sekarang. Senyuman yang mesra.
"Hani? Kut ye pun saya ni kacak, janganlah sampai tenung saya macam tu. Malulah saya... Kalau nak tenung pun saya tak kesah, tapi apa kata awak kahwin dengan saya dulu. Lepas tu kalau nak tenung sampai lusa pun tak apa. Bukan apa... Cara awak tenung saya tu mengoda sangat."
Aku kuntum senyum segaris pada dia. Terlama sangat pula aku diam tadi. Tapi err... Lelaki ni, tak habis-habis lagi! Memang spesis Hail sangat! Nasib baiklah Hail tak ada cakap macam ni sebelum kami kahwin. Kalau tak, harus senak Hail aku kerjakan. Tapi yelah, kalau nak diikutkan sebelum kami berkahwin memang aku dan Hail sangat tak mesra.
"Tengok tu, awak tenung saya lagi. Tak boleh jadi ni... Awak kasi saya alamat rumah ibu bapa awak. Esok pagi juga saya minta keluarga saya masuk meminang." Rafiq sekali lagi menyentak aku dari lamunan yang panjang.
Hani, fokus! Orang yang tak peka boleh menyebabkan badan pun tergadai!
"Sorry, penat sangat agaknya. Mungkin sebab saya OT hari ni." Aku beralasan.
Rafiq kuntum senyum yang lebih lebar untuk aku sebelum dia bangun. Kerusi yang berhadapan dengan kerusinya dutarik keluar lalu dengan lagak lelaki sejatinya dia depa sebelah tangan.
"Silakan duduk, si cantik," jemputnya.
Tapi yang anehnya, kenapa pujian Rafiq tak buatkan aku rasa terbuai atau perut aku gempar seperti pujian yang datang dari Hail ye? Bila Rafiq memuji, aku rasa biasa je. Tak ada perasaan. Tapi bila Hail yang puji, gempar satu perut aku.