"KAMU ada apa-apa ke dengan bos, Hani?" Tiba-tiba Kak Wati menyoal.
Soalan yang sudah dijangka. Ada kak. Dia itu suami saya.
Fuh, kalau aku cakap macam itu mahu Kak Wati tercekik kulit popia. Sudah itu pula Hariz dan Faizal duduk semeja dengan kami.
"Tak adalah, kak. Saya kan selalu ada urusan dengan bos. Tu yang kami rapat sikit."
Kak Wati terangguk-angguk. "Yelah, kamu kan pekerja terbaik."
Aku hanya tersenyum.
Tengah kami rancak bersembang sambil makan, tiba-tiba Cik Effa dan Hail muncul. Terus dua orang manusia itu duduk di kerusi yang kosong. Hail duduk di sebelah Faizal.
Terus sunyi meja kami jadinya bila dua orang itu muncul. Hail itu okeylah lagi. Cuma sebab lelaki itu bos, jadi kami kena tapis semua topik yang kami nak bentangkan. Yang lebih mencacatkan keadaan adalah perempuan gedik itu. Tak habis-habis suakan makanan ke mulut Hail. Tapi Hail pula hanya gelengkan kepala, menolak sedari tadi. Beria.
"Hani dengan bos ini matching pula hari ini ye? Kalau kami tak tahu yang korang berdua majikan dengan pekerja, memang sah kami fikir korang tengah bercinta."
Dengar saja komen Kak Wati, aku terus tunduk pandang baju yang tersarung pada tubuh. Knitwear berwarna coklat. Aku pandang pula baju Hail.
Eh?! Coklat juga? Knitwear juga?! Aku tunduk pandang bawah meja pula. Seluarnya warna putih. Sama dengan aku!
Seluar dan tudung aku keduanya berwarna putih dan keduanya digosok oleh Hail tadi. Aku hanya sarung. Dia memang sengaja ke?
"Nak lagi tak popia? Kau suka popia kan? Kalau nak, kau ambil yang aku punya ni." Tiba-tiba Faizal bersuara. Lupa terus tentang baju yang sama.
Aku buka mulut untuk menjawab. Tapi terhenti bila Faizal sumbat popia ke dalam mulut aku. Ceit!
Hariz dan Kak Wati sudah terkekek-kekek gelak bila aku jeling Faizal. Terpaksa aku telan popia itu. Dah masuk mulut pun.
"Hai... Sweet sungguh kamu dengan Faizal ni." Kak Wati dengan bermurah hatinya bagi komen.
"Tak lama lagi dapatlah kita makan nasi minyak. Bos, naikkanlah sikit gaji Hani dengan Faizal. Senang dia orang nak kumpul duit nanti. Ke bos je yang sponsor?" kata Hariz diikuti tawa besarnya.
Aku ikut tertawa tapi sekejap saja sebelum tawaku mati bila mataku jatuh pada tangan Hail di atas meja yang sudah dikepal sampai timbul segala uratnya. Kalau ye pun tak nak naikkan gaji aku, tak payahlah nak emo sangat.
Lagipun aku rasa gaji aku dah cukup banyak. Hail memang tunaikan janji untuk beri aku bonus. Siap naikkan gaji. Pemberangsang akulah kiranya. Dan tambahan lagi, Hail beri aku nafkah sebanyak RM3000 sebulan! Itu bukan duit untuk ikan sayur atau barang-barang rumah ye, tapi khusus untuk diri aku sendiri. Dia siap beri duit belanja untuk seisi keluarga aku. Adik-adik aku pun dapat!
Barang rumah semua Hail yang bayar. Kiranya dia beri RM 3000 itu untuk aku manjakan diri sendiri. Tiba-tiba rasa beruntung gila dapat kahwin dengan Hail. Hahaha!
"Saya tak boleh kahwin dengan Faizal, kak," kataku.
"Kenapa tak boleh?" Tapi Hariz pula yang menyoal.