"BAGUS Hail itu. Rajin budaknya. Dari tadi sampai ke sekarang sibuk buat kerja. Untung kakak dapat suami macam itu."
Aku yang memang sedari tadi asyik memerhati Hail yang tengah sibuk bantu tutup khemah itu, terus pusing pandang ibu yang datang entah dari mana.
Aku mengangguk perlahan, juga bersetuju dengan kata-kata ibu. Hail memang rajin. Dulu aku ingatkan dia hanya nak berlakon rajin waktu majlis pernikahan kami. Tapi rupanya lelaki itu memang rajin orangnya. Hail tak pernah biarkan aku buat kerja rumah sendiri. Selalunya kalau aku memasak, dialah yang mencuci. Aku basuh baju, dia sidai. Aku kemas rumah, dialah yang vakum, sapu dan sebagainya. Kiranya kerja aku di rumah besar itu tak banyak mana dan tak susah sama sekali. Hail berdikari orangnya.
Pendek kata, dia bukan lelaki yang hanya tahu mengarah isteri itu dan ini dengan alasan penat berkerja. Bagi dia, kalau dia penat, aku pasti lagi penat.
Sekarang pun Hail tengah sibuk buat kerja. Membantu saudara mara aku yang lain. Padahal dia sudah banyak malam tak cukup tidur. Malam aku demam, dia jaga aku dan awasi suhu badanku. Malam BBQ, dia yang jadi tukang bakar dan angkat barang-barang berat sedang aku hanya memerhati kerana dilarang keras oleh Hail. Sebab aku masih demam... Hail siap beri amaran kepada orang sekeliling termasuk Cik Effa untuk tak suruh aku buat apa-apa.
Hail tak bagi aku turun dan sertai BBQ itu. Tapi aku nak juga turun. Bergaduh jugalah kami berdua sebelum dia akhirnya mengalah separuh rela. Itu pun mendengus-dengus selang lima minit!
Ibu yang telefon kami untuk sampaikan berita duka pada subuh tadi. Atok meninggal dunia tepat jam lima pagi tadi. Makanya Hail terus ajak aku balik ke kampung ibu di Kedah walaupun aku sangat tak sampai hati untuk susahkan dia.
Yelah... Dengan tidur tak cukup dan kepenatan, was-was juga aku nak kasi dia memandu jauh-jauh. Tapi alhamdulillah, akhirnya selamat sampai juga. Itu pun aku rasa habis dua tin kopi dan aku yang terpaksa bersembang dengan dia tanpa henti supaya dia tak mengantuk.
Sekarang sudah jam lima petang. Arwah atok sudah selamat dikebumikan. Sekarang hanya perlu mengemas rumah dan sedekahkan baju-baju peninggalan arwah atok pada siapa-siapa yang mahu.
"Ibu okey?" soalku kepada ibu.
Ibu tersenyum hambar.
"Semua yang hidup mesti akan mati, kakak. Ibu reda. Atok akan lebih bahagia dekat sana... Mana tahu ada rezeki untuk jumpa arwah Wan dengan anak-anak dia yang dah pergi dulu dari dia..."
Ibu tenung aku, lama.
"Kakak..." Ibu panggil aku.
"Ye, ibu..."
"Untuk dapatkan seorang lelaki yang baik, kita kena jadi baik dulu. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Tapi kalau dapat lelaki yang sebaliknya, kita doakan dia... Minta pada Allah untuk jadikan dia seorang lelaki yang baik. Kita takkan pernah kahwin dengan orang kalau memang bukan jodoh kita. Jodoh tu dah ditulis sebelum kita dilahirkan lagi, selesai je akad, maksudnya dialah jodoh kita. Cumanya sama ada jodoh itu panjang atau tidak. Hail lelaki yang baik. Ibu dapat tengok semua tu. Mungkin dia tersalah langkah dalam hidup dia. Tapi ibu tahu dia baik. Dan mungkin juga dia yang terbaik untuk kakak. Kakak bagi peluang pada Hail untuk buktikannya..."
Aku terkelu dengar kata-kata ibu. Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Dan aku bukanlah perempuan yang baik, aku juga jahat. Ada banyak dosa dan salah yang aku buat dalam sedar atau tidak.