"MAKANLAH. Dah kenapa yang pandang sambal nasi lemak tu macam nak terjun berenang dalam tu?"
Aku terkebil-kebil kejap bila ditegur oleh Hail. Sudu dan garpu yang hampir lucut daripada genggaman itu aku cengkam erat semula. Aku bukan termenung atau apa-apa yang seangkatan dengannya. Aku tengah tahan mengantuk sebenarnya. Mengantuk sebab malam tadi lepas pukul tiga pagi baru tidur. Dan pagi ini pula tak dapat nak sambung tidur lepas subuh kerana diseret Hail untuk turun makan di kafe hotel.
Bila sudah mengantuk macam ini, tak ada pula aku nak terfikir pasal pekerja lain walaupun aku ada nampak beberapa orang tengah pandang ke arah kami sebelum berbisik sesama sendiri. Mungkin pelik sebab kami makan berdua. Tapi pedulikanlah, aku terlalu mengantuk untuk fikir tentang mereka.
Tangan Hail singgah di dahi aku secara tiba-tiba buatkan aku sedikit tersentak.
"Patutlah muka pucat. Demam rupanya. Mesti sebab mandi kolam malam tadi," rumusnya.
Aku mula menyudukan nasi ke dalam mulut. Kunyah tanpa hati dan tanpa nikmat. Tiba-tiba pula rasa macam nak minta kopi Hail itu, padahal aku ini memang anti kopi. Tepat pula pada masanya bila aku fikir pasal kopi, dalam pada masa yang sama juga Hail hirup kopi sambil matanya memandang aku.
"Mengantuk?" Hail menyoal perlahan selepas cawan kopi diletakkan semula atas meja. Sekaranglah baru aku sedar yang pinggan Hail sudah licin.
Aku mengangguk lemah sebelum kembali menyuap nasi ke dalam mulut. Tak ada selera tapi tak nak membazir juga.
"Makan dulu, lepas tu kita masuk bilik semula. Kita tidur sekejap. Hani rehat. Abang pun mengantuk. Nanti kalau demam tak kebah, abang bawa pergi klinik."
"Tapikan kena buat persediaan untuk BBQ malam ni?"
"Biar mereka yang uruskan. Ramai lagi orang boleh buat. Setakat kurang Hani dan abang tak ada masalah pun."
Aku diam tidak menjawab bila dari ekor mata aku nampak seorang perempuan berseluar ketat tahap darah memaki hamun sebab tak mampu mengalir dengan aman tengah berjalan bak model nak terberak ke arah kami. Dah ada rupa manusia semula nampaknya perempuan itu. Sudah bersolek.
"Morning, bos...." Meleret manja suara Cik Effa menyapa Hail sebelum matanya menjeling aku.
Aku biarkan sahaja. Tak ada masa nak ambil pusing tengah aku mengantuk yang teramat sangat ini.
"Morning," jawab Hail sepatah. Itu pun macam tak ada hati nak menjawab. Tak bernada.
"Hani, you ambilkan kerusi untuk I please. Atau kalau you bangun pergi cari meja lain pun okey." Tiba-tiba perempuan itu bertitah.
Aku angkat muka pandang dia dengan dahi yang sudah mula berkerut. Apasal aku pula yang nak kena ambil kerusi atau pindah meja untuk dia? Kau siapa?
Baru aku nak buka mulut, tiba-tiba Hail bangun dari kerusinya. Serentak aku dan Cik Effa pandang Hail.
"Oh... Kita jelah pergi pindah meja lain kan? Lagipun sini open sangat. Orang tengok. Malu." Cik Effa menyoal manja dan gedik. Siap gelak halus di hujung kata sambil jari menekup bibir.
Heh... Loya tekak aku dengar kepitan suara dia.
"Jom Hani. Effa you tolong habiskan nasi lemak tu. Hani tak berapa sihat harini. Petang ni dan malam ni mungkin i dengan dia tak turun. I ada hal sikit dan Hani kena rehat, demam."