"CUBA makan perlahan-lahan sikit, Hani. Tak lari pun tomyam tu. Kalau tak cukup nanti order lagi. Tak luak duit abang kalau setakat nak penuhkan perut isteri." Hail membebel bila aku terus sambar tomyam itu sebaik sahaja pelayan letak atas meja.
Aku endahkan dia. Peduli apa pula aku, aku dah kelaparan yang teramat sangat. Tambah pula aku memang teringin nak makan tomyam ni. Aku rasa pelayan tadi mesti dah gelakkan aku seround sebab makan macam orang kebulur. Macam seminggu tak makan.
Bila pelayan itu hulurkan pinggan nasi, terus aku capai sudu dan garpu lalu berbismillah dan ngap! Tak pandang kiri kanan dah. Hail yang kacak gila dekat depan pun, aku tak pandang lagi dah. Tomyam ini lebih kacak dan menarik buat masa sekarang.
Aku angkat muka untuk capai air tembikai yang ada di sisi meja. Lalu aku sedut penyedut minumannya dengan laju. Wah... Memang kebulur teruk ni.
Tiba-tiba ada salah seorang daripada lelaki yang duduk di meja berdepan kami, layangkan flying kiss bila mata kami bertentangan.
Sadaqallahul adzim! Terus tersedak aku!
Cepat-cepat sebelah tangan capai tisu pembalut sudu dan garpu tadi lalu ditekap pada mulut. Aku terbatuk-batuk.Hail pula bila tengok aku tersedak, terus dia bangun dari kerusi, sebelah tangan mengusap-ngusap belakang badanku sambil mulutnya membebel.
"Abang kata dah tadi, perlahan-lahan. Tak nak dengar cakap. Degil! Ikutkan sangat kepala batu tu. Susah sangat nak dengar cakap suami sendiri."
Aku angkat sebelah tangan bila batuk reda. Tandanya aku nak suruh dia duduk di tempat dia semula
"Hani tersedak sebab ada lelaki tu, dia pergi layang flying kiss. Bukan sebab Hani makan laju," kataku bila dia dah duduk di tempatnya semula.
"Lelaki yang mana?" soal Hail.
Aku gelengkan kepala bila dapat kesan nada marah dalam suara Hail. Hati aku kuat mengatakan yang Hail tengah cemburu. Semua pun dia nak cemburukan. Hailah...
Tapi nasib baiklah Hail bukan jenis yang naik tangan bila tengah marah atau cemburu. Bersyukur! Kalau dia jenis lelaki yang naik tangan, memang aku rasa dah teruk aku dikerjakannya. Dia, Mr. D! Aku takkan mampu lawan dia sama sekali melainkan aku terus tikam dia waktu dia tidur.
"Beritahu abang. Lelaki yang mana?" soal Hail lagi. Kali ni aku nampak rahangnya diketap walaupun mukanya masih beriak biasa. Serius.
Aku kerling sekejap ke arah lelaki tadi. Tak jauh sangat dari aku, jadi aku yakin dia boleh dengar bait bicara Hail. Lagi pula, muka lelaki itu nampak macam tengah takut je. Yelah, kalau letak dia dan Hail sebelah-menyebelah. Memang nampak macam satu Godzilla dan satu smurf. Manalah nak berani nak lawan Hail yang badannya berkali ganda besar dan tinggi ini?
"Tak adalah, lupakan je. Jom makan, abang tak lapar ke?"
Hail diam. Matanya tajam merenung aku. Seperti masih menanti jawapan kepada soalannya tadi.
Aduh, Hail ni...
Aku terus tarik kerusi lalu duduk di sisi dia. Lebih dekat kalau nak dibandingkan duduk di depan dia tadi. Pinggan aku pun dicapai sekali. Nasi disudukan dengan ayam dan telur lalu aku suakan ke mulut Hail. Tapi Hail langsung tak buka mulutnya, masih terus merenung aku tajam.