"KAK, ada orang nak jumpa."
Jari jemari aku yang tengah sibuk mengetik papan kekunci itu terus terhenti. Aku pusing pandang pintu yang terbuka. Aiman.
"Siapa?" soalku.
"Lelaki yang raba Firah."
Berkerut dahikku. Apa lagi yang lelaki itu nak? Sudah tiga hari kejadian di perhentian bas itu berlalu. Tiga hari itu juga aku tak nampak lelaki ini. Kenapa tiba-tiba muncul lagi?
"Kenapa dia nak jumpa?" soalku lagi.
Aiman mengelengkan kepala dan jungkitkan bahu tanda lelaki itu pun tak tahu.
Sudahnya aku terpaksa keluar. Terus ke arah lelaki itu yang sedang duduk di sudut hujung. Lebih privasi. Berdiri sahaja di sebelahnya, terus dia pandang aku atas bawah dengan senyuman yang entah bawa maksud apa beraja di bibir.
"Ada apa?" soalku.
"Awak tengah kerja kan? Duduklah dulu. Macam tu ke layan pelanggan?" balas lelaki itu seraya bangun dan menarik kerusi untuk aku.
Aku tak duduk. Masih berpeluk tubuh dan pandang dia.
"Tahu pun saya tengah kerja, jadi kenapa cari saya waktu saya tengah kerja? Kerja saya bukan bahagian melayan pelanggan. Kerja saya dekat dalam bilik sana," bidasku.
Dia tergelak besar mendengar jawapan aku lalu sisip air dalam gelas. Dia pandang aku semula. Lama. Agaknya muka aku ini sudah berjaya buat dia angau kut sampai asyik pandang aku lama-lama.
"Garang!" katanya lalu kenyit sebelah mata pada aku.
What the hell?
"Encik ni sebenarnya nak apa? Saya ada banyak kerja dekat dalam. Kalau tak siap, nanti bos saya marah."
Lelaki itu senyum lagi lalu menepuk kerusi yang ditariknya, tanda menyuruh aku untuk duduk terlebih dahulu.
Aku mendengus perlahan lalu melabuhkan duduk di depannya.
Pandangannya turun pada tag namaku.
"Hani? Patutlah manis macam madu." Mula mengayat.
Sekali lagi tanganku naik memeluk tubuh, siap bersilang kaki. Sudah tak sabar nak halau dia keluar kalau dia banyak cakap lagi. Mungkin lelaki itu dapat kesan riak geraam aku, terus dia ketawa sebelum muka berubah riak secara drastik. Serius.
"Lelaki semalam tu, you kenal dengan dia?" soalnya.
Aku angguk. "Dia bos saya. Mestilah saya kenal."
Ceh, padahal nama lelaki itu pun aku tak tahu. Sudah semua orang panggil dia, bos. Mana aku nak cekau nama dia?
"Saya nasihatkan awak untuk jauhkan diri dari dia. Kalau awak rasa saya teruk, dia tu lagi teruk."
Aku terdiam seketika. Bos lagi teruk daripada lelaki depan ini? Bos aku itu banyak kali juga jumpa dengan aku tapi tak pernah lagi dia buat apa-apa benda buruk pada aku. Lelaki depan aku ini pula, baru kali pertama jumpa sudah dapat sebiji persepsi negatif.