"SALAH awaklah ni pergi tarik saya masuk kolam tu. Habis rosak telefon saya!" Huaa... Nak menangis!!!
Balik saja ke hotel selepas berjalan-jalan di pasar malam sana, Hail arahkan aku untuk teman dia mandi kolam demi mendapatkan tidur yang lebih pulas dan lena bila masuk dalam bilik nanti. Kiranya, letak saja kepala atas bantal, terus masuk alam mimpi.
Aku dengan separuh relanya pergilah teman dia walaupun aku rasa Hail gila sebab mandi kolam pada jam dua pagi! Aku duduk di tepi kolam dengan kaki dilunjur ke dalam air. Hail mandi seperti yang diinginkannya. Tiba-tiba dia buat-buat tenggelam dan aku yang panik terus lompat ke dalam kolam tanpa sedar diri ini tak pandai berenang! Sudahnya telefon aku yang terletak dalam poket seluar masuk air!
"Esok abang bawa Hani pergi beli latest iPhone. Tak payah bising-bising lagi. Fon rosak pun riuh sehotel," balas Hail sambil masukkan telefon aku yang sudah inalillah itu ke dalam poket seluarnya yang basah kuyup.
"Riuhlah... Saya beli fon tu guna duit gaji pertama saya tau."
"Fine... Abang minta maaf sebab dah rosakkan fon yang Hani beli guna gaji pertama Hani tu. Esok abang belikan yang baru. Kali ni dibeli oleh suami Hani sendiri. Lagi special! Dah, jom masuk bilik..." balas Hail lagi. Aku tahan sabar saja tengok muka selamba dia yang langsung tak nampak bersalah walaupun tengah sebut perkataan maaf!
Hail terus tarik tangan aku dan kami buka langkah ke arah lif untuk ke bilik semula. Lepas ini kena mandi lagi.
Pandang sekeliling, aku rasa seram sejuk sebab lobi dah sunyi habis sekarang. Walaupun ada pekerja bertugas di front desk, aku tetap seram!
Beberapa detik kami menunggu lif, akhirnya pintu lif terbuka.
Aku terkejut beruk bila mata bertentangan dengan mata orang yang ada dalam lif itu. Faizal!
Cepat-cepat aku tarik tangan yang dipegang oleh Hail tadi walaupun aku rasa seperti Hail cuba untuk eratkan lagi pegangannya.
Aku lihat Faizal pandang aku dan Hail bergilir-gilir. Mesti pelik kenapa kami berdua basuh kuyup dan berdua-duaan pada lewat malam macam ini. Harap-haraplah Faizal tak syak apa-apa.
"Hani? Bos?" Faizal bersuara.
"Eh, Faizal... Kau buat apa malam-malam ni turun?" Aku menyoal.
"Aku nak pergi cari mana-mana fast food kejap. Lapar pula tiba-tiba. Kau pula buat apa? Basah kuyup ni... "
"Err.... Aku... Err...." Berapa banyak err lah wei! Cepatlah bagi satu helah untuk cong Faizal, wahai otak!
"Kau apa?" Faizal menyoal.
"Errr... Aku... Aku... Aku terjatuh dalam kolam tadi. Kebetulan bos nampak... Bos tolong aku. Ha... Bos tolong aku... Aku kan tak pandai berenang." Ya Allah! Maafkan aku sebab dah terfitnah Hail depan tuan punya badan sendiri.
Bila Faizal anggukan kepala, aku terus tarik nafas lega walaupun dari riak muka Faizal macam ada sesuatu yang tak kena. Macam dia tak percaya pada aku... Dan memang tak perlu percaya pun sebab semua itu satu pembohongan yang nyata! Punyalah tergagap-gagap aku menjawab tadi. Kalau tipu budak tadika pun budak itu takkan percaya.
Faizal terus keluar dari lif dan aku pula terus masuk ke dalam diikuti oleh Hail di belakang. Entah kenapa... Tapi aku rasa tadi aku sempat nampak Hail dan Faizal yang keluar dan masuk serentak tu pandang satu sama lain dengan hujung mata. Tajam! Dan kedua-duanya berlaga bahu macam nak buka pentas gusti sekejap lagi. Tiada senyuman di muka masing-masing padahal Faizal orang yang sangat murah dengan senyuman dan Hail pun tadi asyik tersenyum masa kami berdua menghabiskan masa di pasar malam.