05 : Demam Panas

73 5 0
                                    

Permaisuri Mayang Kasturi ingin anakandanya, Puteri Atma Mutiyara pergi mencari kakandanya. Bagi memastikan tiada sesiapa yang mengetahui akan kepergian tuan puteri, tuanku permaisuri menitahkan anakandanya berpura-pura sakit dan tidak boleh dikunjungi oleh seseorang pun. Tuanku permaisuri bercadang agar anakandanya pura-pura mengalami demam panas. Baginda juga akan berpakat dengan dayang-dayang istana akan hal demikian.

"Begini, anakanda berpura-pura demam panas. Selepas ayahanda mengujungi anakanda, bonda mahu kamu menyelinap keluar untuk merantau mencari kakanda." jelas tuanku permaisuri.

"Tetapi mengapa ayahanda juga tidak boleh mengetahui akan hal ini?" tanya Puteri Atma Mutiyara dengan menayangkan muka yang monyok.

"Bonda risau jikalau ayahanda tidak mengizinkan anakanda pergi. Anakanda juga tahu bagaimana sifat ayahanda sendiri." pujuk bondanya.

Walaupun Sultan Panji Angkasa berhati busuk, akan tetapi baginda sangat menyayangi anakandanya itu. Jikalau Puteri Atma Mutiyara ingin melakukan hal yang lasak, sudah pasti baginda akan menghalang anakandanya itu. Bukan apa, baginda terlalu risau akan anakandanya itu, begitulah kasih seorang ayah terhadap anaknya. Tuanku permaisuri dan baginda menjaga anakanda mereka bagai menatang minyak yang penuh. Sangat kena dengan pantun ini:

Buah jambu di bawah tangga,
Buah kelapa di hujung desa;
Kasih ibu membawa ke syurga,
Kasih bapa sepanjang masa.

Tetapi demikian, alasan tuanku permaisuri berkata begitu bukanlah kerana hal itu semata-mata. Baginda masih tidak mempercayai orang lain akan hal demikian. Bukanlah baginda mahu bersangka buruk, tetapi baginda hanya ingin berjaga-jaga. Oleh itu, tuanku permaisuri memujuk anakandanya dengan alasan sedemikian. Baginda tidak mahu anakandanya berfikir yang bukan-bukan akan ayahandanya.

"Biarlah ayahanda menjenguk anakanda terlebih dahulu supaya ayahanda tidak mencurigai apabila anakanda pergi." sambung Permaisuri Mayang Kasturi kepada anakandanya.

"Baiklah bonda, anakanda menjunjung titah." balas Puteri Atma Mutiyara seraya melontarkan senyuman yang mungil kepada bondanya itu.

Permaisuri Mayang Kasturi membalas senyuman yang manis kepada anakandanya. Di samping itu, tuanku permaisuri juga memberikan kotak yang berisikan sebatang buluh yang panjangnya hampir sejengkal. Apakah maksud buluh itu? Buluh itu merupakan petunjuk yang diberikan oleh Nek Embun kepada tuanku permaisuri. Selepas kelahiran kakanda kepada Puteri Atma Mutiyara itu, Nek Embun telah memberi khabar kepada tuanku permaisuri seraya memberikan buluh tersebut sebagai petunjuk keberadaan anakandanya.

Megat yang memasang telinga daripada tadi telah melihat segala gerak-geri dua beranak itu. Dia juga mengetahui akan buluh yang menjadi petunjuk itu. Dia mempunyai muslihatnya tersendiri, dia akan memberi alasan kepada Sultan Panji Angkasa untuk keluar mengembara mencari ubat-ubatan untuk diberikan kepada Puteri Atma Mutiyara yang berpura-pura demam panas itu. Sudah pasti baginda akan mengizinkan dirinya kerana Megat sangat mengetahui bagaimana sayangnya Sultan Panji Angkasa akan anakandanya, Puteri Atma Mutiyara.

~~~~~~~~~~

Pada malam itu, rancangan yang disusun rapi itupun akhirnya dipersembahkan. Seorang dayang istana datang menghadap tuanku permaisuri dan tuanku raja untuk menyampaikan akan keadaan anakanda mereka yang sedang mengalami demam panas itu. Lebih tepat lagi ialah berpura-pura demam panas. Hehehehe (gelak jahat penulis).

Mereka berdua pergi ke kamar anakanda mereka. Wajah kebimbangan ditampilkan pada kedua-dua wajah mereka. Sudah pasti tuanku raja bimbang akan anakandanya itu. Akan tetapi berbeza pula dengan tuanku permaisuri. Pandai sungguh tuanku permaisuri berlakon.

Sesampainya baginda berdua di kamar Puteri Atma Mutiyara, mereka melihat akan keadaan anakandanya pada ketika itu. Puteri Atma Mutiyara sedang berbaring kelemahan dengan menyelimuti dirinya dengan selimut sutera yang hangat. Sultan Panji Angkasa ingin mendekati dirinya tetapi tidak diizinkan oleh anakandanya.

Puteri Tasik PurnamaWhere stories live. Discover now