Sudah pelbagai cara untuk menghapuskan sumpahan itu. Tapi apakan daya, kita hanya merencana tapi Sang Pencipta yang menentukan. Segala cara yang diusahakan tetap tidak berhasil. Sihir yang tidak diketahui asal usulnya, belum pernah digunakan oleh mana-mana ahli sihir selama bertahun-tahun abad ini.
Iya itulah Sihir Air Tasik, penawar untuk sumpahan yang melanda Tasik Purnama. Sihir yang tidak diketahui, bahkan seorang ahli sihir yang tiada tandingi kehebatannya juga tidak mengetahui akan sihir sedemikian. Walaupun begitu, mereka tetap berinisiatif untuk mencuba menghapuskan sumpahan itu. Antara usaha yang dicuba dengan sepenuh hati ialah menjampi air tasik dan diberikan kepada ibu hamil, membuat mandian bunga daripada air tasik, malahan sudah pelbagai sihir yang berkaitan dengan air telah dicuba kepada air Tasik Purnama tetapi tetap tidak berkesan.
Para ahli sihir turut membuat kajian tentang Sihir Air Tasik ini. Sudah hampir 500 tahun kajian dilakukan sejak kampung itu terkena sumpahan tetapi masih tidak menampakan sebarang sinar harapan. Semakin lama, sihir demikian tidak lagi dibicarakan dan hanya menjadi kisah lagenda. Kisah yang hanya akan dikenang oleh keturunan yang seterusnya.
Walaupun sihir pertama telah terhapus selepas keturunan ke 700, suku Teratai tetap dapat mempertahankan takhta mereka sehingga kini. Pelbagai cara yang kejam telah dilakukan bagi mengekalkan kedudukan suku mereka untuk menguasai takhta.
Disebabkan ketamakan yang menyelubungi diri, suku Teratai sememangnya sangat ingin mempertahankan takhta milik mereka akan tetapi sudah menjadi takdir yang akhirnya Permaisuri Mayang Kasturi pada ketika itu jatuh hati akan anak salah seorang pembesar yang mana dari suku Seroja iaitu merupakan Sultan Bayu Andika. Ayahanda dan bonda permaisuri sangat menghormati pilihan anakandanya.
Oleh hal demikian, setelah mendapat perkhabaran bahawa Permaisuri Mayang Kasturi sedang mengandung, terdapat segelintir kaum kerabat diraja yang tidak senang duduk. Walaupun begitu, mereka tidak berani melakukan perkara yang jahat kepada tuanku permaisuri kerana Sultan Bayu Andika yang sedang bersemayam di atas singgahsana pada ketika itu.
Tetapi malang tidak berbau, semasa kandungan permaisuri telah mencapai satu bulan, penduduk Tasik Purnama mendapat khabar duka daripada istana. Khabar duka tentang kemangkatan Sultan Bayu Andika iaitu raja yang amat mereka sanjungi. Berbalik pula dengan segelintir kaum kerabat yang menentang Sultan Bayu Andika. Berita ini merupakan berita baik buat mereka semua.
Tunku Panji Angkasa merupakan salah seorang yang menentang akan pertabalan Sultan Bayu Andika. Baginda merupakan sepupu kepada Permaisuri Mayang Kasturi. Alasan dirinya menentang pertabalan Sultan Bayu Andika sebagai raja ialah kerana Sultan Bayu Andika adalah daripada suku Seroja. Khabar kemangkatan Sultan Bayu Andika telah menjadi batu loncatan untuk dirinya memastikan pewaris takhta seterusnya akan kembali diambil alih oleh suku Teratai. Baginda telah melakukan satu rancangan yang jahat untuk menyingkirkan pewaris takhta seterusnya yang mana sedang dikandungkan oleh Permaisuri Mayang Kasturi.
~~~~~~~~~~
Pada suatu malam, Tunku Panji Angkasa telah menitahkan orang suruhan setianya, Megat untuk mencampurkan racun ke dalam herba yang kebiasaannya akan dihidangkan untuk tuanku permaisuri. Racun yang bertujuan untuk menggugurkan kandungan tuanku permaisuri. Pada awalnya, orang suruhannya itu menolak kerana takut jika dirinya ditangkap. Tetapi Tunku Panji Angkasa memaksa dengan keras dan juga baginda mengugut bahawa baginda akan membunuh anak-anak dan isterinya. Oleh hal demikian, dia terpaksa menuruti titah Tunku Panji Angkasa.
Setelah itu, tanpa berbasa basi Megat menuju ke ruangan dapur dengan membawa racun di dalam kantung bajunya. Dengan berhati-hati dia menuju ke sana, sekejap pandangannya melihat ke arah kiri kemudian dia berpaling ke arah kanan untuk memastikan tiada seseorang yang menyedari akan keberadaannya. Dia sangat beruntung kerana pada ketika itu tiada seorang dayang pun yang ada di dapur. Hanya semangkuk teh herba yang berada di atas meja pada ketika itu. Mungkin para dayang sedang menguruskan pekerjaan lain ataupun mungkin dia sedang melepas hajat sebentar. Wallahu alam bish-shawabi.
Dengan pantas Megat memasukkan racun ke dalam teh herba tersebut. Setelah itu, kedengaran bunyi kehadiran seseorang dari arah timur dapur. Barangkali dayang yang bertugas untuk menghidangkan teh herba kepada tuanku permaisuri pada malam itu. Megat pantas bersembunyi disebalik dinding yang berada di bahagian barat dapur. Ternyata betul, dayang itu memasuki dapur untuk mengambil teh herba tersebut.
Selepas mengambil teh herba tersebut, dayang itu menuju ke kamar tuanku permaisuri. Tanpa pengetahuan dirinya, Megat dengan sembunyi-sembunyi mengikutinya untuk memastikan teh herba itu sampai ke tangan tuanku permaisuri. Setelah dayang itu sampai di hadapan pintu kamar, seorang dayang yang bertugas menjaga pintu meminta izin terlebih dahulu dengan suara yang lantang agar didengari oleh tuanku permaisuri. Tuanku permaisuri mengizinkan untuk dayang itu memasuki kamarnya.
Megat hanya memerhati dari kejauhan. Setelah beberapa minit menanti, akhirnya suasana berubah menjadi riuh. Sudah pasti keadaan itu berlaku angkara racun yang dimasukkan ke dalam teh herba. Setelah menyedari akan keadaan itu, Megat berlalu pergi untuk menyampaikan berita tersebut kepada Tunku Panji Angkasa.
"Bagus kerja kamu Megat." ujar Tunku Panji Angkasa.
Megat hanya menganggukkan kepalanya.
"Pasti anak itu tidak boleh diselamatkan lagi. Hahahahahaha. Puas hati beta." baginda gelak dengan sepuas hatinya.
Sementara itu, di dalam kamar tuanku permaisuri, keadaan menjadi tegang kerana tuanku permaisuri berlaku pendarahan selepas meminum teh herba itu. Dayang-dayang yang berada di situ sangat gelisah. Salah satu dayang yang berada di situ dengan segera pergi untuk meminta pertolongan. Semasa sedang mencari pertolongan ke sana, ke sini, dia tidak sengaja terlanggar Nek Embun. Nek Embun seorang ahli sihir diraja yang hebat dan berhati suci. Dayang itu meminta maaf kerana tidak sengaja melanggar Nek Embun.
"Maafkan hamba, Nek Embun. Hamba tidak sengaja." kata si dayang kepada Nek Embung.
"Kenapa, apa yang telah terjadi? Sampai-sampai kamu tidak menyedari orang yang berjalan berhampiran kamu?" tanya Nek Embun lemah lembut.
"Nekkkk, tolong kami nekkk. Tuanku permaisuri nekkk." ujar dayang itu dengan nada suara seperti dalam ketakutan.
"Kenapa? Cuba cerita dengan perlahan-lahan. Tarik nafas dahulu." nasihat Nek Embun.
Dayang itupun menceritakan segala hal yang berlaku terhadap tuanku permaisuri kepada Nek Embun. Selepas itu, mereka bergegas ke kamar baginda tuanku permaisuri untuk melihat keadaan tuanku permaisuri pada ketika itu. Alangkah terkejutnya Nek Embun setelah melihat pendarahan yang dialami oleh tuanku permaisuri.
"Bagaimana ini terjadi?" tanya Nek Embun kepada salah satu dayang yang berada di situ.
"Kami tidak tahu Nek Embun." jawab seorang dayang.
"Kalau tidak kerana angin tidak akan pokok bergoyang." balas Nek Embun seraya memeriksa keadaan permaisuri.
"Maafkan hamba, tuanku permaisuri begini setelah minum teh herba yang hamba hidangkan sebentar tadi." jawab dayang yang bertugas menghidangkan teh herba itu dengan suara ketakutan.
Nek Embun mengambil mangkuk teh herba yang berada di atas meja tuanku permaisuri. Beliau menghidu mangkuk tersebut. Beberapa kali juga beliau mengulang perkara yang dilakukannya itu.
"Aku tahu apa yang berlaku. Kamu semua usah bimbang." kata Nek Embun cuba menenangkan para dayang istana.
__________
Assalamualaikum para pembaca yang hamba rindui. Apa khabar kamu semua? Sihat? Sudah makan?
Bagaimana cerita yang setakat ini hamba telah karangkan? Adakah kurang menarik ataupun membuat tuan hamba sekalian menjadi semakin tidak sabar untuk mengetahui kisah seterusnya?
Hamba berharap hamba tidak menghampakan tuan hamba sekalian untuk sambungan selanjutnya. Hamba minta diri dahulu ya. Selamat membaca sambungan kisah ini.
Bersambung.....

YOU ARE READING
Puteri Tasik Purnama
Fantasy[ fantasi ] Tasik Purnama telah terkena sumpahan! Disebabkan sumpahan ini, penduduknya yang terdiri dari suku Seroja dan suku Teratai mula berpecah belah. Kedua suku ini memiliki kuasa bunga yang luar biasa hebatnya. Pada suatu hari, seorang ahli s...