"Puteri!" teriakan Pari Intan telah mengejutkan Arjuna Sukma dan Puteri Atma Mutiyara yang sudah terlelap itu.
Arjuna Sukma dan Puteri Atma Mutiyara menggosok-gosokkan mata mereka. Dengan mata yang sedikit balam-balam kerana baru sahaja terjaga daripada tidur, mereka memerhati si jejaka yang berada di hadapan mereka.
"Apa yang kamu mahu?!" jerkah Arjuna Sukma kepada si jejaka itu.
Puteri Atma Mutiyara dan Pari Intan tersentak selepas mendengar pertanyaan itu.
"Maafkan aku, aku ke sini bukan untuk mencari gaduh. Aku mahu meminta pertolongan." terang si jejaka itu.
Si jejaka itu merupakan Indera Tapa yang juga musuh kepada Arjuna Sukma. Patutlah wajah Arjuna Sukma berubah serius apabila melihat si jejaka itu.
Puteri Atma Mutiyara cuba menenangkan Arjuna Sukma yang dalam kemarahan itu. Belakang Arjuna Sukma digosok lembut oleh Puteri Atma Mutiyara. Selepas menyedari akan hal itu, Arjuna Sukma menenangkan dirinya.
"Baiklah, apa yang terjadi?" tanya Arjuna Sukma kembali selepas dirinya sudah tenang.
Indera Tapa menceritakan segala hal yang terjadi kepada Cahya Rembulan. Dia betul-betul risau akan Cahya Rembulan yang tidak berdaya itu. Keadaan Cahya Rembulan sudah seperti tiada semangat untuk hidup. Tatapannya kosong, suka termenung dan sering pengsan. Arjuna Sukma dan Puteri Atma Mutiyara memberikan sepenuh tumpuan kepada Indera Tapa. Mereka bersimpati akan perkara yang menimpa Cahya Rembulan. Selepas mengetahui perkara yang terjadi, mereka semua berlari menuju ke arah gua.
Akhirnya mereka sampai di hadapan gua, tanpa membuang masa mereka masuk lalu menuju ke arah Cahya Rembulan. Puteri Atma Mutiyara memerhati Cahya Rembulan, matanya tertumpu pada kalung yang dipakai oleh Cahya Rembulan. Kalung itu serupa dengan kalung yang dipakai olehnya, akan tetapi sedikit berbeza dengan jenis bunga. Selepas melihat keadaan Cahya Rembulan, Puteri Atma Mutiyara meminta pertolongan kepada Pari Intan. Puteri Atma Mutiyara meminta Pari Intan untuk mencari herba ajaib. Herba ajaib yang berupaya untuk memberikan tenaga ialah tumbuhan Sasa Sakti.
"Pari Intan, bolehkah kamu menolong saya untuk mencari tumbuhan Sasa Sakti?" tanya Puteri Atma Mutiyara kepada pari-pari kecil itu.
"Sudah tentu, dengan senang hati saya akan menolong tuan puteri." balas Pari Intan.
Pari Intan keluar dari gua, dia pergi mencari tumbuhan Sasa Sakti yang diminta Puteri Atma Mutiyara. Disebabkan dia sudah mahir akan selok-belok hutan itu, jadi tidak begitu sukar untuknya mencari tumbuhan Sasa Sakti. Kini Pari Intan sudah menjumpai tumbuhan tersebut. Dipetiknya tumbuhan itu dan diusung untuk diberikan kepada Puteri Atma Mutiyara.
"Ini dia Sasa Sakti." Pari Intan menghulurkan tumbuhan itu kepada Puteri Atma Mutiyara.
"Terima kasih Pari Intan." ujar Puteri Atma Mutiyara seraya mengambil Sasa Sakti itu. Setelah itu baginda merebus tumbuhan itu dengan menggunakan peralatan Indera Tapa. Digantungkan pada kayu yang digunakan untuk memanggang kijang tadi. Tidak lama selepas itu, Puteri Atma Mutiyara mengambil air herba ajaib itu dan diberi minum kepada Cahya Rembulan. Cahya Rembulan kembali terjaga daripada ketidaksedarannya itu. Cahya Rembulan memerhati orang-orang yang berada disekelilingnya. Dirinya yang terbaring dibantu oleh Indera Tapa untuk duduk. Cahya Rembulan kebingungan, dia tidak mengenali Arjuna Sukma dan Puteri Atma Mutiyara. Matanya sekejap ke arah Arjuna Sukma kemudian ke arah Cahya Rembulan.
"Kamu tidak apa-apa? Masih tidak sihat?" tanya Indera Tapa kepada Cahya Rembulan.
Cahya Rembulan kebingungan dengan soalan yang diajukan Indera Tapa. Dia tidak tahu perkara yang berlaku kepada dirinya. Selepas melihat wajah Cahya Rembulan yang kebingungan itu, Indera Tapa pun menceritakan segala hal yang terjadi.
YOU ARE READING
Puteri Tasik Purnama
Fantasy[ fantasi ] Tasik Purnama telah terkena sumpahan! Disebabkan sumpahan ini, penduduknya yang terdiri dari suku Seroja dan suku Teratai mula berpecah belah. Kedua suku ini memiliki kuasa bunga yang luar biasa hebatnya. Pada suatu hari, seorang ahli s...