Di Taman Puspa Sentosa, sesi latihan silat pun bermula. Mereka menggunakan toya rotan untuk belajar seni tongkat panjang. Sebelum latihan bermula, mereka memulakan dengan upacara Membuka Gelanggang, iaitu dengan membaca ayat-ayat suci Al-Quran dan diikuti dengan memanjatkan doa ke hadrat ILLAHI meminta agar dijauhkan segala mara bahaya semasa latihan sedang dijalankan. Selepas melakukan aktiviti pemanasan badan dan senaman gerakan jurus, barulah mereka berdua memulakan pelajaran pada hari itu.
Dengan memakai pakaian yang serba hitam, tengkolok di atas kepala dan kaki tanpa beralas seraya memegang toya rotan, mereka berlawan di tengah-tengah lapangan di Taman Puspa Sentosa. Mereka mengikuti gerakan yang telah diajar oleh Nek Embun. Sungguh segak pergerakan yang dilakukan. Dengan semangat yang membara, mereka berlawan sehingga salah seorang daripada mereka tumbang terlebih dahulu.
Sebelum ini, Nek Embun sudah mengajar mereka beberapa peringkat dalam ilmu persilatan. Antara peringkat yang telah diajar ialah tapak gayong, seni tapak gayong, seni keris, seni simbat dan beberapa lagi. Sekarang, mereka telah mencapai pada peringkat seni tongkat panjang dimana mereka perlu menggunakan toya rotan. Toya rotan adalah senjata berupa tongkat panjang yang pada asalnya diperbuat daripada rotan.
Sejak zaman dahulu, manusia memanfaatkan pelbagai peralatan dalam kehidupan harian sebagai senjata untuk mempertahankan diri. Salah satu peralatan yang mereka gunakan ialah tongkat. Tongkat dari batang kayu atau buluh ini pada asalnya digunakan sebagai pemikul, baik memikul barang dagangan atau membawa timba kayu berisi air. Selain itu, tongkat juga dipakai sebagai alat penyokong untuk berjalan.
Semasa mereka sedang berlatih dengan semangatnya, Citra Rembulan dan Nek Embun memerhati mereka dari kejauhan. Dirisaukan jikalau dilihat dengan jarak yang lebih dekat nanti tidak sengaja terkena toya rotan mahunya pengsan di situ. Bunyi lagaan toya rotan yang dihasilkan memecah kesunyian pada pagi itu. Ada juga beberapa orang kampung turut menyaksikan latihan mereka itu. Sedang khusyuk mereka berlatihan, tiba-tiba Cahya Rembulan jatuh terduduk seperti nangka busuk.
"Aduh!" ucap Cahya Rembulan seraya merebah bumi.
Nek Embun dan Citra Rembulan yang menyaksikan keadaan itu berlari-lari anak pergi menuju di tempat keberadaan mereka. Cahya Rembulan tidak sempat menghalang toya rotan yang dihalakan ke arahnya. Hal itu menyebabkan toya rotan mendarat di kaki kiri Cahya Rembulan. Nek Embun menyuruh mereka untuk berhenti berlatih. Latihan Silat Seni Gayong diakhiri dengan upacara Menutup Gelanggang. Mereka membaca ayat-ayat suci Al-Quran sebagaimana pada upacara Membuka Gelanggang. Selepas itu barulah mereka beredar dari lapangan.
Disebabkan kaki Cahya Rembulan mengalami kesakitan, dia berjalan terhincut-hincut. Sinar Pesaka yang telah menyedari akan hal itupun memapah Cahya Rembulan.
"Mari sini aku papahkan." ujar Sinar Pesaka kerana kasihan melihat keadaan Cahya Rembulan.
"Eh, tidak usahlah. Aku masih boleh berjalan sendiri." balas Cahya Rembulan malu-malu.
"Tidak mengapa, sini." jawab Sinar Pesaka lalu menarik tangan kanan Cahya Rembulan dan meletakkan di atas bahunya.
Selepas memakai sarung kaki yang berada di hadapan mereka, mereka menyusung langkah untuk pulang ke rumah. Nek Embun dan Citra Rembulan sudah jauh di hadapan meninggalkan mereka berdua. Citra Rembulan menolong kakak dan abangnya dengan membawa segala peralatan mereka. Untuk pengetahuan tuan hamba semua, Citra Rembulan masih tidak berani untuk mempelajari ilmu silat. Dia takut untuk berlawan di dalam gelanggang ketika latihan dijalankan. Disebabkan hal itu, Nek Embun tidak mengajarnya. Biarlah tunggu sampai dirinya sendiri mahu belajar, dipaksa nanti dirisaukan dia menangis pula.
Sesampainya di rumah, mereka disambut oleh kedua orang tua mereka, Antariksa dan Anggerik Sari. Sinar Pesaka membantu Cahya Rembulan untuk duduk di atas kerusi rotan. Selepas itu, Nek Embun menghampiri Cahya Rembulan yang sedang kesakitan itu. Nek Embun menghulurkan tangannya pada pergelangan kaki tempat terkena toya rotan, lalu dibacanya mantera-mantera. Sinaran cahaya keluar daripada tapak tangan Nek Embun. Setelah itu Nek Embun mengalihkan tapak tangannya. Beberapa saat kemudian tiada lagi kesakitan yang dirasakan oleh Cahya Rembulan. Sungguh ajaib! Nek Embun mengubati di rumah kerana tidak manis jikalau kaki Cahya Rembulan diselak dikhalayak ramai.
Selesai berubat, Cahya Rembulan menuju ke dapur. Kelihatan ibunya, Anggerik Sari sedang menghidangkan lauk-pauk sebagai makanan tengah hari mereka pada hari tu. Sinar Pesaka dan Citra Rembulan sudah berada di meja makan pada waktu itu. Cahya Rembulan dan Nek Embun menarik kerusi untuk makan bersama-sama mereka berdua. Antariksa dan Anggerik Sari tidak turut serta kerana mereka telah makan lebih dahulu. Antariksa mempunyai kerja diluar, disebabkan hal itu dia makan terlebih dahulu dan ditemani oleh Anggerik Sari.
"Ayah pergi dahulu." ujar Antariksa seraya melambaikan tangan ke arah anak-anaknya.
Anggerik Sari menghantar Antariksa sehingga ke pintu rumah. Sebelum Antariksa pergi, dia sempat bersalaman. Anggerik Sari mencium tangan suaminya itu manakala Antariksa mencium dahi isterinya. Anak-anaknya tidak sedar akan hal itu, mereka khusyuk dengan makanan yang ada. Nek Embun yang menyedari akan hal itu hanya tersenyum manis. Sungguh manis pasangan suami isteri ini, ujar Nek Embun di dalam hati.
Selepas selesai makan, Cahya Rembulan membasuh kesemua pinggan, mangkuk, cawan yang telah digunakan mereka sebentar tadi. Nek Embun dan Citra Rembulan pergi ke halaman rumah menemani Anggerik Sari yang sedang berada di atas pondok. Anggerik Sari sedang menganyam daun kelapa untuk dijadikan lidi. Sementara itu, di dapur kelihatan Sinar Pesaka menghampiri Cahya Rembulan.
"Mari sini aku tolong." ujar Sinar Pesaka kepada Cahya Rembulan.
"Eh, tidak usahlah." balas Cahya Rembulan.
"Mari sini aku kata!" ujar Sinar Pesaka dalam nada yang agak tegas.
Selepas itu, barulah Cahya Rembulan mahu menerima pertolongan daripada Sinar Pesaka. Begitulah sikap Cahya Rembulan, jikalau tidak bersikap tegas pasti dia tidak mahu menerima pertolongan daripada Sinar Pesaka. Sinar Pesaka sudah masak dengan perangai Cahya Rembulan itu. Mereka berdua membasuh segala yang ada bersama-sama. Sedang khusyuk Cahya Rembulan mencuci pinggan, tiba-tiba Sinar Pesaka memercikkan sedikit air dengan hujung jarinya kepada Cahya Rembulan. Sempat pula dia bergurau pada masa itu. Cahya Rembulan terkejut kerana air itu terkena pada mukanya.
"Ish, habis basah muka aku." marah Cahya Rembulan.
"Ala, sikit je. Mari sini aku tolong bersihkan." balas Sinar Pesaka lalu menarik lengan bajunya dan mengelap percikan-percikan air yang berada di wajah Cahya Rembulan.
Sinar Pesaka yang menyedari akan kemarahan Cahya Rembulan itu cuba memujuk supaya gadis itu gembira kembali. Sinar Pesaka memujuk Cahya Rembulan dengan membuat muka yang lucu. Hati Cahya Rembulan tergelitik sewaktu melihat muka lucu Sinar Pesaka. Akan tetapi dia langsung tidak menunjukkan riak wajah yang terhibur. Jual mahal betul si Cahya Rembulan ini. Sinar Pesaka memang seorang yang lucu anaknya, ada sahaja jenaka yang akan dilakukan olehnya. Setelah melihat tiada tanda-tanda keceriaan pada wajah Cahya Rembulan, Sinar Pesaka pun terdiam lalu menyambung mencuci pinggan, mangkuk.
Sinar Pesaka mencari ilham untuk membuat Cahya Rembulan kembali ceria. Dia tidak mahu melihat Cahya Rembulan marah akan dirinya. Walaupun begitu, dia suka mengusik Cahya Rembulan dan akhirnya akan mendatangkan kemarahan dalam diri Cahya Rembulan. Sebenarnya Cahya Rembulan tidaklah begitu marah akan dirinya, akan tetapi dia sengaja melakukan hal demikian kepada Sinar Pesaka. Cahya Rembulan suka melihat gelagat Sinar Pesaka apabila sedang gelabah.
Wah, wah, wah, main tarik tali ya dua orang ini.
Sabar aja lah. ( ꈍᴗꈍ)Bersambung.....
YOU ARE READING
Puteri Tasik Purnama
Fantasía[ fantasi ] Tasik Purnama telah terkena sumpahan! Disebabkan sumpahan ini, penduduknya yang terdiri dari suku Seroja dan suku Teratai mula berpecah belah. Kedua suku ini memiliki kuasa bunga yang luar biasa hebatnya. Pada suatu hari, seorang ahli s...