Khabar baik dari istana telah tersebar di seluruh pelosok Kampung Tasik Purnama. Khabar mengenai Permaisuri Mayang Kasturi yang sedang mengandung. Tuanku permaisuri dan suami tercinta, Sultan Bayu Andika iaitu Raja Tasik Purnama sangat bersyukur dengan rezeki yang mereka dapatkan. Usia kandungan tuanku permaisuri sudah mencapai tujuh minggu. Rakyat jelata sangat gembira akan perkhabaran baik tersebut. Walaupun begitu, terdapat segelintir rakyat yang mula mempersoalkan pewaris tersebut daripada suku Seroja atau Teratai. Jikalau mengikut sumpahan yang sudah ditetapkan, pewaris tersebut akan dilahirkan sebagai suku Seroja.
Lagenda ini telah berlaku 789 tahun yang lalu, dikatakan bahawa Tasik Purnama telah terkena sumpahan angkara permaisuri yang pada ketika itu telah melanggar pantang larang Tasik Purnama. Lagenda turut mengatakan bahawa pada ketika itu kelahiran suku Seroja dan suku Teratai tidak perlu hanya bergantung kepada suku yang dimiliki oleh si ayah sahaja.
Baiklah, begini kisahnya. Pada ketika itu, anak yang akan dilahirkan dapat mewarisi salah satu suku jikalau ibu dan ayahnya mempunyai suku yang berbeza. Misalnya, si ibu dari suku Teratai manakala si ayah dari suku Seroja. Anak yang akan dilahirkan itu akan menjadi salah satu daripada mereka. Sama ada anak itu akan terlahir sebagai suku Teratai ataupun Seroja. Hal demikian telah ditetapkan oleh Sang Pencipta.
__________
"Jadi bagaimana untuk mengenali mereka daripada suku mana?" pasti persoalan ini bermain-main dalam minda tuan hamba sekalian, para pembaca yang hamba sayangi.
"Maafkan hamba kerana telah menimbulkan persoalan yang membuat tuan hamba terpaksa berfikir." permohanan maaf tulus daripada penulis kesayangan tuan hamba sekalian. "Hehehe, jangan marah yaaa."
__________
Baiklah, mari hamba jelaskan. Jikalau tuan hamba mahu tahu. Sejak lahir, mereka mempunyai ukiran pada tapak tangan mereka. Adakah itu tanda lahir? Boleh dikatakan begitu. Tanda lahir yang cukup cantik. Pada tapak tangan kanannya akan terukir bunga Seroja ataupun Teratai. Ukiran salah satu bunga itulah yang akan menjadi identiti mereka sama ada dari suku Teratai atau Seroja.
Tetapi demikian, keadaan sudah berbeza akibat pantang larang yang telah dilanggar oleh permaisuri Tasik Purnama pada 789 tahun yang lalu. Hal ini terjadi kerana dendam yang membara yang telah tersemat di dalam hati si permaisuri.
Alkisahnya, si puteri mahkota dari suku Seroja telah bermain kasih dengan si jejaka perkasa yang juga dari suku Seroja. Tapi malangnya cinta mereka tidak direstui oleh keluarga puteri mahkota. Hal ini kerana si jejaka itu merupakan seorang petani. Ayahanda dan bonda puteri mahkota menentang cinta mereka berdua kerana si jejaka itu dari golongan bawahan yang mana dapat mencemarkan nama baik kerabat diraja.
Puteri mahkota terpaksa menerima perjodohannya dengan bangsawan yang mana dari suku Teratai. Selepas perkahwinan itu dilaksanakan, pertukaran takhta turut dilaksanakan. Suaminya ditabalkan sebagai Raja Tasik Purnama manakala puteri mahkota bertukar gelaran menjadi Permaisuri Tasik Purnama. Setelah satu tahun perkahwinan mereka, akhirnya mereka mendapat khabar baik bahawa permaisuri sedang mengandung. Akibat dendam permaisuri yang telah dipendam lama, permaisuri membuat keputusan untuk memastikan anak dalam kandungannya akan mewarisi genetiknya yang mana daripada suku Seroja.
Disebabkan hal itu, permaisuri sanggup melanggar pantang larang Tasik Purnama. Dikatakan bahawa ada cara untuk memastikan anak yang dikandung akan mengikuti genetik suku yang diingini untuk diwarisi oleh si anak. Caranya adalah dengan meminum air daripada ramuan tumbuhan Sayap Putih.
Semasa kandungan permaisuri sudah mencapai tiga bulan, permaisuri menitahkan ahli sihir diraja untuk mencari tumbuhan Sayap Putih. Tumbuhan Sayap Putih amat sukar untuk dijumpai, nun jauh di pergunungan. Ahli sihir itu hanya mampu mengikuti kehendak si permaisuri kerana takut dirinya akan di hukum.
"Wahai, Anom. Beta ingin kamu mencari tumbuhan Sayap Putih." titah permaisuri.
"Tapi tuanku, bukankah itu tumbuhan yang bahaya dan perlu dihindarkan?" tanya Anom kepada permaisuri.
"Betul, tapi beta sangat memerlukan tumbuhan itu. Beta sangat memerlukan bantuan kamu, Anom." pujuk permaisuri.
Anom tahu akan niat tersembunyi tuanku permaisuri untuk menyuruhnya mencari tumbuhan tersebut. Walaupun begitu, Anom tidak membantah akan permintaan tuanku permaisuri.
Setelah tujuh hari, tujuh malam tiada khabar dari Anom, akhirnya Anom pulang dengan membawa tumbuhan Sayap Putih. Anom juga yang ditugaskan untuk membuat ramuan kepada permaisuri. Anom menghadap tuanku permaisuri untuk menyerahkan ramuan yang telah dibancuh olehnya untuk diberi minum kepada permaisuri. Anom mengetahui tindakannya itu salah. Tetapi dia tidak mampu menentang kehendak tuanku permaisuri. Perasaan serba salah menyelubungi dirinya. Mahu tidak mahu dia terpaksa untuk mengikuti kehendak permaisuri.
Selepas tuanku permaisuri minum air ramuan Sayap Putih, tuanku permaisuri menjalani hari-harinya seperti biasa. Tiada perkara yang ganjil terjadi akan kandungannya. Walaupun begitu, pada hari kelahiran pewaris takhta Tasik Purnama telah bertukar menjadi bencana. Awam di langit bertukar mendung, hari menjadi semakin gelap, hujan mulai turun dengan lebatnya, angin dengan kuatnya meniup kesemua yang berada di kampung itu dan guruh yang kuat dilangit menyebabkan kebimbangan terhadap penduduk Tasik Purnama.
Disebabkan malapetaka yang terjadi, Nujum Banang dipanggil untuk menghadap raja. Nujum Banang ialah nujum yang sangat arif tentang perkara yang berlaku terhadap Tasik Purnama. Beliau seolah-olah mendapat pesanan langsung daripada Sang Pencipta. Itulah anugerah yang dimiliki oleh keturunan ahli nujum. Oleh hal demikian, jikalau terjadi sesuatu keadaan yang buruk mahupun baik, pasti ahli nujum menjadi tempat rujukan. Walaupun begitu, masih ada hal yang tidak dapat ahli nujum ketahui. Perkara itu bergantung kepada yang Maha Kuasa, Sang Pencipta Seluruh Alam. Ahli nujum juga merupakan insan yang lemah semata-mata.
"Wahai Nujum Banang, petanda buruk apakah yang telah menyerang kawasan kita yang damai lagi harmoni ini?" tanya raja kepada Nujum Banang.
"Maaf tuanku, patik bukan mahu menuduh semata-mata." ujar Nujum Banang.
"Apa yang kamu maksudkan?" tanya raja kepada Nujum Banang.
"Hal ini terjadi kerana tuaku permaisuri telah berbuat khianat. Tuaku permaisuri telah melanggar pantang larang yang telah ditetapkan oleh Sang Pencipta kepada Tasik Purnama dan menyebabkan Kampung Tasik Purnama terkena sumpahan." jelas Nujum Banang dengan panjang lebar.
Tuanku raja sangat terkejut apabila mendengar hal yang sebenarnya terjadi. Baginda terdiam seribu bahasa. Perasaannya pada ketika itu bagai kaca terhempas ke batu.
Selepas kejadian itu, Kampung Tasik Purnama telah terkena dua sumpahan. Sumpahan yang pertama, disebabkan pelakunya dari suku Seroja, takhta Tasik Purnama akan dipegang oleh suku Teratai selama 700 keturunan. Sumpahan yang kedua, disebabkan si isteri yang telah berbuat khianat dengan melanggar patang larang tersebut, setiap anak yang akan dilahirkan hanya akan mewarisi genetik suku daripada ayahnya sahaja dan hanya satu cara yang dapat melenyapkan sumpahan ini. Penawar sumpahan itu ialah Sihir Air Tasik.
Begitulah kejadian yang menimpa Kampung Tasik Purnama, ibarat telur sesangkak pecah sebiji, pecah semua.
__________
Assalamualaikum dan selamat sejahtera para pembaca yang hamba kasihi, bagaimana dengan cerita ini? Adakah tuan hamba berasa teruja?
Baiklah, disini hamba mahu memperjelaskan sedikit kebingungan yang mungkin ada di dalam fikiran tuan hamba sekalian.
Persoalannya berbunyi begini: "Adakah pantang larang itu hanya sekadar tumbuhan Sayap Putih?"
Sudah tentu tidak, masih ada beberapa pantang larang yang ada. Malahan pantang larang untuk suami juga ada. Seperti mana cerita di atas, pantang larang yang dilakukan oleh isteri untuk mengekalkan genetik dirinya turun kepada anaknya. Begitu juga dengan suami, pasti ada pantang larang yang boleh digunakan oleh suami untuk mengekalkan genetik dirinya untuk diturunkan kepada anaknya. Oleh hal itu, sumpahan yang dikenakan menjadi munasabah untuk disumpahkan kepada Tasik Purnama.
Walaupun begitu, hamba tidak boleh menceritakan segala pantang larang yang ada kerana perkara yang tidak baik dan dapat menimbulkan bencana perlu kita elakkan.
Baiklah, buat masa ini sampai di sini sahaja cerita yang hamba curahkan untuk tuan hamba sekalian. Selamat tinggal, semoga kita bertemu lagi pada sambungan yang akan datang.
Bersambung.....
YOU ARE READING
Puteri Tasik Purnama
Fantasía[ fantasi ] Tasik Purnama telah terkena sumpahan! Disebabkan sumpahan ini, penduduknya yang terdiri dari suku Seroja dan suku Teratai mula berpecah belah. Kedua suku ini memiliki kuasa bunga yang luar biasa hebatnya. Pada suatu hari, seorang ahli s...