Manakala di Kampung Sentosa, pada waktu petang kelihatan Cahya Rembulan dan Sinar Pesaka sedang berjalan menuju ke Taman Puspa Sentosa. Kebiasaannya jikalau mereka mempunyai masa lapang, mereka akan pergi mengambil udara segar di Taman Puspa Sentosa bersama-sama dengan Citra Rembulan. Akan tetapi pada hari itu, Citra Rembulan pergi bermain bersama-sama sahabatnya. Oleh itu, hanya mereka berdua yang pergi ke taman.
Mereka berdua sangat menyayangi Citra Rembulan. Citra Rembulan ialah penyeri di dalam keluarga mereka. Citra Rembulan dilahirkan pada waktu malam, malam yang sangat indah pada kebiasaannya. Bulan pada hari itu terlihat lebih terang. Malam itu sangat sama dengan hari kelahiran Cahya Rembulan. Ibu dan ayah mereka memberi nama Rembulan sempena cahaya bulan yang sangat indah pada malam kelahiran mereka berdua, Cahya Rembulan dan Citra Rembulan. Mungkin disebabkan persamaan yang mereka miliki itu, mereka mempunyai hubungan yang lebih rapat. Citra Rembulan juga sangat mengagumi kakaknya, Cahya Rembulan. Dia suka mengikut perkara yang dilakukan oleh kakaknya, kecuali belajar Silat Gayong.
Salah satu perkara yang diikuti Citra Rembulan ialah memakai sarung tangan pada tangan kanan. Kakaknya, Cahya Rembulan selalu memakai sarung tangan tersebut. Dia masih belum pernah melihat kakaknya itu melepaskan sarung tangan, dia masih tidak mengetahui alasan kakaknya memakai sarung tangan. Walaupun begitu, dia tidak terlalu memikirkan hal itu kerana Nek Embun juga memakai sarung tangan pada tangan kanan. Citra Rembulan berfikir kemungkinan ahli sihir memang suka memakai sarung tangan.
Hal yang menyebabkan Nek Embun dan Cahya Rembulan memakai sarung tangan adalah kerana ukiran bunga yang ada pada tangan mereka. Mereka berdua perlu berwaspada kerana terdapat segelintir penduduk yang tidak menyukai orang asing berada di kampung mereka. Penduduk menganggap bahawa keganjilan adalah suatu bencana. Walaupun begitu, masih ada penduduk yang mempunyai sifat berkeprimanusiaan.
~~~~~~~~~~
Di sepanjang perjalanan, mereka hanya diam membisu. Sinar Pesaka menyedari bahawa Cahya Rembulan masih marah akan dirinya. Sesampainya mereka di taman, Cahya Rembulan menuju ke arah buaian yang ada. Buaian itu dihiasi dengan bunga-bungaan dengan pelbagai warna. Cantik sungguh! Akan tetapi, buaian itu sudah digunakan oleh seorang budak perempuan yang berambut keperang-perangan. Air muka Cahya Rembulan bertukar menjadi sedih. Dia sangat ingin bermain buaian itu. Sinar Pesaka yang menyedari akan hal itu membantu Cahya Rembulan untuk bermain buaian.
Sinar Pesaka mendekati perempuan yang sedang seronok bermain buaian, lalu dia memberi salam terlebih dahulu.
"Assalamualaikum cik adik." ujar Sinar Pesaka.
"Waalaikumussalam." jawab budak perempuan itu
"Bolehkah cik adik membantu saya memujuk gadis itu? Dia sedang bermasam muka dengan saya." kata Sinar Pesaka seraya menunjuk ke arah Cahya Rembulan. Cahya Rembulan yang melihat kejadian itu daripada jauh hanya berada dalam keadaan kebingungan kerana dirinya ditunjuk.
"Bagaimana saya boleh memujuknya?" tanya budak perempuan itu kembali.
"Bolehkah cik adik memberi buaian ini kepada dia?" pinta Sinar Pesaka dengan nada yang lembut.
Budak perempuan itu tersenyum lalu bangun. Dia memberikan buaian itu kepada Cahya Rembulan untuk bermain. Sungguh baik hati budak perempuan itu. Sinar Pesaka lalu memanggil Cahya Rembulan yang tercengang daripada tadi. Cahya Rembulan pun menghampiri dirinya.
"Bagaimana kamu memujuk budak tadi itu?" tanya Cahya Rembulan.
"Rahsia." jawab Sinar Pesaka ringkas.
Cahya Rembulan hanya menarik nafas panjang dengan jawapan yang diberikan Sinar Pesaka. Cahya Rembulan pun bermain buaian itu. Sinar Pesaka membantu Cahya Rembulan bermain buaian. Sinar Pesaka menolak buaian itu daripada belakang, buaian yang diduduki Cahya Rembulan bergerak ke depan dan kebelakang. Cahya Rembulan tersenyum keriangan. Kini mereka berdua sudah berbaik semula. Cahya Rembulan terharu dengan usaha Sinar Pesaka untuk memujuk dirinya itu.
Selepas puas bermain, mereka berdua bersiar-siar di taman. Semasa sedang bersiar-siar, satu kuntum bunga di taman menarik perhatian Sinar Pesaka. Sinar Pesaka berhenti di hadapan bunga itu manakala Cahya Rembulan meneruskan langkahnya. Cahya Rembulan tidak menyedari akan ketiadaan Sinar Pesaka di sampingnya, dia leka tatkala menikmati keindahan alam. Cahya Rembulan mengakhiri langkahnya dengan melabuhkan punggung di atas bangku. Sinar Pesaka memetik bunga itu lalu berlari-lari anak ke arah Cahya Rembulan yang sedang beristirahat.
Sinar Pesaka yang berada di hadapan Cahya Rembulan pada ketika itu membongkokkan sedikit dirinya. Kini muka mereka saling berhadapan, lalu Sinar Pesaka menyelitkan bunga yang dipetiknya di telinga Cahya Rembulan. Cahya Rembulan terkejut dengan tindakan Sinar Pesaka, dia memegang bunga yang berada di telinganya itu.
"Cantik!" puji Sinar Pesaka.
"Te..terima kasih." balas Cahya Rembulan tergagap-gagap.
Sinar Pesaka hanya melontarkan senyuman yang manis kepada Cahya Rembulan. Kemudian menegakkan badannya kembali. Suatu perasaan yang ganjil terasakan oleh Cahya Rembulan pada ketika itu, pipinya merona kemerahan. Selepas itu, Sinar Pesaka juga melabuhkan punggungnya di samping Cahya Rembulan. Mereka hanya diam membisu memerhatikan semua yang ada disekelilingnya. Terlihat ramai penduduk tidak kira usia berada di taman itu, masing-masing sedang bergembira dengan cara tersendiri.
Semasa mereka sedang leka dibuai angin sepoi-sepoi bahasa, Sinar Pesaka membuka mulut untuk mengajukan satu soalan kepada Cahya Rembulan.
"Kalau aku mahu tahu, kenapa kamu sentiasa pakai sarung tangan itu?" tanya Sinar Pesaka kerana ingin tahu.
"Kamu ingin tahu?" tanya Cahya Rembulan kembali.
Sinar Pesaka mengangguk-anggukkan kepalanya tanda dia ingin tahu akan hal itu. Cahya Rembulan melihat disekelilingnya untuk memastikan tiada sesiapa di situ. Selepas mendapati tiada seorangpun disitu, dia menyelak sedikit sarung tangan itu. Separuh ukiran bunga Seroja yang cantik ditunjukkan kepada Sinar Pesaka. Sinar Pesaka terpaku selepas melihat ukiran pada tapak tangan kanan Cahya Rembulan. Selepas itu, Cahya Rembulan menutup kembali ukiran itu, dirisaukan ada yang menyedari akan hal tersebut.
"Aku rasa sudah tiba masanya kamu mengetahui akan hal ini." kata Cahya Rembulan kepada Sinar Pesaka.
Cahya Rembulan menceritakan asal-usul dirinya. Nek Embun sering menceritakan kepadanya tentang kejadian 19 tahun yang lalu. Selain itu, ibu dan ayahnya sekarang iaitu orang tua kepada Sinar Pesaka dan Citra Rembulan juga mengetahui akan hal tersebut. Disebabkan hal itu mereka selalu menyuruh Cahya Rembulan untuk memakai sarung tangan. Walaupun begitu, masih ada satu perkara yang Cahya Rembulan tidak ketahui. Alasan kenapa ibu, ayah dan neneknya tidak mengizinkan mereka pergi bermain di tasik, sudah tentu kerana kuasa yang dimiliki oleh Cahya Rembulan. Mereka merahsiakan hal itu kerana dirisaukan Cahya Rembulan ingin mencuba menggunakan kuasanya kerana mereka sudah masak dengan perangai Cahya Rembulan yang ingin mencuba sesuatu yang menarik perhatiannya.
Selain itu, alasan Antariksa, Anggerik Sari dan Nek Embun tidak mengizinkan ketiga-tiga mereka, Cahya Rembulan, Sinar Pesaka dan Citra Rembulan untuk tidak bermain di tasik kerana jikalau mereka hanya tidak mengizinkan Cahya Rembulan untuk bermain disana, sudah pasti Cahya Rembulan akan mencurigai akan hal demikian.
Selepas agak lama mereka berada di taman, Citra Rembulan muncul di hadapan mereka. Citra Rembulan dengan muka yang gelisah mengajak Sinar Pesaka dan Cahya Rembulan untuk pulang ke rumah. Katanya sesuatu telah terjadi di rumah. Selepas itu, mereka bertiga langsung pulang ke rumah.
__________
Apakah yang telah terjadi di rumah mereka?
Ketahuilah jawapan ini pada halaman seterusnya!
Bersambung.....
YOU ARE READING
Puteri Tasik Purnama
Fantasy[ fantasi ] Tasik Purnama telah terkena sumpahan! Disebabkan sumpahan ini, penduduknya yang terdiri dari suku Seroja dan suku Teratai mula berpecah belah. Kedua suku ini memiliki kuasa bunga yang luar biasa hebatnya. Pada suatu hari, seorang ahli s...