LAJU tangannya menyuap nasi ke dalam mulut sehingga penuh. Macam orang tak makan seminggu. Tya menarik sebuah senyuman sambil merenung Taim melahap lauk yang dimasak olehnya. Bukan selalu dapat bertemu dua pasang mata begini dengan Taim.
Kalau dulu, sewaktu Taim masih sihat dan gembira, Tya dan arwah mama selalu masak masakan kegemaran lelaki itu. Tapi selepas mama kandung mereka meninggal dunia, Taim sudah jarang balik rumah.
Ini dikira baiklah Taim masih ingin balik ke rumah walaupun selepas kejadian semalam. Memang selalu pun begitu. Hati dan perasaannya sudah mati untuk menjaga perasaan orang lain. Dan pergaduhan semalam masih dikira pergaduhan kecil. Taim pernah buat lebih dari itu.
Sewaktu Taim tahu mama tirinya mengandung, Taim sangat marah sehingga berani mencederakan wanita itu. Kandungan Puan Kayla waktu itu baru masuk lima bulan. Pada hari yang sama, Taim menolak tubuh mama tirinya kerana ingin membuat wanita itu keguguran.
Namun, segalanya dipermudahkan. Puan Kayla cuma mengalami pendarahan yang tidak terlalu serius. Nasib baiklah Puan Kayla dan bayi di dalam kandungan selamat.
Itulah benda paling teruk Taim pernah buat.
Tya tersenyum gembira sambil melihat abangnya makan penuh berselera. Sambil itu, dia bermain dengan jari-jemari kecil Taqris yang didudukkan di atas ribanya itu. Sebelah kakinya digoyangkan, membuai Taqris. Si kecil itu tersengih-sengih kegelian sehingga menampakkan gusinya yang comel.
Sejak dia mula bekerja di bakeri, dia kurang ada masa untuk bermain dengan Taqris. Sebab itulah cuti hari ini, dia mahu gomol Taqris puas-puas. Ingin melepaskan rindu.
"Sedap tak abang?" soal Tya sambil memandang pinggan Taim yang hampir licin.
Dia sudah sediakan sepinggan nasi tambahan untuk Taim. Tahu sangat yang abangnya pulang kerana kelaparan selain ingin meminta duit.
"Hmm..." Taim cuma bergumam. Riak wajahnya kosong.
"Taqris... Abang Taim suka masakan kakaklah. Kalau macam tu, Abang Taim kenalah balik rumah selalu, kan Taqris? Boleh makan masakan kakak hari-hari." Tya berbual dengan Taqris sebelum pipi tembam si kecil itu dicium tanda kasih.
Taim menjeling wajah Taqris yang sedang tersengih-sengih memandangnya sejak tadi. Kemudian, Taqris ketawa bebas membuatkan dia semakin meluat melihat si kecil itu.
"Menyampah aku tengok budak ni. Dahlah tak comel. Macam mak dia." Taim memaksudkan mama tirinya, Puan Kayla.
Sejurus itu, Tya memandang ke arah bilik Puan Kayla. Bimbang jika wanita itu terdengar kata-kata Taim dan terasa hati.
YOU ARE READING
Bukan Untuk Bahagia
RomanceTiga tahun bercinta, tak pernah sekalipun topik kahwin terbit dari bibir kekasih hatinya, Sehzade. Pelik. Orang lain yang bercinta tak sampai setahun pun, dah gatal bincang nak bagi nama anak apa. Saat Tya mula mengungkit soal kahwin sekali lagi, a...