KERANA sikap degil dan keras kepala, Tya tetap datang ke tempat kerja walaupun kaki yang terseliuh semalam masih belum baik sepenuhnya. Sedang dia menghias pizza di bahagian pizza, Meor datang.
Meor memandang Tya sambil menggosok-gosok tangan sendiri. Kemudian, dia mengusap-usap belakang tengkuknya pula. Tak tahu macam mana nak mulakan.
"Abang Meor? Kenapa?" soal Tya apabila beberapa saat kemudian, Meor masih tidak mengeluarkan kata-kata. Tapi Tya fikir mungkin Meor memerlukan bantuannya cuma malu nak luahkan.
"Hah? Err... nanti tolong buat donut, boleh? Abang kena balik awal hari ni. Takut tak sempat siaplah." Meor menggaru keningnya.
Kan dah agak! Tya cuba kawal riak muka.
Padahal sepatutnya dia sudah boleh menjangka Meor datang kepadanya cuma untuk satu tujuan. Menyerahkan kerjanya kepada orang baru sepertinya. Tak berani pula Tya nak menolak pertolongan Meor memandangkan lelaki itu lebih tua darinya. Dia juga sudah lama bekerja di sini, sementelah Tya baru dua bulan bekerja di sini.
"Boleh aje. Lepas selesai buat pizza, Tya buat donut," kata Tya lembut menurut sahaja.
"Thanks tau sebab tolong abang." Meor mencantumkan jari-jemari kanan dan kirinya tanda dia sangat menghargai pertolongan Tya.
Tya senyum lagi sebelum tubuh Meor menghilang ke dalam dapur bakeri. Tanpa sedar, Tya melepaskan keluhan berat. Susah juga jadi orang yang jenis susah nak cakap 'tidak' ni.
Tak apalah. Buat baik, dibalas baik. Itu yang Tya percaya.
Selesai membakar pizza dan membungkus pizza, Tya mengemas meja yang sedikit berserabut dengan bahan-bahan pizza tadi. Bahan-bahan yang tidak digunakan lagi, Tya masukkan semula ke dalam chiller. Menggunakan kain kotor, dia mengelap meja itu sehingga berkilat kembali.
Setelah berpuas hati bahagian pizza itu bersih, Tya menolak troli pizza masuk ke dalam dapur bakeri. Dipindahkan pizza-pizza yang sudah dibahagikan kepada potongan ke dalam dulang untuk didisplay di luar.
Baru setapak kaki ingin melangkah keluar bersama dulang di tangan, muncul susuk tubuh Nash di dalam dapur bakeri. Berkerut dahi Tya melihat keberadaan lelaki itu di sini.
"Nash." Tya menegur lelaki itu. Nash memandang Tya sekilas sebelum matanya meliar ke dalam dapur bakeri.
Tak sempat Tya ingin bertanya tujuan dia ke sini, lelaki itu sudah membuka langkah panjang ke dapur. Kepalanya terjenguk-jenguk mencari seseorang. Nash cari siapa?
Setahu Tya, Nash tak rapat dengan mana-mana staf bakeri kecuali dia seorang saja.
Bila nampak tubuh Meor yang sedang membakar roti, Nash terus menerpa ke arah Meor. Dia menolak bahu Meor kasar. Meor yang terkejut terus tayang muka tak puas hati kepada Nash.
Tiba-tiba dia disergah begitu, apa hal?
"Apa hal kau ni, Nash?" Meor menyoal sedikit bengang dengan tindakan Nash yang tiba-tiba itu.
YOU ARE READING
Bukan Untuk Bahagia
RomanceTiga tahun bercinta, tak pernah sekalipun topik kahwin terbit dari bibir kekasih hatinya, Sehzade. Pelik. Orang lain yang bercinta tak sampai setahun pun, dah gatal bincang nak bagi nama anak apa. Saat Tya mula mengungkit soal kahwin sekali lagi, a...