PINTU lif terbuka di aras empat. Tya keluar dari lif dan berjalan sehingga di hadapan rumahnya. Sesampai sahaja di hadapan rumah, Tya memandang kucing di dalam dakapan. Kucing itu mengeow, mungkin kerana kelaparan. Macam tahu-tahu saja Tya sudah membelikannya makanan.
Tapi Tya punya masalah kecil. Macam mana dia nak bagi tahu papanya tentang kucing itu jika Encik Osman melarang keras dia membawa haiwan berbulu ke dalam rumah? Ini kerana keadaan mama tirinya yang alah dengan bulu kucing.
Tya mengeluh.
Perlahan-lahan diletakkan kucing itu ke bawah. Kucing itu mengeow lagi. Makin rasa bersalah dia dibuatnya. Niat di hati mahu membela si kucing, tetapi dia tidak boleh pentingkan diri sendiri. Tentu saja dia sedia maklum bahawa Puan Kayla akan bersin teruk kalau dekat dengan kucing.
Tya angkat kepala apabila pintu jiran depan rumahnya terbuka luas. Muncul susuk tubuh Cik Ija yang kemas dengan uniform kerjanya. Cik Ija bekerja di Speedmart bawah apartment ini.
"Tya? Dari mana?" soal Cik Ija kepada Tya sebelum pandangannya jatuh pada kucing yang bergesel di kaki Tya.
"Baru balik kerja. Cik Ija nak ke tempat kerja dah?" Tya turut ramah bertanya kepada jirannya itu.
Cik Ija memang duduk seorang diri. Tengok pada nama pun sudah tahu, insan ini belum berkahwin. Masih memegang title 'cik' sedangkan sudah berusia 40 tahun. Samalah baya dengan mama tirinya, Puan Kayla. Orang kata apa? Satu batch. Gitu...
Satu pangsapuri itu tahu status andartu Cik Ija. Syukurlah, Cik Ija jenis yang selamba dan tidak mendengar mulut-mulut orang yang berkata tentang dirinya. Dia boleh dikatakan wanita paling kuat dan tabah kerana tidak merungut dengan ujian yang diberi-Nya. Malah, dia reda dengan takdirnya jika bukan rezekinya untuk mempunyai jodoh di atas bumi yang cuma sementara ini.
Tapi Tya yakin, kalau bukan ditakdirkan untuk Cik Ija punya jodoh di dunia ini, Tuhan pasti sedang menjaga jodoh wanita itu di syurga.
"Ya. Hari ni Cik Ija kerja shift malam. Kucing siapa ni? Comelnya." Cik Ija membongkok sedikit lalu mengusap kucing berbulu kelabu yang menarik perhatiannya sejak tadi.
"Kucing jalanan yang Tya jumpa waktu dalam perjalanan balik tadi. Dia hampir kena langgar kereta. Nasib baik Tya sempat tahan kereta tu. Tapi itulah, Tya tahu papa mesti tak bagi bela. Mama Tya kan kuat bersin bila nampak kucing," adu Tya.
"Eh, Cik Ija ada sangkar kucing tau! Kalau Tya tak kesah, bagilah Cik Ija bela kucing ni. Nanti bila-bila Tya nak main dengan dia, Tya datanglah rumah Cik Ija. Takpun, Cik Ija tinggalkan sangkar dia kat luar ni." Cik Ija menawarkan sangkarnya untuk dijadikan tempat tinggal kucing itu.
YOU ARE READING
Bukan Untuk Bahagia
RomanceTiga tahun bercinta, tak pernah sekalipun topik kahwin terbit dari bibir kekasih hatinya, Sehzade. Pelik. Orang lain yang bercinta tak sampai setahun pun, dah gatal bincang nak bagi nama anak apa. Saat Tya mula mengungkit soal kahwin sekali lagi, a...