AMAIA berdiri di belakang langsir sambil mengusap tangan sendiri. Masih berkira-kira untuk menegur Tya yang sedang berdiri menekur kolam di hadapannya sejak tadi.
Dia pasti Tya dengan Sehzade sedang menghadapi sedikit konflik. Dia sendiri perasan beberapa hari ini, hubungan Tya dengan Sehzade nampak tidak berapa baik.
Dan untuk itu, inilah peluang yang dia perlu gunakan sebaik mungkin. Memikirkan peluang ini tidak mungkin datang buat kali kedua, Amaia menapak selangkah merentasi pintu gelangsar. Mendekati Tya yang masih termenung sambil berpeluk tubuh.
"Tya, can we talk?" Perlahan dan lembut nada suara Amaia.
Tya yang baru tersedar kemunculan Amaia di sebelahnya, pantas menyeka air matanya. Pergaduhan mulut antara dia dengan Sehzade semalam serba sedikit telah mengusik jiwa tisunya. Sekali gus memikirkan hubungan dia dan Sehzade yang tidak semanis dulu.
Mungkin salah dia juga. Berfikiran negatif dan bertindak melulu menuduh sang suami. Memang tidak bagus! Bila ego menguasai diri, benteng hubungan suami isteri boleh goyah.
"Saya tahu awak dengan Sehzade baru berkahwin. Bukan niat saya nak hancurkan rumah tangga awak dengan dia. Tapi, saya buat ni demi anak yang saya kandungkan sekarang," tutur Amaia.
Tya pandang wajah sisi Amaia. Kedengaran serius nadanya, seiring dengan riak wajah wanita itu yang tampak keruh. Tya tekun menunggu bicara Amaia. Janganlah ada berita lain yang tidak sedap didengar disampaikan.
"Sebenarnya..." Amaia kerlih ke sisi. Serba-salah mahu meneruskan rancangannya.
Tapi dia tekad, demi memiliki Sehzade dan demi anak di dalam kandungannya yang harus dilahirkan berbapa. Atau kerana dia mula pentingkan diri sendiri?
"Sebenarnya, anak ni anak Sehzade." Amaia berani menentang mata Tya. Dah tak fikir kesan negatif yang bakal ditimbulkannya.
Dia memegang perutnya yang sudah nampak bentuknya.
Tya terkejut sehingga menekup mulutnya. Bibir matanya mula berair. Namun, memikirkan diri yang senang percayakan bicara orang, Tya kembali menatap ke dalam mata Amaia. Menentang pupil mata Amaia untuk mencari kejujuran dan kebenaran di dalam kata-kata wanita itu.
Anggukan laju yang nampak sungguh yakin daripada Amaia membuatkan air mata Tya jatuh ke pipi. Tidak henti-henti.
Jadi benarlah apa yang Hasya jangkakan? Sehzade memang ada perempuan lain di belakangnya selama ini dan dia tidak sangka, perempuan itu ialah orang gaji mereka sendiri. Bermakna, sudah lama la Amaia dan Sehzade ada hubungan sulit sehingga Amaia mengandung anak Sehzade? Ya Allah...
Hancur hati seorang isteri. Hancur hati Tya Cairana.
"Saya dah lama simpan hal ni. Waktu Sehzade selamatkan saya dari kelab malam tu, dia tak ingat saya siapa. Sedangkan saya ingat muka dia, Tya. Dia pernah langgan saya di kelab malam Theo dulu. Dia lelaki pertama yang sentuh saya. Dia janji dengan saya yang dia akan bertanggungjawab dan akan datang semula untuk bawa saya keluar dari situ. But one day dia hilang secara tiba-tiba. Sampailah saya terjumpa dia semula. Saya bersyukur sangat kami berjumpa semula. Tapi, dia tak ingat saya siapa. Saya tak tahu sama ada dia pura-pura tak ingat saya atau dia amnesia. I don't know." Amaia bercerita dan sepanjang penceritaannya, langsung tiada baur-baur sangsi mahupun mencurigakan pada pandangan Tya.
YOU ARE READING
Bukan Untuk Bahagia
RomanceTiga tahun bercinta, tak pernah sekalipun topik kahwin terbit dari bibir kekasih hatinya, Sehzade. Pelik. Orang lain yang bercinta tak sampai setahun pun, dah gatal bincang nak bagi nama anak apa. Saat Tya mula mengungkit soal kahwin sekali lagi, a...