Bab 04

336 20 0
                                    

Baju kurung hitam bercorak bunga merah jambu yang tergantung kemas itu ditenungnya. Salah satu pakaian yang dia tidak berapa gemar untuk memakainya sebab susah nak bergerak. Tersepit!

Sedari tadi dia berada dibilik dan sepatutnya sekarang ini, dia perlu berada dibawah untuk membantu apa yang patut. Tetapi, memandangkan makcik-makcik kepoh sudah sampai, baik dia larikan diri. Malas nak bercampur dan melayan soalan-soalan yang pastinya berkaitan dengan perkara yang dia malas nak ambil kisah.

Tok! Tok!

Terjengul kepala Danish dengan sengihan. Adiknya itu baru menghabiskan pengajiannya di United Kingdom dan selamat sampai ke Malaysia semalam. Itu sebabnya kenduri kesyukuran hari ini diadakan. Menyambut kepulangan adiknya.

"Nak apa?" soal Nas kepada adiknya.

"Nothing, saja nak masuk menjelajah bilik ni. Lama sangat rasanya tak masuk sini," jawab Danish dan selamba mencapai salah satu buku di rak.

"Ingat bilik ni muzium pameran ke nak jelajah bagai? Keluar," Nas menghalau. Tidak suka orang masuk ke biliknya sesuka hati.

"Akak ni makin garang la sejak adik pergi sana. Banyak makan daging harimau ke dekat office akak?" seloroh Danish menyebabkan sebiji bantal mendarat ke mukanya.

Pandangan tajam Nas menikam mata hitam adiknya. Ikutkan hati, nak saja dia lambung adiknya ini turun ke tingkat bawah. Biar hari ini jadi kenduri arwah pula.

"Nas! Mummy awak panggil turun," seruan tiba-tiba itu berjaya mematikan pergaduhan mereka berdua.

Dengan langkah malas, dia mengatur langkah menuju ke tingkah bawah. Rumah banglo 2 tingkat milik keluarganya ini boleh dikatakan besar. Cukup besar untuk empat orang. Tapi, Nas mempunyai rumah sendiri dan dia jarang balik ke sini melainkan atas arahan abah dan mummynya.

Sampai sahaja ke anak tangga terakhir, dapat dia dengar suara makcik-makcik tengah sibuk bercerita ini dan itu. Macam banyak sangat topik yang diperbahaskan. Entah macam mana mummynya boleh terlibat dengan mereka ini pun tak tahulah.

"Haa, sampai dah anak dara ni. Kenapa tak siap lagi?" salah seorang makcik yang berada di situ.

Nas hanya tersenyum kecil. Sungguh dia malas untuk duduk disini. Bukan dia tidak kenal perangai mereka yang ada disini. Sikap ambil tahu mereka mengalahkan perdana menteri.

"Kakak, awat tak siap lagi? Kalau dak, boleh tolong mummy letak makanan ni dekat luar," kata Puan Zarina sambil menunjukkan dulang makanan yang sudah diisi dengan lauk-pauk.

"Takpa la, orang boleh ja buat. Kalau pakai baju kurung nanti susah nak gerak," balas Nas sambil tangannya meminta dulang-dulang itu. Diangkatnya satu per satu untuk disusunkan di atas meja yang tersedia di luar rumah.

Laju tangannya membuat kerja. Tak adalah berat sangat dulang-dulang ini. Nasib baik juga tidak banyak jadi tidaklah letih asyik keluar masuk rumah. Masakan untuk hari ini disediakan sepenuhnya oleh Puan Zarina. Ada nasi tomato, ayam masak merah, acar timun, bihun sup dan air sirap. Ini semua pun dibantu oleh Nas sendiri. Letih!

Apabila sudah memastikan tugasnya siap, dia bergegas naik ke biliknya untuk membersihkan diri. Kemudian, baju kurung yang tergantung tadi diambil lalu dipakainya. Tudung sarung berwarna hitam juga menjadi pilihan. Tiada masa nak fikirkan soal tudung mana yang sesuai ditambah dengan suasana yang sedikit panas hari ini.

"Uishh, cantik la kakak hari ni. Manis."

"Kau jangan nak perli eh... kang ada yang makan siku ni nanti."

Her Real Mate | CWhere stories live. Discover now