BAB 16

153 11 21
                                    

TATKALA matanya celik dan jam menunjukkan pukul 6 pagi, dia bangkit. Dengan langkah terhuyung-hayang, dia keluar dari bilik lalu turun ke tingkat bawah. Tangan dipastikan berpaut pada pemegang tangga supaya diri sendiri tidak jatuh akibat dari sisa kantuk yang masih ada.

Dia mengernyit ketika hampir sampai ke dapur. Pelik apabila lampu di dapur tersebut menyala. Tanpa berfikir apa-apa terus kakinya melangkah. Niatnya hendak minum air sebenarnya. Tabiatnya sebaik lepas bangun dari tidur, dia akan meneguk secawan air.

Ketika tangan hendak mencapai cawan di kabinet, tiba-tiba...

"Sirin?"

Terlepas cawan plastik dari tangannya. Dada digosok. Terkejut. Baru dia teringat yang dia sudah serumah dengan lelaki itu.

Sirin langsung tak menoleh. Dia mencangkung untuk mengambil cawan yang jatuh tadi. Saat dirasakan ada bayang yang menutup, gadis itu mendongak dan...

"Aaahhh!!!"

Nyaring suara Sirin menjerit sehingga membuat Raihan terkejut sendiri. Dengan pantas, Raihan menekup mulut gadis itu.

"Hei! Hei! Kenapa jerit?" Suara garau itu berbisik tetapi nadanya agak tinggi. Mungkin masih terkejut dengan reaksi isterinya yang terlalu tiba-tiba.

Cepat-cepat tangan Raihan dilepas dari mulutnya. Menjegil matanya merenung wajah lelaki itu. "A-awak tu! Dahlah muncul entah dari mana. Baju mana baju? Ingatlah sikit awak tu bukan duduk sorang lagi!"

Raihan kerutkan dahi. Diri sendiri dipandang. Ya, tiada sehelai baju di badannya sekarang selain daripada seluar pendek.

Belakang leher diusap Raihan kekok. Segan dengan silapnya sendiri. Pasti Sirin terkejut dengan penampilannya. Dia dah terbiasa ke hulu hilir seperti ini. Lagi-lagi bila di dalam bilik seorang diri.

Ingatnya bila dia ke dapur beberapa minit yang lalu dengan penampilan sebegini, tak ada siapa yang akan perasan. Rupa-rupanya...

Sirin segera larikan pandangannya. Merah muka melihat tubuh lelaki itu yang terdedah buat pertama kali. Dia sedaya upaya menyelesaikan hajatnya tanpa menghirau Raihan yang masih tercegat di tepi. Daripada dia tak ada mood nak bercakap pagi buta macam ni, terus mulutnya lancar sahaja hendak membebel.

Teringat pula gambar Raihan yang pernah Syakilla tunjuk kepadanya dulu. Dan sekarang, dia dapat tengok dengan mata kepala sendiri. Live pulak tu!

Geli atau malu?

Dua-dua dia rasa sekarang ni.

Raihan yang mengunci mulutnya sedari tadi, cuba bercakap untuk hilangkan kekok antara mereka. "Err... dah subuh ni. Awak nak solat sama-sama?"

"Tak apa. Saya lama nak bersiap." Tanpa sedar jawapan itu lancar keluar dari mulut si gadis. Sirin beliakkan matanya. Perlahan-lahan dia menoleh ke arah Raihan.

Seperti yang dijangka, Raihan kelihatan... hampa.

"Oh... kalau macam tu, saya... naik dulu."

Pemergian Raihan hanya dihantar melalui ekor mata. Selepas dipastikan Raihan pergi, Sirin mengeluh. Ya Tuhan, rasa nak hantuk kepala je sekarang ni!

Bibir bawahnya digigit. Serba salah sungguh dia bila melihat wajah yang hampa tadi. Dia pun tak tahu kenapa jawapannya terlalu jujur. Selama tiga hari mereka menjadi suami isteri, lelaki itu belum berpeluang menjadi imam untuk memimpinnya.

Semua disebabkan dirinya.

Lambat-lambat Sirin keluar dari dapur. Sebelum itu, sempat matanya memandang ke arah kitchen island. Ada bahan-bahan masakan di situ.

MENANTI KAMUWhere stories live. Discover now