BAB 18

149 12 14
                                    

PENUMBUK dikepalkan. Tak dapat dia putuskan sama ada malam ini merupakan bala atau tuah untuknya. Bala kerana dengan mata kepalanya sendiri dia dapat lihat kemesraan pasangan itu.

Ketika tangan si lelaki melingkar di pinggang ramping itu, hatinya panas. Sepatutnya, tangannya yang berhak berada di situ. Bukan tangan lelaki itu.

Melihat Sirin yang tersenyum seolah bahagia, jiwanya sakit. Sungguh, sakit. Rindu yang semakin menggunung dalam dada buatkan semuanya semakin pedih.

Mengapa gadis itu tega mengkhianati janji mereka? Apa salahnya sehingga diperlakukan sebegini? Berapa lama dia telah ditipu?

Terlalu banyak persoalan bermain di fikirannya sejak minggu lalu.

Tatkala matanya menangkap Raihan yang beredar keluar dari ballroom, Abri bangkit dari duduknya. Derap langkahnya mengikut lelaki itu daripada belakang. Dipastikan jarak mereka jauh supaya Raihan tidak perasan akan kehadirannya.

Sebaik sahaja lelaki itu masuk ke dalam restroom, dia menunggu sebentar. Beberapa saat kemudian, setelah melihat beberapa orang lelaki keluar, dia masuk.

Ada satu pintu tandas yang tertutup, menandakan ada seorang sahaja yang sedang menyelesaikan hajatnya. Leher Abri memanjang menoleh ke kiri dan kanan.

Clear.

Tiada siapa yang bakal masuk.

Mulutnya bersiul sambil paip air dibuka. Tangannya sengaja dibasuh. Daripada pantulan cermin, dapat dilihat pintu yang tertutup tadi mula terbuka. Seperti yang dijangka, Raihan yang keluar.

Paip ditutup lalu tisu dicapai. Nampaknya lelaki itu masih lagi leka dan tidak perasan akan dirinya yang semakin dekat. Raihan menunduk ketika membasuh tangannya.

Saat Raihan mematikan paip...

Dush!

Tubuh lelaki itu ditolak merapat ke dinding. Kuat bunyi berdentum apabila tubuh tersebut berjumpa dinding, menandakan kemarahan yang membara dalam dada si penolak.

"What the..." Tak sempat Raihan habiskan kata apabila wajah lelaki yang menolaknya jelas terpapar depan mata.

Hujung bibir Abri ternaik. "Hi! It's been a while."

"Apa kau nak?" Tubuh lelaki tinggi itu berjaya ditolak Raihan supaya menjauh darinya.

Abri angkat kedua bahunya. "Saja nak tanya khabar lelaki yang dah main kotor."

Kening Raihan ternaik. Dia tak faham. "Main kotor? Benda kau merepek ni?"

Satu tumbukan hinggap di tulang pipi Raihan. Terteleng kepala dibuatnya.

"Itu apa yang kau dapat lepas apa yang kau dah buat!" Sakit di buku tangannya tidak dihiraukan Abri. Sakit lagi hatinya ketika ini.

Abri dipandang tidak percaya. Rasanya, Raihan dah faham maksud lelaki di hadapannya ini. Jangan kata apa yang bermain di fikirannya selama ini telah menjadi kenyataan?

Kolar kot hitam Raihan dicengkam kuat oleh Abri. Merah matanya merenung wajah tersebut. Nak ikutkan syaitan yang merasuk, mungkin dia dah lakukan kerja gila.

"Kau tak rasa bersalah ke? Tak ada rasa malu? Aku ni bodoh sebab biar je lelaki lain dekat dengan dia. Sebab aku tak nak kongkong dia, aku butakan mata aku! Patutnya dari awal aku dah perasan yang kau ada hati dengan Sirin!"

MENANTI KAMUWhere stories live. Discover now