BAB 29

227 13 2
                                    

GITAR akustik miliknya diletakkan atas peha. Jari perlahan-lahan memetik tali gitar, membentuk satu melodi. Nyanyian kecil mengiringi petikan tersebut. Sesekali bibirnya menyungging senyum. Tak sia-sia dia bawa gitar tersebut ke balkoni tingkat dua sambil menikmati langit malam.

Nyaman.

Tiba-tiba, kedengaran bunyi sliding door dibuka dari dalam. Terus Sirin menoleh. Matanya terbeliak tatkala melihat Raihan di muka pintu. Bertelanjang dada dengan seluar pendeknya.

Pantas dia larikan pandangannya. "Raihan! Kenapa awak tak pakai baju?!"

Raihan tersengih. "Sorry, saya ingat nak mandi. Saya tak biasa mandi pakai baju."

Kaki Raihan menapak perlahan ke kolam renang. Cepat-cepat badan direndamkan. Beberapa saat masa diambil untuk dia biasakan diri dengan suhu di dalam air itu.

"Saya dah masuk kolam. Awak dah boleh pandang sini balik."

Teragak-agak Sirin ingin memandang Raihan di dalam kolam itu. Bila dia toleh, lelaki itu sedang berenang ke hujung kolam. Lama dia memerhati gerak-geri tubuh Raihan.

Sebaik naik ke permukaan air, Raihan raup wajah dan rambutnya. Air menitik-nitik jatuh dari rambut si dia. Ketika lelaki itu membelakanginya pula, jelas bahu lebar Raihan di depan mata.

Liur ditelan Sirin. Hati dah berdegup lain macam. Laju dia larikan pandangan semula. Kepala digeleng-gelengkan. Bahaya ni, Sirin.

Ba. Ha. Ya.

Sangat tidak sihat untuk jiwa wanitanya.

Tapi... kenapa semakin Sirin mengelak, dia semakin tertarik? Seolah ada magnet yang buatkan dia tak berhenti dari memandang Raihan.

"Dari tadi tak berhenti pandang sini. Kenapa? Nak ikut masuk ke?"

Suara garau itu serta-merta berhentikan lamunannya. Sirin berdeham. "Err... mana ada."

"Tak baik tipu."

Ingin sekali Sirin tepuk dahi sendiri. Nak menafi pun tak guna. Sebab riak wajahnya terlalu jelas.

"Sinilah," ajak Raihan.

Seperti yang Sirin kata, ada satu aura yang membuatkan dia begitu tertarik dengan lelaki itu malam ini. Seolah dijampi.

Gitar terus diletakkan di tepi lalu kaki melangkah ke arah kolam renang. Sirin labuhkan duduk di tepi kolam. Kedua kakinya direndamkan di dalam air.

Sejuk... tapi dia suka.

"Kenapa awak mandi kolam malam-malam ni?" soalnya setelah sekian lama. Kepala menoleh ke arah Raihan yang sedang berendam di hujung kolam.

Raihan angkat kedua bahunya. "Saja. Lagipun malam ni macan panas sikit. Kenapa awak tanya? Awak risaukan saya ke?"

"Taklah. Buat apa saya nak risaukan awak? Kan mandi kat luar macam ni boleh masuk angin. Dah kalau tiba-tiba awak sakit esok, kesian Abang Riyadh kena kerja sorang-sorang." Selamba sahaja Sirin membalas.

Lelaki itu julingkan mata ke atas. "Ingatkan awak nak risaukan saya. Rupanya dia pergi kesiankan Yadh. Suami sendiri tak nak kesian ke?" Raihan berpeluk tubuh. Daripada nada suara, kedengaran tak puas hati.

Sirin senyum mengejek. Suka pula dia melihat Raihan yang cemberut. "Why? Cemburu ke?"

"Of course! Dahlah isteri kesiankan orang lain. Abang sendiri pulak tu. And one more thing, kenapa awak boleh panggil Yadh, 'abang'?"

MENANTI KAMUWhere stories live. Discover now