BAB 19

174 15 19
                                    

KAKI melangkah keluar tatkala melihat kereta Axia warna putih itu sudah berada di depan rumah. Sebaik tubuhnya masuk ke dalam kereta, terpampang wajah si gadis dengan senyum khasnya di tempat duduk pemandu.

"Hai," ucap Sirin.

Abri larikan pandangan. Bagaimana Sirin masih boleh tersenyum dengan bersahaja? Sedangkan dia? Hidupnya bagaikan tunggang langgang sejak dia tahu tentang kejadian itu.

Melihatkan Abri yang hanya diam membisu, buat Sirin semakin ragu-ragu. Rasa serba salahnya semakin besar dalam diri.

Tanpa buang masa, pedal minyak ditekan. "Kau nak pergi mana-mana? Kita minum-minum?" Sirin mencuba lagi. Akhirnya, baru Abri menoleh ke arahnya.

Kening lelaki itu berkerut. "Seriously? Kau ajak aku minum-minum? Laki kau tak bising ke keluar dengan aku ni?"

Perkataan 'laki' sengaja ditekan Abri.

"Kita pergi tempat biasa, boleh?" Soalan Abri sengaja dibiarkan tak berjawab.

"Suka hati kaulah." Abri mendengus perlahan. Dia hanya luruskan pandangan ke arah jalan raya di hadapan. Dia sedaya upaya tidak memandang Sirin di sebelah.

Hampir lima belas minit mereka di dalam kereta tanpa sebarang suara. Tak pernah-pernah mereka kekok begini. Dan semestinya semua ini buatkan Sirin tak senang. Dia begitu gelisah sehingga tidak tidur disebabkan hari ini. Dengan semangat yang dikumpul, dia beranikan diri untuk berjumpa Abri. Seperti yang Raihan kata, dia harus berterus terang.

Akhirnya, kereta diparkir di hadapan sebuah kafe.

Top Bean.

Kafe yang telah menjadi sebahagian daripada mereka. Terlalu banyak memori berharga mereka di sini. Kafe ini jugalah menjadi saksi bagaimana Abri meluahkan perasaan terhadap Sirin empat tahun lalu.

Mereka berdua masuk dan tempat duduk yang paling penjuru diambil. Memang tempat itu menjadi pilihan mereka sekiranya mereka ke sini. Sejak dulu lagi.

"Kau nak order apa?" soal gadis itu sambil menyelak buku menu yang baru diletakkan di atas meja.

"Macam biasa," balas Abri mendatar.

Senyum tawar terukir di bibir merahnya. "Alright. Makan?"

"Tak nak."

Sirin angguk sebagai balasan. Minuman yang dikehendaki dicatat di atas nota kecil yang telah disediakan. Dua Ice Americano.

"Hai! Lama tak nampak kau orang dua," ujar si pelayan yang singgah di meja sebaik butang buzzer ditekan oleh Sirin.

"Hai Max." Sirin terlebih dahulu menegur. Max merupakan salah seorang kenalan mereka di universiti.

Nota kecil tersebut diserahkan kepada Max.

"Oh, macam biasa. Memang sepadan sangatlah. Dari dulu sampai sekarang. Mulut pahit," ujar Max dengan senyum sengetnya. Lihat sahaja kod yang dicatat, dia tahu minuman apa yang dipesan pasangan itu.

Si gadis cuma tersenyum. Memang dari tadi, dia sahajalah yang banyak beri reaksi. Abri masih lagi dengan muka ketatnya. Tak lama, Max beredar untuk menguruskan pesanan mereka.

"Can you stop?"

Kata Abri itu buatkan Sirin alihkan perhatiannya.

"Stop pretending that we're okay. You know we don't."

"Aku... minta maaf..."

Abri kepalkan penumbuknya. Melihat wajah yang bertukar sayu itu buatkannya kasihan. Tetapi perasaannya yang perlu diutamakan sekarang.

MENANTI KAMUWhere stories live. Discover now