BAB 38

180 15 4
                                    

DUA bulan setelah pulang dari percutian mereka, awalnya mereka baik-baik sahaja. Semuanya berjalan seperti biasa. Tapi jauh dalam sudut hati Sirin, entah kenapa dia rasakan hubungan mereka semakin renggang. Raihan tetap jalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami. Dia pun turut lakukan perkara yang sama.

Cuma ada sesuatu yang buatkan semuanya tak kena pada pengamatan Sirin. Rasa cinta dan hangat yang selalu lelaki itu berikan terasa kian hambar saban hari. Adakah perubahan Raihan ada kena mengena dengan apa yang berlaku di London dua bulan lalu?

Ataupun ini sekadar overthinking Sirin sahaja?

"Sirin?"

Spontan apa yang bermain di fikiran hilang bila namanya dipanggil. Kepala ditoleh ke kanan. "Ya, kak?"

"Sirin okay tak ni? Kak Mei tengok macam pucat semacam je hari ni." Raut bimbang jelas terpapar di wajah Meirose.

"Pening sikit," jawabnya ringkas. Senyum tawar diukir. Sememangnya hari ini dia lebih banyak menghabiskan masa dengan duduk berbanding aktif seperti biasa. Dah berapa banyak minyak angin disapu di anggota tubuh. Hampir-hampir juga dia pitam ketika menyusun roti-roti di rak tadi.

"Kalau tak sedap badan, kenapa datang kerja hari ni? Patutnya duduk je kat rumah tu, rehat."

Laju mulut Meirose membebel. Sirin hanya mampu menadah telinga sambil tersenyum menahan malu.

"Sirin baliklah. Kak Mei bagi balik awal hari ni."

Sirin mencebik. "Akak macam nak halau Sirin je."

"Ha'ah. Memang halau pun. Dah, pergi bukak apron tu."

Walaupun cara Meirose kelihatan kasar, tetapi Sirin tahu yang ianya hanya sebatas gurauan. Lagipun hubungan mereka tak ubah seperti kakak dan adik. Selain daripada itu, Meirose juga sememangnya teliti dalam hal kebajikan pekerjanya.

Baru sahaja Sirin hendak melangkah pergi, tiba-tiba sesuatu terlintas di fikirannya. Cepat-cepat dia kembali duduk. "Kak, Sirin nak tanya sikit. Boleh?"

"Ya Allah, sakit-sakit pun sempat nak tanya lagi? Ha, Sirin nak tanya apa?" Mujurlah sekarang tiada pelanggan yang berkunjung di bakeri. Dapatlah Meirose cas tenaga sebentar.

"Masa Kak Mei mengandungkan Danish dulu, akak rasa simptom apa je? Masa first trimester tu." Setelah agak lama perkara itu terpendam, akhirnya Sirin dapat juga keberanian untuk luahkannya.

Ternaik kening Meirose mendengar soalan tersebut. Tak pernah dia sangka soalan sebegitu akan keluar dari mulut Sirin. Beberapa ketika, baru Meirose tersedar sesuatu. Laju wanita itu menekup mulutnya. "Sirin mengandung ke?"

Belakang leher digosok Sirin kekok. Sebab itulah dia takut hendak bertanya soalan sebegini. Pasti dengan mudah orang menganggap dia sedang berbadan dua. "Err... tak... kot. Ala, akak jawab je la."

Potong terus mood Meirose untuk teruja. "Tak kot? Ada pulak jawapan macam tu? Hm... kalau Kak Mei dulu kena benda-benda biasa tu la. Mabuk, nak pitam, muntah-muntah. Cuma akak teruk sikit. Sampai kena masuk wad, sebab nak masukkan air."

Setakat ini Sirin cuma rasa tubuhnya letih dan pitam. Tiada pula simptom hendak muntah. Tetapi masih ada satu tanda yang menguatkan firasatnya.

"Kalau tak datang period dah nak dekat seminggu lebih tu macam mana, kak?" soal Sirin. Dengan Meirose sahajalah dia rasakan orang yang sesuai untuk dia tuju soalan-soalan seperti ini buat masa sekarang. Meirose berpengalaman.

Terbeliak mata Meirose dibuatnya. "Sirin! Kalau dah seminggu lebih tu, lebih baik periksa. Lagi-lagi kalau kita ni memang dah ada suami. Sebelum ni, period selalu datang tepat tak?"

MENANTI KAMUWhere stories live. Discover now