BAB 33

227 23 6
                                    

DI ruang tamu tingkat bawah itu, dia menunggu kepulangan Raihan sambil ditemani dua ekor makhluk berbulu kesayangannya. Jam sudah menginjak ke angka 9 dan lelaki itu masih juga belum pulang. Raihan ada memaklumkannya tentang hal tersebut, dan Sirin pun akhirnya sekadar akur.

Beberapa hari kebelakangan ini, Raihan memang sering pulang lewat ke rumah. Dengan alasan mengejar deadline. Sirin tidak mampu menyoal lebih kerana dia sememangnya tahu posisi lelaki itu di tempat kerjanya bagaimana.

Tetapi panggilan yang Sirin dapati satu jam yang lalu, mengubah fikirannya. Dia agak pelik ketika abang iparnya secara tiba-tiba menghubunginya malam ini.

"Raihan dah balik, Sirin?" soal Riyadh dalam talian ketika itu.

"Belum. Dia cakap, malam ni dia balik lambat," balasnya.

"Sekarang dah pukul lapan. Dia masih tak sampai rumah lagi?" Lagi sekali Riyadh bertanya.

"Ha'ah. Dia cakap pukul sembilan baru dia balik."

Terdengar berat hembusan nafas Riyadh. Seakan mengeluh. "Raihan sendiri cakap dengan abang yang dia nak balik petang tadi. Tak tahulah dia sengaja nak menipu atau apa."

"Selalu tak dia balik lambat, Sirin?" soal Riyadh lagi.

"Dalam minggu ni, nak masuk kali kedua dia balik lambat. Minggu lepas ada sekali." Tanpa berselindung Sirin memberi jawapan.

"Abang tak tahu kenapa Raihan boleh cakap dengan abang yang dia tak balik lambat. Sedangkan dia buat benda tu."

"Mungkin... dia tak nak abang risau?" tekanya.

Keluhan dilepaskan Riyadh. Entah berapa kali lelaki itu mengeluh kebelakangan ini. "There's something you need to know about Raihan. Kalau dia tiba-tiba sibukkan diri dia, banyak sangat habiskan masa dengan kerja sampai tak ingat dunia, you need to ask him."

"Tanya?" Dahinya berkerut.

"Ya. Kadang-kadang dia buat benda tu semata-mata nak larikan diri. Raihan tu... jenis orang yang simpan sendiri. Dia tak terlalu terbuka dengan perasaan dia."

Sirin diam. Sebenarnya, dia tahu tentang sikap suaminya yang satu itu. Lagi-lagi sejak dia melihat Raihan diserang gangguan panik. Jika dia bertanya soal itu, pasti Raihan akan mengelak. Sirin pula, tak nak mendesak. Dia pasti, ada sebab kenapa Raihan begitu.

"Jadi kalau ada apa-apa, Sirin tanyalah dia. Lebih baik dia luahkan masalah dia daripada pendam macam tu je."

Lamunannya terhenti. Jam di dinding dilihat. Pukul 9:15 malam. Lima belas minit berlalu dan kelibat Raihan masih belum terlihat.

Akhirnya, Sirin bangkit. Tingkat atas dituju. Entah kenapa dia ingin jejakkan kaki ke dalam bilik kerja Raihan malam ini. Gerak hatinya mengatakan, ada sesuatu yang boleh jadi petunjuk kepada masalah yang sedang melanda suaminya.

Semestinya Sirin rasa bersalah. Tetapi, rasa ingin tahunya lebih kuat menguasai diri. Saat dia melangkah masuk ke dalam bilik, perkara pertama yang menarik perhatiannya adalah...

Meja kerja lelaki itu.

Meja tersebut kelihatan berselerak. Ada beberapa fail yang terletak di kiri dan kanan meja. Ada juga sepapan ubat yang beberapa biji pil telah lenyap dari tempatnya.

Sirin ketap bibirnya. Dalam tak sedar, rupa-rupanya Raihan sedang menanggung derita dalam diam. Itu yang dapat dia simpulkan setelah kejadian malam tempoh hari.

Di atas meja itu juga, ada beberapa keping gambar yang berselerakan. Gambar Raihan bersama rakan-rakannya ketika zaman belajar dahulu.

Salah satu gambar dicapai. Dalam gambar tersebut, terlihat Raihan bersama seorang lelaki dan perempuan yang diambil berdekatan Tower Bridge di London.

MENANTI KAMUWhere stories live. Discover now