BAB 47

156 19 2
                                    

MATANYA tercelik saat telinga sayup-sayup mendengar alunan surah dibacakan. Telefon pintarnya di tepi dicapai. Jam baru menunjukkan angka 6.

Perlahan-lahan Sirin bangkit dari baringnya. Tubuh disandarkan ke kepala katil. Matanya tunak memerhati Raihan dari belakang. Sambil telinga mendengar lafaz surah dibaca lelaki itu, perutnya diusap sendiri.

Walaupun mereka masih dalam perang dingin, tetap Raihan tak tinggalkan rutinnya. Sejak dia berbadan dua, Raihan sering bacakan Surah Maryam dan Surah Yusuf untuknya sama ada selepas waktu subuh ataupun isyak. Ketika mengaji, perut Sirin akan diusap si suami.

Tetapi sejak pertengkaran tempoh hari, lelaki itu akan lakukan rutin tersebut sebelum masuknya waktu subuh. Atau lebih tepatnya lagi, ketika isterinya masih lagi lelapkan mata. Mungkin Raihan tak nak Sirin tahu.

Walau begitu, akhirnya si isteri tetap akan tahu juga. Sirin juga perasan yang Raihan sering bangun awal untuk kerjakan solat tahajud kebelakangan ini. Pastinya apa yang terjadi malam itu, terlalu memberi kesan kepada suaminya.

Satu per satu muka surat album itu diselak. Semakin diselak, semakin berdebar dada dibuatnya. Sirin tahu, dia salah kerana telah mengusik barang peribadi Raihan tanpa kebenaran. Tetapi, rasa ingin tahunya sukar untuk dia abaikan begitu sahaja.

Dahinya berkerut saat melihat gambar-gambar berkenaan. Hampir kesemua gambar yang diletakkan dalam album tersebut adalah gambar Raihan bersama Erik. Sirin tersentak saat matanya tertancap pada salah satu gambar di situ.

Di dalam gambar tersebut, dua orang lelaki itu sedang berpandangan antara satu sama lain. Pandangan yang dapat Sirin jangka maksudnya. Pandangan itu sering Raihan berikan untuknya. Tetapi dahulu, pandangan itu diberikan untuk seorang lelaki.

Bila mengingatkan kembali perkara tersebut, Sirin jadi sesak sendiri. Dia reda. Benar-benar reda dengan masa lalu suaminya. Tetapi mengapa hatinya kadangkala tetap akan terdetik yang Raihan tidaklah seperti apa yang dia fikirkan?

Jika suaminya benar-benar sudah sembuh, mengapa gambar-gambar ini masih ada di atas meja suaminya? Untuk apa Raihan menatap gambar-gambar lamanya bersama lelaki itu? Sekadar untuk mengenang kenangan lalu?

Atau lebih tepatnya lagi, mengenang cinta lalu?

Latar tempat dalam gambar yang dilihatnya semakin menambahkan tanda tanya Sirin. Setelah diamati, hampir kesemua latar tempat dalam gambar-gambar itu persis seperti tempat-tempat yang mereka kunjungi ketika di London dahulu. Hampir kesemuanya.

Disebabkan apa yang telah dilihat olehnya, sekelip mata mengubah cara pandangnya kepada Raihan. Kepercayaan yang dia tanamkan dalam diri untuk lelaki itu, sedikit demi sedikit terhakis.

Sirin rasa dirinya... seolah dikhianati.

Tatkala si suami begitu berusaha memujuknya untuk kembali ke tempat itu semula, akhirnya Sirin meletus.

Segala apa yang bermain dalam fikirannya, Sirin muntahkan malam itu. Terlalu dia ikutkan jiwa yang sedang panas sehingga menuduh suami yang dahulunya dipercayai tanpa sebarang belas.

Menuduh, menoreh luka yang terlalu dalam.

Kini, seminggu telah berlalu sejak kejadian malam tersebut. Dan dalam masa seminggu, perang dingin dilancarkan. Raihan langsung mengelak daripada bertembung Sirin. Apatah lagi hendak bercakap dengannya. Jujur, rumah terasa kosong selama seminggu ini.

Sebaik lelaki itu tamatkan bacaannya, azan subuh berkumandang tepat pada masa. Sirin tersentak tatkala si suami tiba-tiba menoleh ke belakang. Mungkin Raihan sudah lama menyedari kehadiran isterinya di situ.

MENANTI KAMUWhere stories live. Discover now