"Akhir kalam, terapkanlah sikap jujur dalam diri. Mungkin kalian dapat membohongi orang lain tapi kalian tak dapat menipu diri kalian sendiri. Kalian tak akan rasa tenang setelah membohongi diri kalian sendiri. Sekian sahaja dari saya untuk pagi ini." Tepukan gemuruh bergema di dalam dewan serbaguna lengkap berpendingin hawa itu. Ucapan ringkas daripada wakil tingkatan lima menjadi aktiviti wajib di setiap perhimpunan pagi untuk mempersiapkan mereka dengan kemahiran berkata-kata sebelum melangkah ke alam dewasa. Wakil kali ini agak berbeza kerana beliau sememangnya seorang pemidato, menjadikan ucapannya lebih istimewa dengan bunga-bunga kata.
"Izzudin, nanti tolong tengok teks aku, boleh? Berdebar pula giliran aku minggu depan." Sebaik sahaja dia melabuhkan duduk setelah menyelesaikan tugasnya di atas pentas tadi, laju rakannya menyapa.
"Boleh, Rizal." Tanpa ragu, dia menghulurkan bantuan. Tidak kira siapa, dia sedia berkhidmat. Mata Izzudin melihat sekeliling. Dia menggeleng kepala sebaik sahaja tubuh seorang gadis menyapa pandangan matanya. Hanya keluhan kecik mampu dia keluarkan dari mulutnya.
"Seronok tidur masa perhimpunan tadi?" Soalan pertama diajukan kepada gadis itu sebaik sahaja tamat waktu persekolahan. Mereka memulakan langkah pulang ke rumah bersama seperti kebiasaannya. .
"Seronok. Hilang rasa penat." Tanpa rasa bersalah, gadis itu menjawab. Langsung tidak gerun akan lelaki di hadapannya yang merupakan salah seorang pengawas sekolah.
"Abang dah pesan tidur awal. Tak elok asyik tidur masa orang berucap. Nama Aya asyik naik tau dekat bilik disiplin." Gadis itu mencebik.
"Dah mengantuk nak buat macam mana? Bukan Aya boleh kawal." Izzudin hela nafas perlahan. Berbuih mulut dia menasihatkan. Ada sahaja jawapan yang akan diberikan oleh gadis itu. Boleh kata setiap minggu dia meratib nama Sofea Irdina di dalam senarai pelajar yang dikenakan dimerit.
"Aya–" Tidak sempat dia berkata, Sofea sudah menarik piala di tangannya yang baru diterima sewaktu perhimpunan tadi. Taktik biasa gadis itu untuk elak dibebel olehnya.
"Hebatnya abang." Piala itu dipusing berapa kali. Mata Sofea galak membaca setiap satu patah perkataan yang terukir di situ.
Johan Pidato Kebangaaan.
"Aya bila lagi? Tak akan asyik nak peluk piala abang sahaja?" Sofea mencebik. Piala itu diserahkan kembali kepada pemiliknya.
"Tak ada rezeki lagi." Ringkas dia menjawab. Mata Sofea kembali fokus ke hadapan. Walaupun hanya pokok dan kenderaan yang lalu-lalang yang menyapa pandangan, dia tetap tersenyum. Dia sukakan pemandangan ini.
"Sebab itulah kena usaha. Belajar betul-betul dan dapatkan kepercayaan cikgu. Baru mereka senang hati nak lepaskan Aya untuk terlibat dalam aktiviti luar kelas." Seperti biasa, Izzudin mengeluarkan nasihatnya.
"Ya, ya Aya tahu. Tak perlu ulang banyak kali." Perjalanan pulang ke rumah diteruskan. Rumah mereka berhampiran maka mereka sering pulang bersama. Selalunya mereka bertiga. Namun, adik Izzudin, Aiza, yang seumur dengan Sofea, mempunyai latihan bola jaring petang ini.
Tidak mahu Izzudin kembali mengomel tentang prestasi pelajarannya, Sofea mengeluarkan telefon pintar yang disimpan di satu zip tersembunyi dalam beg sandang sekolahnya.
"Sofea Irdina!" Sofea membuat muka selamba. Tidak kisah akan riak garang yang dipamerkan oleh Izzudin yang merupakan salah seorang ahli majlis tertinggi badan pengawas sekolah.
"Sekolah dah habis dan kita dekat keluar sekolah. Abang tak boleh marah Aya." Selamba dia bertutur.
"Tapi Aya bawa pergi sekolah!" Ujar Izzudin geram. Sofea dan masalah berpisah tiada.
"Abang ada bukti? Abang ada nampak telefon ini dekat sekolah?"
"Logiknya, mana lagi Aya nak simpan? Mestilah Aya bawa." Bidas Izzudin ringkas.
"Tapi abang masih tak ada bukti yang Aya bawa ini pergi sekolah. I'm not guilty until proven. Ingat tu." Sofea membidas buat Izzudin mengalah kerana dia tahu Sofea tidak pernah kalah setiap kali mereka berbahas. Rasanya kalau gadis itu diberi peluang memasuki pasukan debat, pasti gelaran juara menjadi miliknya
"Ish budak ni!" Nak marah pun tiada guna. Sofea memang degil. Entah apa lagi yang perlu dilakukan untuk melembutkan gadis itu.
"Bukannya Aya guna dekat sekolah. Aya bawa untuk nenda. Kalau nenda sakit, macam mana? Nenda sahaja yang Aya ada." Dan ini lagi satu peluru yang selalu digunakan oleh Sofea. Setiap kali dia menggunakannya Izzudin pasti kalah.
"Tapi salah tetap salah, Aya. Jangan risau, mama ada dekat rumah boleh tengokkan nenda." Sofea hela nafas berat. Kadang dia penat juga asyik bergaduh hal yang sama dengan lelaki itu. Izzudin tak akan faham dia.
"Okay, Aya cuba ikut cakap abang. Puas hati?" Malas mahu mendengar ucapan panjang Izzudin, Sofea ikut sahaja rentak lelaki itu walaupun hatinya memberontak kuat.
"Cuba, jangan tak cuba."
"Ya, Aya tahulah." Keadaan menjadi sepi seketika. Hanya bunyi derap kaki mereka berdua kedengaran. Sesekali, Sofea menjeling lelaki itu. Automatik, bibirnya terukir senyuman.
"Abang–"
PIN!
Sebuah kereta tiba-tiba berhenti di sebelah mereka mematikan tutur Sofea. Izzudin segera membuka langkah agar tubuhnya beranda seiring dengan Sofea. Langkah berjaga-jaga diambil untuk melindungi gadis itu.
"Janganlah berkerut sangat muka tu. Awak ingat saya penculik ke?" Tingkap diturunkan dan senyuman seorang gadis berbaju kurung menyapa. Izzudin hela nafas lega manakala Sofea terjengket-jengket mahu mengintai dengan gerangan siapakah Izzudin berbicara.
"Hidayah rupanya. Ingatkan siapa tadi." Izzudin kembali menenangkan diri setelah melihat pemandu kereta itu merupakan pelajar tingkatan 6 yang dikenalinya. Risau juga dia tadi andainya penculik yang berada di dalam kereta itu. Zaman sekarang bukannya boleh kira kereta mewah ke kereta buruk, lelaki ke wanita. Modus operandi penculikan sekarang sangat tak terjangkau dek fikiran.
"Jomlah tumpang. Panas ni." Pelawa Hidayah mesra. Sedari tadi dia memerhati langkah dua sekawan itu. Pasti sudah berpeluh kerana berjalan di bawah terik matahari ini.
"Eh tak apalah. Nak sampai dah." Izzudin menolak sopan. Bukan ibunya tak boleh menjemput, cuma dia yang lebih gemar berjalan kaki pulang ke rumah. Sudah terbiasa sejak Aiza dan Sofea memulakan pelajaran di sekolah yang sama tiga tahun lepas. Cuma tika cuaca tidak baik sahaja Puan Wati akan menjemput mereka
"Ala tak apa. Cepat sikit sampai. Naiklah." Bunyi kunci kereta dibuka kedengaran. Izzudin hanya tersengih. Sofea di belakang dipandang.
"Aya, jom." Sofea memandang Izzudin sekilas. Kemudian pandangannya beralih ke arah senyuman lebar milik Hidayah.
"Tak apalah. Aya nak jalan." Sofea menunduk sedikit tanda hormat sebelum memulakan langkahnya kembali.
"Eh Aya–" Izzudin garu kepala yang tidak gatal. Nak tarik pun gadis itu sudah menjauh. Terpaksalah dia meminta-maaf dan menolak pelawaan Hidayah itu.
"Tak apa. Pergilah kejar dia. Bahaya jalan seorang." Hidayah tersenyum. Tingkapnya dinaikkan sambil melihat langkah juniornya itu menjauh. Dia mengeluh.
"Aya tunggu!" Sofea sembunyi senyum. Dia tahu niat Hidayah pada Izzudin. Dan dia tahu Izzudin pasti mengejarnya. Laju dia berpaling ke belakang menghadap Izzudin yang termengah-mengah mengejarnya.
"Terima kasih, abang."
"Hah?"
"Jangan berhenti kejar Aya, okay?" Sofea tersengih dan segera berlari ke hadapan dengan girangnya. Hatinya berbunga hanya dengan satu tindakan tanpa sedar Izzudin.
"Eh budak ni. Dia sedar tak dia pakai kain?" Nak tak nak terpaksalah dia berlari juga.
'Jangan berhenti kejar Aya, okay?'
YOU ARE READING
Carnation
RomanceBerdamai dengan takdir, walaupun ianya menyakitkan. Pastu ada hikmahnya. Adakah bahagia dunia itu miliknya?