- 3 -

83 6 2
                                    

"Weh Izzudin. Aku rasa kau patut turun." Bahu lelaki itu ditepuk kuat. Izzudin mendengus apabila tulisannya tersasar akibat tepukan itu. Izzudin berpaling memandang wajah Zaid, wartawan tak rasmi sekolah mereka. Semua berita laju sahaja sampai ke telinganya.

"Kenapa pula?" Izzudin menggeliat kecil. Sedar tak sedar sudah hampir satu jam dia menulis nota. Masa lapang yang diperoleh kerana guru mereka sedang bermesyuarat digunakan sebaiknya.

"Apa lagi? Adik kaulah." Izzudin hela nafas berat.

"Dia buat apa lagi?" Zaid angkat bahu. Selalunya dia yang pertama tahu tapi disebabkan dia turut mengulang kaji bersama Izzudin, hanya sedikit maklumat yang diperolehnya. Itu pun dia dengar ketika pergi ke tandas sebentar tadi.

"Yang aku dengar, Hidayah jatuh dari tangga form 6. Ada orang nampak Sofea buat." Mata Izzudin terbuntang luas. Sofea memang suka buat masalah. Tetapi tidak pernah pula gadis itu bermain dengan nyawa orang.

"Aya tak akan benarkan sesiapa boleh ambil hak Aya lagi."

Tidak berlengah, Izzudin bergegas berlari ke tangga blok A dimana kejadian itu berlaku. Kelihatan Hidayah baru sahaja dibawa pergi oleh paramedik. Nampak gayanya agak teruk sehingga terpaksa diusung. Ambulans juga dipanggil. Mengucap panjang Izzudin dibuatnya. Ini kalau Nek Yah tahu, mahu sakit jantung orang tua tu. Izzudin memerhati sekeliling. Tubuh gadis kecil yang sedang berdiri kaku di tepi tangga sambil menunduk dihampiri.

"Kenapa Aya buat macam ni?" Tanpa amaran, Izzudin menyergah. Sofea mengangkat kepala dengan mata terkebil-kebil.

"Aya nak tengok je." Terpejam mata Izzudin mendengar jawapan selamba gadis itu.

"Aya kata nak berubah. Aya janji dengan Abang tak nak buat hal lagi? Tapi ini apa? Teringin sangat nak masuk juvana ke?" Wajah Sofea berubah mendung apabila tiba-tiba dirinya dimarahi. Sudahlah ramai pelajar lain masih berada di sini.

"Ala abang. Aya minta maaf. Tak nak masuk juvana. Tak akan sebab ni boleh kena tangkap? Abangkan boleh tolong Aya?" Sofea cuba merayu. Dia tak nak masuk juvana! Kalau cikgu suruh dia lari padang tiap hari lagi bagus.

"Abang tak boleh tolong Aya dah. Aya dah melampau. Benda ni boleh jadi kes polis tau. Pergi bilik disiplin sekarang." Jari telunjuk Izzudin dituju ke arah di mana bilik disiplin berada.

"Tapi Aya tengok je." Sofea masih cuba membela diri.

"Tengok Aya kata? Aya sedar tak yang Aya dah main dengan nyawa orang?! Aya fikir nyawa tu boleh beli dekat pasar? Eh abang serabutlah macam ni kalau Aya tak habis-habis buat masalah. Abang ada peperiksaan besar tau nanti. Tak sempat nak layan perangai tak semengah kamu ni. Cuba jadi macam Aiza. Elok sahaja dia belajar." Kalau bukan kerana Nek Yah meminta dia tengok-tengokkan Sofea sejak gadis itu menjejakkan kaki ke sekolah ini, mungkin dia tak perlu pedulikan gadis ini.

Sofea terdiam. Serta-merta dia menunduk. Orang di sekeliling mula berbisik sesama-sendiri tapi tiada yang berani mencelah. Wajah Sofea mula memerah menahan malu. Memang dia selalu membuat masalah tetapi dimarahi di khalayak ramai begini merupakan pengalaman pertamanya.

"Kalau nyawa ada dekat pasar, Aya nak beli untuk ummi abi. Mesti abang pun tak terbeban dengan Aya sebab Aya ada ummi abi yang boleh jagakan Aya. Aya minta maaf kalau abang serabut dengan Aya. Aya tengok je. Tak tau pula abang marah. Aya pergi bilik disiplin tau. Abang sambunglah belajar." Izzudin terpempam. Lupa seketika yang Sofea merupakan anak yatim piatu. Nampaknya gadis itu terasa dengan dirinya kerana selalunya Sofea akan melawan balik kata-katanya. Siapa suruh kau sebut pasal nyawa, Izzudin?

"Aya, abang–" Tidak sempat Izzudin menyambung bicara, tubuh Sofea terlebih dahulu menghilang dari pandangan. Nafas berat dihela. Tiba-tiba satu tangan hinggap di bahunya, menegur lembut.

"Along, yang along beriya marah Aya tu kenapa?" Aiza menghampiri. Kecoh rakannya memberitahu Sofea dimarahi abangnya di tangga blok A. Apabila dia sampai tadi, dia melihat Sofea sudah tertunduk malu. Walaupun sekilas, Aiza sempat menangkap tubir mata Sofea yang sudah berair. Entah buta atau apa, abangnya itu tidak sedarkan yang Sofea sebenarnya memang berhati lembut. Nampak sahaja kasar dan nakal, tetapi sekali dimarahi rapuh hatinya.

"Dah dia buat salah." Izzudin memerhatikan wajah Aiza. Adiknya dan Sofea sudah berkawan lama tetapi kenapa perangai mereka bagai langit dengan bumi? Aiza merupakan pelajar aktif sekolah sama seperti dirinya tetapi Sofea tidak habis-habis dengan ulah nakalnya.

"Selama ni dia merayau juga waktu belajar. Tapi tak adalah Along marah macam ni." Aiza akui Sofea memang nakal tetapi tadi pertama kali dia melihat abangnya memarahi Sofea di khalayak ramai. Selalunya Izzudin akan membawa rakannya itu ke bilik disiplin terus.

"Kalau setakat merayau tu, Along tak marah. Along marah sebab apa yang dia buat tu kes berat. Kalau mati si Hidayah tu, tak ke terkejut Nek Yah dekat rumah?" Berkerut dahi Aiza mendengar kata-kata abangnya sebelum dia mula mencantumkan situasi yang berlaku. Aiza menggeleng perlahan.

"Along, segila-gila Aya, dia tak buat kerja gila macam tu. Cikgu Ziana dah tengok CCTV selepas ada orang mengadu nampak Aya tolak Hidayah tapi sebenarnya Hidayah tergelincir. Aya pula cuba capai tangan dia dari atas tapi terlepas. Kalau Aya berjaya sambut pun, mungkin Aya dah terjatuh sekali. Badan Aya tu kan kecil. Sekali kena tarik, memang menjunamlah. Dan ya Aya mengaku dia tengah merayap sebab mengantuk sebab itu dia ada dekat blok tingkatan 6." Izzudin menggeleng tanda tidak percaya. Dia memandang sekeliling untuk mendapatkan jawapan dan apa yang dia lihat hanyalah sokongan menunjukkan Aiza berkata benar.

"Abang, pergilah pujuk dia. Tadi Aya habis-habisan kena cemuh dengan budak sekolah. Cikgu pun ada yang pandang serong dekat dia sebab ingat dia yang buat. Nasib baik ada Cikgu Ziana. Bila abang buat macam tu, lagi dia sedih." Izzudin mengalah. Baiklah dia mengaku dia bersalah. Mungkin kerana faktor peperiksaan semakin menghampiri, dia sangat mudah dikawal emosi.

Izzudin mula menapak menuju ke arah bilik disiplin. Langkahnya terhenti apabila dia mendengar suara yang sangat dikenalnya dari balik dinding.

"Padan muka dia. Baru dia tahu siapa Sofea Irdina. Dia ingat boleh rampas abang macam tu je dari aku?" Hilai tawa Sofea kedengaran. Tak kuat tapi cukup untuk sampai ke pendengaran Izzudin.

"Kan dah jatuh tergolek! Lain kali jangan ambil hak aku. Dahlah tinggal satu je bu–"

"Aya!" Tegak badan Sofea yang sedang bercangkung di tepi bangunan itu. Alamak!

"Abang! Aya nak pergilah ni. Terjumpa semut pula."

"Sudah!" Dia sedang serius, boleh pula Sofea membuat lawak. Tak sedarkah gadis itu akan silapnya?

"Abang baru nak minta-maaf dengan Aya tapi apa yang abang dengar buat abang kecewa sangat. Kenapa Aya sampai sanggup cederakan orang? Tipu orang sekeliling lagi. Sejak bila Aya jadi licik ni?" Izzudin bercekak pinggang memandang gadis itu. Kali ini dia sangat kecewa dengan Sofea.

Sofea menunduk sambil bermain dengan tangannya. Dia menguis lantai menggunakan hujung tapak kasut.

"Apalah abang nak bagitahu mama papa abang nanti. Aya tahukan mereka sayangkan Aya. Kenapa sampai jadi macam ni? Aya tolonglah cakap sesuatu. Aya tak berniatkan buat semua ni?"

Sofea masih menunduk tetapi tidak lama kemudian, terdengar hilaian ketawa gadis itu. Semakin lama semakin kuat.

"Memang. Memang Aya yang buat. Kenapa? Ada masalah ke? Abang ada bukti ke? Ingat Aya ni lemah? Ini Sofea Irdinalah. Memang silaplah dia cari pasal dengan Aya."

"Aya melampau. Abang kecewa dengan Aya."

"Sejak bila pula abang pernah bangga dengan Aya?"

"Sofea Irdina!"

"Dahlah abang. Buang masa Aya layan drama abang. Kalau ada bukti, pergilah bawa dekat balai polis sana. Biar Aya masuk juvana. Itupun kalau abang adalah." Tanpa sebarang kata lagi, Sofea beredar meninggalkan Izzudin yang sedang dibakar api kemarahan itu.

"Abang, Aya nampak cikgu abang dah masuk kelas. Daripada abang terbakar dekat situ, baik abang lari sekarang kalau tak nak kena ketuk-ketampi." Sempat juga Sofea berpatah balik mahu memberitahu Izzudin. Izzudin hanya menjeling dan terus berlaku meninggalkan Sofea mengekek sendiri.

CarnationWhere stories live. Discover now