- 4 -

80 6 3
                                    

"Assalamualaikum! Mama, papa!" Sofea terus menerjah Encik Isa dan Puan Wati yang sedang bersantai menikmati angin pagi di beranda. Keluarga Izzudin memang sudah menjadi seperti keluarganya sendiri. Sejak kematian ibu bapanya dahulu, Encik Isa dan Puan Watilah tempat dia menumpang kasih selain Nek Yah.

"Waalaikumsalam. Aya, mama ada masak cucur udang tu. Pergi ambil dekat dapur." Mata Sofea terus bersinar mendengarkan kata-kata Puan Wati.

"Terima kasih, mama!" Tak sempat menyinggah, Sofea terus melencong ke dapur. Tergelak pasangan suami isteri itu melihat telatah Sofea. Kalau bab cucur udang, memang juara. Harap tak adalah yang ke sekolah dengan baju bercorak sos cili.

"Morning ma, pa. Salam." Izzudin yang sudah selesai bersiap terus menyalami ibu bapanya diikuti Aiza di belakang.

"Makan dah?"

"Dah mama." Serentak dua-beradik itu mengangguk.

"Aik, Aya tak sampai lagi?" Mata Aiza melilau mencari kelibat sahabatnya itu.

"Ada dekat dapur. Mama suruh makan dulu."

"Baru nak makan? Dah lambat ni." Izzudin menggumam perlahan. Kalau dah tahu nak makan dulu, cubalah bersiap awal.

"Alah bukan lambat sangat pun. Along pun dah tak bertugas jadi pengawas sekarang kan? Fokus exam je." Seperti biasa, telinga kuali Encik Isa berjaya menangkap setiap butir kata anaknya walaupun perlahan.

"Memanglah pa. Tapi kalau pergi awal, boleh study sikit." Encik Isa tidak menghiraukan omelan anak sulungnya. Sebaliknya, dia terus membaca berita terkini yang terpampang di skrin tabletnya.

Izzudin mendecit perlahan. Dia pun tak pasti dengan perasaannya kini. Entah mengapa dia berasa rimas dengan perangai Sofea sejak kejadian tempoh hari sedangkan bukan sekali dua Sofea membuat masalah. Mungkin Sofea betul-betul melampaui batas kali ini menyebabkan dia masih marah. Lebih-lebih lagi hanya dia yang mengetahui apa yang telah dilakukan Sofea terhadap Hidayah sebelum ini memandangkan tiada bukti jelas menunjukkan Sofea bersalah. Sofea pula sering memprovokasi dan mencabar dia mengheret Sofea ke bilik pengetua dengan bukti yang kukuh.

"Sedapnya! Mama terima kasih buatkan cucur udang sedap! Aya suka." Sofea tersenyum lebar menandakan dia benar-benar gembira dengan sarapannya pagi ini.

"Baguslah Aya suka. Dah cepat, nanti lambat sampai sekolah."

"Okay!" Terus dia bersalaman dengan Puan Wati dan memakai kasut sekolahnya. Selepas melambai tangan, mereka bertiga terus bergerak ke sekolah dengan berjalan kaki seperti kebiasaannya.

"Ceria betul Aya tu setiap hari." Encik Isa bersuara walaupun mata masih fokus kepada skrin.

"Baguslah. Wati harap, dalam hati dia pun macam tu." Kata-kata Puan Wati berjaya menarik perhatian Encik Isa. Mereka saling menatap mata sebelum masing-masing tersenyum nipis.

"Wati harap kita dah bagi cukup kasih sayang kepada dia. Wati tak nak dia buat perkara pelik lagi." Encik Isa menggenggam tangan isterinya.

"Kita dah cuba. Sekarang kita kena berdoa, Allah jagakan Aya." Puan Wati mengangguk. Laporan tentang perangai Sofea di sekolah yang disampaikan oleh Izzudin betul-betul merunsingkan dia. Dia tidak marah, tetapi bersedih. Kerana dia tahu segalanya di sebalik senyuman gadis itu.

"Abang, abang marah Aya lagi ke?" Hari Ini, genap sebulan Izzudin tidak bercakap dengan dirinya. Mulutnya berceloteh sebanyak mana pun Izzudin akan buat bolayan. Setiap pagi, semasa mereka berjalan ke sekolah bersama, Izzudin hanya membaca buku. Hanya Aiza yang melayan bicaranya. Kadang-kadang, dia berharap Izzudin jatuh tergolek tapi lelaki itu mempunyai empat mata. Mata fokus dekat buku pun dapat elak lubang dekat depan.

CarnationWhere stories live. Discover now