"Kau tak habis lagi ke?" Sofea terus berguling-guling di atas tilam gebu merah jambu kepunyaan Aiza. Awal pagi lagi dia sudah terpacak di hadapan rumah keluarga Encik Isa untuk menuntut janji Izzudin yang mahu membawa mereka ke pesta buku di bandar.
"Sikit lagi, Aya. Aku kena siapkan yang semalam punya. Nanti dekat pesta buku, mesti lagi banyak guna duit. Lagi banyak kerja nanti." Sofea yang sedang berguling terus berhenti dalam keadaan meniarap. Kakinya dihentak-hentak pada tilam tanda kebosanan melampau.
Aiza memang ada satu tabiat merekod semua transaksi perbelanjaannya. Setiap satu sen yang dia peroleh atau gunakan pasti direkodkan. Satu tabiat yang sudah bertukar kewajiban bagi Aiza.
"Okay dah. Jom!" Sepantas kilat Sofea berlari ke pintu bilik. Aiza hanya menggeleng melihat telatah sahabatnya itu. Suis kipas ditutup dan dia turut mengorak langkah ke kereta abangnya. Untunglah Izzudin lahir bulan Januari. Dah boleh buat lesen awal.
"Semua dah sedia?"
"Sedia!" Jawab Sofea dan Aiza serentak lagak kanak-kanak yang mahu dibawa berjalan-jalan. Perjalanan yang memakan masa hampir 20 minit itu riuh dengan perbualan dua gadis yang teruja bercerita mengenai buku kegemaran masing-masing.
"Okay. Along dah tunaikan bawa korang awal pagi. Jadi lepas ni pergi terus reruai tu. Kalau buku tu habis, along tak nak bawak dah esok. Faham?"
"Faham, tuan!" Sepantas kilat, Sofea dan Aiza berlari keluar menuju ke reruai yang sudah disasarkan sejak minggu lalu. Izzudin pula hanya tertawa kecil melihatnya. Bagi dirinya, sekurang-kurangnya dua remaja itu berlari kerana berebut mahukan buku. Satu hobi yang bagus dan patut disokong lagi-lagi untuk Sofea.
Oleh kerana Izzudin tidak mempunyai sasaran buku yang khusus, dia hanya berjalan-jalan melihat reruai yang ada. Sesekali dia berhenti mendengar para penulis mempromosi buku masing-masing. Kebetulan, salah seorang penulis terkenal sedang negara sedang ditemu-ramah di pentas utama. Penulis wanita yang sedang mencipta nama dalam industri seni negara itu sememangnya sedang menjadi bualan hangat. Beliau bukan sahaja menulis buku. Skrip drama terkenal juga merupakan salah satu karyanya. Jalan penceritaan yang unik, juga padat dengan pengajaran menjadi salah satu faktor kejayaannya.
"Saya ada matlamat tersendiri. Apabila adanya matlamat, maka akan adanya perancangan. Bukan satu, bukan dua. Banyak rancangan yang saya rancang untuk saya capai sasaran saya. Gagal sekali, tak bermakna saya boleh menyerah kalah." Izzudin mendengar dengan khusuk. Terselit rasa kagum kepada penulis wanita itu. Memang semua orang sedia maklum, beliau datang dari keluarga yang susah namun dia tak pernah menyerah. Perkahwinannya dengan anak salah seorang pemilik francais terkemuka baru-baru ini pula semakin menaikkan namanya.
Izzudin menghampiri reruai yang menjual buku penulis itu. Tangannya mencapai buku bertajuk "Kamu Mampu Jika Kamu Mahu" karya Alina Maisarah. Mungkin dia perlu hadiahkan buku ini kepada Sofea agar gadis itu lebih berminat untuk mengubah sikapnya.
"Eeii aku punyalah!" Suara pergaduhan seseorang menarik perhatian Izzudin. Dia kenal suara itu. Laju dia berpaling dan kelihatan Sofea sedang galak menarik buku dari tangan seseorang.
"Sofea Irdina, kamu buat apa ni?" Laju Izzudin meleraikan pergaduhan itu
"Dia ambil Aya punya. Tak akan Aya nak diam je?" Sofea mencebik. Tadi dia mengambil buku itu di atas rak sebelum meletakkanya sekejap kerana mahu mengeluarkan dompetnya beg tangan. Tiba-tiba, ada tangan lain yang mengambil buku itu. Sudahlah itu stok terakhir untuk hari Ini. Kalau mahu tunggu esok, sah Izzudin tidak akan membawanya lagi.
"Saya minta maaf. Tapi saya dah ambil buku ni dulu."
"Tipu. Aku dah ambil dulu." Laju Sofea membidas. Tangannya cuba merampas buku itu.
YOU ARE READING
Carnation
RomanceBerdamai dengan takdir, walaupun ianya menyakitkan. Pastu ada hikmahnya. Adakah bahagia dunia itu miliknya?