- 19 -

125 18 18
                                    

“Pa, memang tak ada ke contact Aya?” Sambil memakai stokin, sempat Izzudin menyoal. Matanya melirik ke arah dapur yang dipenuhi dengan aroma cucur badak.

“Kalau ada, tak adalah sebulan kita sarap cucur badak.” Encik Isa membelek surat khabarnya. Bukan dia tak usaha mencari, tapi memang semuanya menemui jalan mati.

Ketua kampung terlupa mahu mencatat nombor telefon Puan Syaima mahupun Encik Syauqi. Nombor telefon Sofea pula seakan tidak aktif. Rupanya, kata Pak Akob telefon gadis itu terjatuh ketika majlis pengebumian Nek Yah dan dia tidak sedar akan hal itu. Akibatnya, Telefon itu dibasahi hujan dan selepas 4 hari, Sofea tidak dapat menggunakannya langsung. Padanlah Izzudin tak dapat menghubungi Sofea lngsung selepas malam itu. Sanggup dia set jam tengah malam semata untuk menghubungi Sofea sewaktu bercuti.

“Macamlah mati anak. Anak depan mata, tak peduli pun.” Izzudin menjeling Aiza di sebelah. Harapnya Encik Isa tak dengar kata-kata anak gadisnya itu.

“Mulut tu, nak kena ikat ke?” Aiza mencebik. Dia terus ke rak kasut. Muak dengan sarapan yang dibayangi Sofea.

“Makan dulu, Aiza.” Izzudin melaung namun adiknya tidak melayan. Dia terus bergerak ke sekolah menaiki basikal.

“Aiza mana?” Soal Puan Wati dengan sepinggan cucur badak di tangan. Encik Isa hanya memuncungkan mulut ke arah pintu.

“Mesti dia cemuh kan. Esok mama masak benda lain.” Puan Wati tersenyum tawar. Setiap Kali dia mahu memasak hidangan lain, entah kenapa tangannya automatik mengambil bahan-bahan kuih itu. Sedar tak sedar, kuihnya dah siap diuli. Begitulah dia setiap hari.

“Tak apa. Saya suka. Masalah apa pun, okay.” Encik Isa menyuap sebiji ke dalam mulut.

“Along pun okay. Sedap, mama. Lepas ni, boleh jual dah.” Izzudin turut mengambil bekas kecil. Dia mahu membawa sedikit sebagai bekal.

“Along pergi dulu.” Izzudin mengambil basikalnya di bawah rumah. Semasa mengeluarkan ya, dia terlihat satu lagi basikal di situ. Nafas dihela berat.

Rupanya, seminggu sebelum mereka ke London, Encik Isa memesan tiga buah basikal untuk kegunaan mereka ke sekolah. Sofea tidak sempat menggunakannya. Kini, basikal itu hanya dibiar sepi. Malas mahu memikirkannya, Izzudin mula mengayuh. Perjalanan ke sekolah agak sunyi tanpa celoteh gadis itu.

Tiba di kelas, dia disapa oleh guru Bahasa Melayunya. Beliau meninggalkan pesan untuk Izzudin mencari pelapis bagi pendebat sekolah. Izzudin berkerut hairan.

“Bukan setiap tingkatan dah ada dua wakil ke, cikgu?” Setahunya, memang ada satu wakil perempuan dan lelaki untuk setiap tingkatan. Mereka memang ahli yang sudah dilatih sendiri oleh Cikgu Ayu. Cumanya, dia tidak kenal mereka kerana kebiasaanya dia hanya bertemu pendebat tingkatan 4 dan 5. Ini kerana merekalah yang akan lebih diberi peluang untuk mencari pengalaman sebelum melangkah keluar dari sekolah.

“Yang tingkatan 3 perempuan dah pindah. Tak akan kamu tak tahu? Kamu rapat dengan dia, bukan?” Soal Cikgu Ayu hairan.

“Mana ada saya kenal, cikgu. Dahlah tingkatan 3, perempuan lagi. Tak sempat saya nak kenal.”

“Oh ya? Cikgu ingat kamu kenal sebab pernah nampak kamu sekali. Tapi saya yang salah mungkin. Sofea pun tak pernah sebut nama kamu.”

“Kenapa dengan Sofea?”

“Sofealah pelapis tu.”

“Sofea Irdina?”

“Ha yang itu. Ish kamu ni. Kenal ke tak sebenarnya? Pening cikgu.” Dan selebihnya kata-kata Cikgu Ayu hanya menembusi telinganya.

“Sepatutnya, dialah yang pergi debat awal tahun hari tu. Tapi dia tarik diri sebab nak bagi Junaidah kelas kamu masuk.”

“Kalau dia masuk, mungkin kita dapat emas.” Sempat Cikgu Ayu berbisik sebelum berlalu. Izzudin bingung. Rasanya dialah manusia yang paling mengenali Sofea.

Rupanya dia silap.

Baru semalam juga Cikgu Aina menemuinya menyoal hak perpindahan Sofea. Cikgu itu tidak tahu perihal gadis itu kerana dia tidak mengajar pelajar menengah bawah. Rupanya Sofea ialah sebahagian dari pasukan bola jaring sekolah, cuma namanya tak pernah dicatat. Hanya guru yang menjaga pasukan itu mengetahuinya. Sofea menolak masuk ke pasukan utama secara tiba-tiba walhal setiap hari dia turun padang. Selepas Cikgu Aina ternampak betapa akrabnya Sofea dengan Aiza, tanpa perlu disiasat beliau tahu mengapa Sofea menolak lagi-lagi Sofea yang membantu dia mencetak nama ahli pasukan. Semestinya Sofea ternampak yang nama Aiza berada di tempat ke-13. Pasukan bola jaring hanya memerlukan 12 pemain termasuk pemain ganti. Cikgu Aina menunaikan permintaan Sofea untuk tidak menghebohkan hal ini dengan syarat gadis itu berjanji akan masuk ke pasukan semasa tingkatan 4.

Sofea yang disangka tidak mahu terlibat dengan apa-apa, rupanya ada banyak bakat terpendam.

Gadis itu terlalu banyak rahsianya.

SEDANG fokus dia menelaah pelajaran, seorang murid datang memanggilnya untuk ke pejabat. Izzudin kehairanan.

Kalau dulu, betullah dia selalu dipanggil. Kalau bukan kerana tugas sebagai ketua pengawas, pasti kerana Sofea. Tapi sekarang keduanya sudah tiada. Jawatan sudah diserahkan kepada ketua yang baru bagi membolehkan mereka fokus kepada peperiksaan besar.

“Ada apa ya, pengetua?” Soal Izzudin setelah melemparkan salam. Seorang wanita dan gadis yang turut berada di dalam bilik itu turut berpaling apabila mendengar suara Izzudin. Serta-merta ingatannya kembali kepada masa beberapa bulan yang lepas.

“Hidayah?” Gadis itu tersenyum nipis di atas kerusi rodanya. Sekarang dia mengambil cuti. Dia akan kembali menyambung persekolahan tingkatan 6 pada sesi yang berikutnya.

“Masuk Izzudin.” Pengetua mempersilakan pemuda itu duduk.

“Hidayah dan ibunya ada sesuatu yang hendak disampaikan. Sebenarnya, ini berkait dengan Sofea Irdina. Namun memandangkan dia sudah berpindah, saya minta mereka sampaikan kepada kamu sahaja. Lagi pula, kamu orang terdekat Sofea.” Izzudin memandang dia insan itu. Apa lagi yang tak selesai?

“Sayang saya tak dapat jumpa Sofea. Harapnya awak boleh sampaikan.” Hidayah memulakan bicara.

“Saya, mewakili ibu saya di sini, nak buat permohonan maaf atas apa yang berlaku ke atas Sofea. Sofea langsung tak ada kena mengena dengan hak tempoh hari. Saya yang salah. Salah langkah sampaikan tergelincir dan Sofea… cuba untuk halang saya dari jatuh.”

“Alamak!” Baldi berisi air sabun itu sudah terkeluar semua isinya. Ke apalah baldi ini ada di tengah jalan?

“Air pasang pagi surut pukul lima. Sofea bangun pagi terus mandi bunga. Pokok bunga teluki tanam tepi kolam. Sofea pun happy, abang pun senang.” Suara seseorang menyanyi buat Hidayah kalut. Sudahlah air sabun itu kelihatan tak digunakan lagi.

Cepat-cepat Hidayah mengangkatnya. Habis bersabun tangannya. Namun malang gam berbaju apabila dia tersalah langkah. Di saat dia cuba memegang pemegang tangga, satu tangan menyambutnya.

“Bagi tangan satu lagi!” Hidayah mengangguk. Tangan dihulur namun air sabun di tangan sebelah lagi mengurangkan daya geseran antara mereka. Dunianya terus gelap.

“Mak cik minta maaf. Mak cik salah. Kamu ada nombor dia? Mak cik perlu jumpa dia.” Soal ibu Hidayah sedih. Teringat pula bagaimana dia mengherdik gadis itu. Lagi tebal rasa bersalahnya apabila mengetahui gadis itu merupakan anak yatim piatu.

“Maaf, saya tak ada.” Izzudin menggeleng perlahan. Sepi menyelubungi bilik itu. Yang ada hanyalah penyesalan.

‘Banyaknya rahsia Aya. Pandai Aya sorok dari abang, kan?” Izzudin tersenyum kelat.

CarnationWhere stories live. Discover now