- 16 -

87 12 10
                                    

Sofea memandang sahaja kereta pacuan empat roda milik keluarga Izzuddin meninggalkan pekarangan rumah dari belakang pokok besar tempat mereka selalu bermain. Senyum pahit terukir di bibirnya apabila mengenangkan betapa bahagiannya mereka sekeluarga dapat bercuti bersama.

Sofea memusingkan badannya dan terus duduk bersandar pada batang pokok besar itu. Dia tak ada banyak kawan rapat. Hanya Izzuddin dan Aiza yang menjadi temannya bermain, selebihnya hanya teman sekolah. Hubungan dengan rakan sekelasnya pula tidak membaik sejak kejadian itu. Dia terlalu kecewa untuk kembali bersahabat dengan mereka. Lututnya ditarik merapat ke dada sebelum dia menekup mukanya di situ.

“Ummi… abi…” Rasa rindu yang tak pernah pudar kembali menyinggah.

Tipulah kalau dia kata dia tak teringin mahu mengikut mereka seperti sebelum ini. Tetapi kata-kata Aiza yang didengarinya tempoh hari membuatkan dia terasa malu. Sedar dia sudah banyak mengganggu masa keluarga itu, dengan rela hati Sofea menolak pelawaan Encik Isa dan Puan Wati untuk mengikuti percutian mereka kali ini. Kawad itu hanyalah satu alasan walhal dia hanya menemani Humaira'.

Terasa dia terlalu banyak menumpang kebahagiaan keluarga itu sehingga mengganggu privasi mereka yang menyebabkan Aiza tidak menyukainya. Kalau dia tidak sengaja mendengar luahan Aiza tempoh hari, pasti dia yang paling teruja untuk bercuti. Dan pasti Aiza juga tak selesa. Kasihan gadis itu. Pastu sudah lama dia memendam rasa.

“Jangan nangis lagi, Aya. Nanti nenda sedih. Tapi, seronoknya dapat pergi UK. Seronoknya jadi kaya. Seronoknya ada...” Sofea mengusap air mata yang mengalir di pipinya.

“Keluarga.” Rumah Izzuddin dan Aiza yang kosong ditatap lama. Dia kesunyian. Apabila merasakan dirinya lebih tenang, dia mula bangkit dan berjalan menuju ke rumah neneknya. Tadi sebenarnya dia mahu ucapkan selamat bergembira kepada Encik Isa sekeluarga tapi dia takut dia hanya akan mengganggu emosi Aiza. Aiza kawan baiknya. Aiza dah terlalu banyak berkorban untuk dirinya. Apa salah dia mengundur diri kali ini, kan? Walaupun mungkin hanya dia yang menganggap Aiza sahabat.

“Nenda! Aya dah balik.” Gayanya macamlah dia keluar lama sangat padahal hanya setengah jam dia merayau keluar. Sofea sudah terbiasa bercakap begitu setiap kali dia pulang dari pergi ke mana-mana dan neneknya pasti akan menyahut.

“Nenda?” Sofea menyeru neneknya sekali lagi namun keadaan masih sepi.

“Nenda! Nenda dekat mana? Aya ada story nak bagitahu nenda ni. Best tau cerita Aya. Nenda oh nenda?!” Habis seluruh rumah diteroka namun kelibat penjaganya yang satu itu tak kelihatan.

“Eh lupa! Nenda kata nak kutip sayur dekat belakang rumah. Nenda!!!” Sofea terus berlari laju turun ke bawah untuk mencari neneknya. Kalau dia masuk rumah pun, bukan ada benda dia boleh buat. Nenda sahajalah kawannya untuk meluahkan rasa.

Sofea melangkah masuk ke dalam kebun kecil milik neneknya. Langkahnya berubah perlahan apabila melihat sesuatu yang aneh. Terbuntang matanya melihat Nek Yah terlentang di atas tanah di bawah terik matahari.

“Ya Allah! Nenda!”

“A…ya…” Sofea melihat Nek Yah menggenggam bahagian pergelangan kakinya erat. Pasti punca kesakitan Nek Yah berasal dari situ.

“Ya Allah!” Sofea menekup mulut.

Terketar-ketar bibir Sofea melihat ada kesan patukan ular di kaki Nek Yah. Beberapa meter dari situ, kelihatan ada bangkai ular yang pastinya dibunuh oleh Nek Yah.

“Tunggu kejap nenda. Aya minta tolong papa!” Baru dia melangkah, dia teringat yang Encik Isa sekeluarga sudah bertolak ke lapangan terbang.

‘Ha! Pak Yaakob ada.”

“Aya…” Kaki Sofea yang baru mahu melangkah terbantut apabila Nek Yah menggenggam erat pergelangan kakinya. Nek Yah memandang cucunya sayu sambil menggeleng perlahan.

“Te…man…Nen…da…” Mata Nek Yah kelihatan berair. Dia cuba berkomunikasi dengan cucunya tanpa mengeluarkan suara. Rasa sakit menyengat ke seluruh tubuhnya. Sofea yang seakan memahami apa yang dimaksudkan neneknya terus menangis.

“Tak! Nenda tunggu sini, Aya minta tolong. Aya janji sekejap je. Tolonglah nenda. Jangan buat Aya macam ni!”

“Aya…” Sekali lagi Nek Yah menyeru dengan suara yang sebak membuat Sofea terus terduduk menangis. Terukir senyum nipis Nek Yah apabila Sofea memahami permintaannya. Dia hanya mahu Sofea berada di sisinya di saat-saat ini.

“Jangan nenda… Aya dah tak ada sesiapa. Nenda…TOLONG!” Sofea mengogoi kuat. Pekarangan mereka agak jauh dari rumah orang lain kecuali rumah Encik Isa.  Jadi, tak akan sesiapa akan mendengar jeritan meminta pertolongannya.

“Nenda… minta…ma…af.” Terhincut-hincut bahu Sofea melihat Nek Yah yang sedang nazak. Digagahi dirinya mendekati kepala Nek Yah.

“Aya sayang nenda. Terima kasih jaga Aya. Aya akan selalu doakan nenda.” Bibirnya dibawa mendekati telinga Nek Yah sebelum dia sendiri membimbing Nek Yah mengucap dua kalimah syahadah. Dada Nek Yah berombak naik turun kuat beberapa ketika sebelum semuanya terhenti.

“Nenda? Nenda… Nenda…” Sekarang secara rasminya, tinggallah dia seorang sebagai satu-satunya keturunan Cik Zakiah di atas muka bumi ini. Tiada anaknya, tiada menantunya. Yang tinggal, hanya cucu yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang.

“ALONG kenapa?” Puan Wati menegur anaknya yang kelihatan termenung jauh. Dia perasan Izzudin kerap hilang fokus sejak beberapa minggu ink.

“Entah. Rasa tak sedap hatilah.”

“Istighfar banyak-banyak. Insyallah tak ada apa.” Nasihat Puan Wati lembut.

“Dah-dah. Matikan telefon masing-masing. Kapal terbang nak berlepas dah ni.” Encik Isa yang duduk di sebelah Puan Wati menyampuk.

Izzuddin akur. Sempat dia melihat log panggilan masuk yang dia terlepas, atau lebih tepat… abaikan. Kelakuan Sofea agak melampau. Dia faham jika gadis itu mahukan perhatian lebih tapi bukan dengan cara begini. Mungkin betul kata Azrul, rakan sekelasnya. Dia perlu jauhkan diri dahulu dari gadis itu. Sofea terlalu bergantung kepada dirinya sehingga dia lupa akan batas mereka berdua.

"Sayangnya Aya tak ikut. Saya dah belikan baju sedondon nak pakai sekali." Kedengaran Puan Wati mengadu pada suaminya. Izzudin hanya memasang telinga.

"Biarlah dia. Demi masa depan dia juga. Susah payah kita pujuk dia aktif, tiba-tiba nak halang nanti dia merajuk pula. Lain kali saya pastikan kita akan bawa dia."

Izzudin mengeluh kecil. Dia sudah buat semakan. Nama Sofea tiada dalam senarai pasukan bahas itu. Nampaknya gadis itu memang nekad menolak.

Kepala disandarkan pada tingkap. Fikirannya melayang ke zaman kanak-kanak mereka, di mana masing-masing hanyalah anak kecil yang polos. Mata Izzudin terpejam rapat. Perasaan yang muncul ketika menginjak dewasa ini mungkin boleh merosakkan hubungan baik mereka. Dan itulah perkara yang paling dia tidak mahu berlaku.

CarnationWhere stories live. Discover now