- 5 -

76 7 1
                                    

"Sofea. Sofea!" Humaira' cuba memanggil gadis yang sepertinya berada dalam dunia sendiri itu.

"Pia!" Ridiya menyenggol bahu rakannya. Barulah Sofea seakan tersedar dan kembali ke dunia realiti.

"Kau okay tak?" Terkebil-kebil gadis itu memandang sekeliling. Dia melihat rakan sekelas semua menumpukan perhatian kepadanya.

"Okay. Kenapa?"

"Humaira' tanya setuju tak PJ hari ini kita main bola baling. Budak lelaki dah conquer gelanggang bola keranjang." Barulah Sofea sedar yang semua orang sedang mengundi permainan yang mahu dimainkan. Humaira', si penolong ketua kelas yang memang terkenal dengan sifat adilnya. Dia tak akan biarkan seorang pun tercicir dalam membuat keputusan untuk apa-apa perkara berkaitan kelas mereka.

"Boleh. Aku setuju." Sebaik sahaja Sofea berkata, terus mereka membentuk dua kumpulan.

"Kau kenapa? Ada masalah apa?" Ridiya bertanya semasa mereka sudah berada dalam posisi masing-masing."

"Tak ada apa-apa. Aku berangan putera raja pinang aku tadi." Sofea tersengih lebar. Segera dia menggeleng kepalanya bagi menghilangkan lamunannya sebentar tadi.

Lamunan mengenai kesunyian yang dihadapinya pagi tadi semasa ke sekolah. Aiza tiada di sekolah selama seminggu kerana mengikuti perkhemahan peringkat kebangsaan. Maka tinggal dia dan Izzudin berjalan berdua ke sekolah. Namun gayanya seperti dia jalan bersendirian. Apa pun yang dia soal mahupun ceritakan, Izzudin tidak melayan. Bagi seorang yang suka bercerita seperti dia, Sofea agak terganggu. Rasa seperti ada sesuatu yang tak terluah.

"Pia, elak!" Tidak sempat memberi tindak balas, sebiji bola lebih laju singgah di pipi Sofea. Terduduk gadis itu dibuatnya.

"Aduh!" Malang tak berbau dan sudah jatuh ditimpa tangga. Itulah dua peribahasa yang sesuai untuk dirinya sekarang. Sudahlah jatuh terduduk dengan rasa pipi yang perit, cermin matanya pula sudah pecah.

"Pia, aku minta-maaf. Ya Allah, pecah!" Wajah Maryam berubah pucat. Dia tidak sengaja membaling bola itu secara kuat. Lagi pun, selalunya Sofea handal menangkap bola. Bertambah pucat mukanya melihat pipi Sofea sedikit lebam.

"Aku minta maaf weh. Sumpah tak sengaja!" Sofea hanya mengangkat tangan tanda tidak mengapa. Salahnya juga tidak memberi tumpuan tadi.

"Jangan risaulah. Hal kecil je. Hey ni Sofealah!" Sofea cuba tersenyum tetapi agak terhad kerana lebam pada pipinya.

"Aku ganti spek–"

"Aip shu shu! Cermin mata ni memang dah lama. Aku memang nak buat baru. Terima kasih pecahkan. Boleh aku claim dengan nenek aku hehe..."

"Tapi–"

"Dah! Sambung main. Jangan risaulah." Maryam kelihatan serba-salah. Masakan Sofea bebaskan dia begitu sahaja. Dalam pada itu, dia cuba membantu Sofea bangun namun gagal apabila gadis itu mengaduh kuat.

Ridiya yang kehairanan terus memegang kaki Sofea. Ternyata sangkaannya benar apabila Sofea mengaduh lebih kuat. Kaki Sofea bengkak.

"Cikgu mana?" Ridiya memandang Humaira' di sebelah kanannya.

"Cikgu pergi tandas sekejap. Kejap aku cari."

"Tak payahlah Maira. Nanti cikgu datanglah tu." Humaira' hanya akur.

"Aku takut retaklah, Pia. Aku nak pergi ambil emergency kit sekali dengan bagitahu abang kau sekejap. At least penjaga kau tahu." Tidak sempat Sofea menghalang, Ridiya sudah terlebih dahulu menghilangkan diri.

"Dia bukan abang aku." Gumam Sofea perlahan sambil mengusap kakinya yang sudah kelihatan sedikit bengkak.

"Korang pergilah sambung main. Aku okay. Tunggu Ridiya bawa emergency kit."

"Aku tunggu sini." Humaira' melabuhkan punggungnya dia sebelah.

"Ah kau pun sama. Sambung main nuh!" Sofea cuba menghalau.

"Kau sakit buat cara sakit. Makin bengkak pipi kau baru tahu. Banyak pula mulut dia." Humaira' mengomel. Faham sangat perangai suka berdikari Sofea. Kalau boleh, semua mahu dibuatnya sendiri. Walaupun satu sekolah mengatakan Sofea budak bermasalah, hanya mereka, rakan sekelasnya mengetahui hakikat gadis itu sungguh baik hati.

"Kau betul ke tak ada masalah? Banyak kali aku tengok kau berangan." Humaira' cuba mengorek. Sofea ni, kalau tak ditanya, tak akan memberitahu.

"Aku mengelamun pun tak boleh ke?"

"Kau–"

"Sorry. Abang kau kata dia sibuk. Dia kata pergi bilik rawatan je." Ridiya datang selepas beberapa minit mencari. Bukan susah pun memandangkan bilik kecemasan dan kelas Izzudin dua-dua berdekatan padang sekolah.

"Aku dah kata dia bukan abang aku. Kenapa nak susahkan dia? Jangan dikacau orang nak exam." Walaupun jauh di sudut hati, Sofea berharap Izzudin datang menjenguknya. Seperti biasa...

"Selalunya kan dia–"

"Dah-dah. Dari duk borak sini, apa kata kau papah aku pergi bilik rawatan. Mata aku tak nampak apa ni. Maira' kau tunggu sini tolong bagitahu cikgu, tau."

"Okay. Kejap lagi aku pergi sana." Humaira' membalas ringkas.

"Fuh rasa famous ramai orang nak lawat aku." Sofea mengekek perlahan sebelum mengaduh pipinya sakit. Humaira' dan Ridiya hanya mampu menggeleng melihat telatah gadis itu.

"KAU tak call mama papa kau?" Waktu persekolahan telah tamat. Dapat juga Sofea merasa balutan di kaki. Mujur hanya bengkak, bukannya retak.

"Tak. Aku tunggu abanglah nak balik sekali." Sofea duduk di atas kerusi perhentian bas, dibantu oleh Ridiya dan Humaira'.

"Bukan korang jalan kaki ke? Kau nak balik macam mana? Dia dukung kau?"

"Uish macam best idea tu. Nanti aku suruh dia dukung. Aduh!" Tak semena kepalanya diketuk oleh Humaira'.

"Jangan pelik-pelik." Sofea tersengih lagi.

"Tak silap aku form 5 harini ada kelas sampai petang. Baik kau call mama papa kau minta tolong pick up." Humaira' memberitahu maklumat yang dilihatnya pada pan maklumat sekolah tadi. Sofea terhenyak. Selalunya Izzudin akan maklumkan pada dia.

"Tak apa. Aku tunggu. Korang baliklah dulu." Sofea bertegas menghalau mereka berdua pulang. Lagi pula keduanya menaiki basikal ke sekolah dan arah rumah mereka bertentangan. Dia tidak mahu mereka berdua pulang di waktu sudah tiada siapa di jalan.

Hampir satu jam berada di situ, Sofea memutuskan untuk berjalan pulang setelah dia melihat keadaan sekeliling sudah menjadi sepi. Baru selangkah dia sudah menyeringai kesakitan. Mana mungkin dia menghubungi Encik Isa dan Puan Wati kerana keduanya berada di tapak perkhemahan Aiza memandangkan rakannya itu berjaya memenangi anugerah ketua platun terbaik. Mana mungkin dia mengganggu saat manis mereka.

Tidak mahu dirinya bertembung dengan pelajar tingkatan 5, Sofea memulakan langkah kembali. Setiap dua langkah dia berhenti. Di bawah panas terik, dia sudah tidak dapat bezakan air mata kesakitan dengan peluhnya. Lelah dengan perjalanannya, dia mengambil keputusan berehat di belakang bawah pokok di tepi jalan. Risau orang yang lalu-lalang pelik pula melihat dirinya di situ jika dia menghadap jalan.

Sambil berehat, dia mengeluarkan telefon bimbit yang tersorok di dalam begnya. Mesti Nek Yah risau dia tidak pulang lagi. Baru mahu membuat panggilan, telefonnya mati. Baru dia Teringat sudah seminggu dia tidak mengecas telefonnya. Memang dia tidak bermain gajet itu di rumah. Selama ini, dia biarkan sahaja di dalam beg. Bukan ada orang yang dia mahu hubungi pun.

"Nak golek-golek, kotor pula baju nanti. Aish penatlah macam ni. Baik tidur." Dia hanya berniat, dan tak sangka kesan ubat tahan sakit yang ditelan tadi membantu niatnya.

CarnationWhere stories live. Discover now