- 13 -

90 8 3
                                    


Setelah dua hari berada di wad hospital, barulah kelihatan senyuman mekar Sofea Irdina. Mana taknya. Puan Wati melayannya bak puteri. Nendanya turut berada di sisi. Encik Isa pula setia membawakan apa sahaja yang dia mahu. Izzudin pula sempat melawati ketika pulang sekolah. Cuma Aiza yang dia tidak tahu ke mana gadis itu menghilang. Mungkin sibuk dengan latihan sukannya.

"Aya, tengok abang belikan aiskrim untuk Aya." Izzudin menggoyangkan makanan kegemaran Sofea sebaik sahaja memberi salam. Lelaki yang masih lengkap berseragam sekolah itu melangkah masuk diikuti Encik Isa.

"Ada kacang ke? Nak!" Laju Sofea mendepakan tangan. Lupa sudah segala amarah atau kesedihan terhadap keluarga itu. Dia menyesal kerana terlalu mengikut perasaan. Dia tak sepatutnya merendahkan diri dan berburuk sangka dengan keluarga yang sudah menjaganya sejak kecil.

"Ada. Coklat pula tu." Izzudin semakin menghampiri katil Sofea. Puan Wati dan Nek Yah tersenyum kelat. Tak sangka benar kata Izzudin.

"Wah! Terima… kasih?" Semakin Izzudin menghampirinya, barulah dia sedar itu bukan aiskrim seperti yang dikatakan. Ia hanyalah sebungkus roti kegemaran Sofea.

"Abang, harapan palsu! Aya–" Kata-kata Sofea terhenti apabila dia perasan semua orang merenungnya sayu.

"Apa? Kenapa semua pandang Aya. Mama, tengok abang tu. Dia tipu Aya!" Sofea cuba menagih simpati namun pandangan sayu semua orang terhadapnya sedari tadi tidak berubah.

"Kenapa tak beritahu nenda, Aya? Nenda tak penting ke dalam hidup Aya?" Soal Nek Yah sayu. Dia tak sangka penglihatan Sofea seteruk itu. Padanlah kemalangan di tangga itu boleh berlaku.

"Mestilah nenda penting! Apa maksud nenda?" Sofea memerhati sekeliling lagi. Cuba mencari jawapan. Matanya terhenti pada roti tadi. Secara logiknya, mustahil dia tidak mengecam bungkusan roti kegemarannya itu dalam jarak yang dekat. Jadi adakah Izzudin menguji penglihatannya sebentar tadi? Terus Aya menunduk malu.

"Cukup dengan semua benda mengarut ni. Aya, kamu masih bawah umur. Masih ada penjaga. Dan masih ada kami. Papa dah dengar semuanya dari Izzudin. Papa tak nak Aya buat kerja yang tak sepatutnya Aya buat lagi. Aya dah boleh keluar petang ni. Kita terus pergi kedai cermin mata dan kedai kamera." Serta-merta Sofea mengangkat wajahnya.

"Aya tak nak–" Kata-kata Sofea terhenti apabila Puan Wati memegang tangannya sambil menggeleng. Tidak mahu Sofea meneruskan kata-katanya. Dia tidak mahu suaminya kecewa lagi. Mengamuk besar Encik Isa kelmarin selepas mengetahui apa yang berlaku pada Sofea sejak beberapa bulan yang lalu.

Dari dituduh sebagai pembunuh, dipulaukan rakan-rakan, diserang ibu Hidayah, tidak diendah oleh isterinya sehinggalah ke bab bekerja untuk membeli cermin mata baharu. Encik Isa kecewa kerana satu pun tidak sampai ke telinganya. Habis Izzudin dimarahi kerana tidak memaklumkan hal sepenting ini.

"Kamu pun. Walaupun papa minta kamu jaga Aya, kamu masih bawah umur. Masih tanggungjawab mama dan papa. Papa suruh lindungi dia dari perkara ringan, bukannya sembunyikan hal mak pelajar serang Aya sampai lebam!" Nek Yah sudah teresak. Tak disangka cucunya menghadapi semua itu. Dia ada melihat Sofea pulang dengan wajah yang lebam namun Sofea tegas mengatakan pipinya terkena bola baling.

"Maaf, pa." Izzudin menunduk. Dia lupa untuk memaklumkan hal itu kerana ketika itu amarah pada Sofea sedang memuncak. Dia sendiri tidak tahu pihak mana yang harus dipercayai. Mahu dilaporkan pada ibu dan ayahnya, Izzudin tidak mahu mereka kecewa memandangkan Sofea sendiri mengaku yang dia menolak Hidayah.

"Selepas ini, Aya tak boleh sembunyikan apa-apa lagi. Kalau tak, papa akan marah. Faham!" Aya mengangguk laju.

"Baik, papa."

"Janji dengan papa."

"Jan…ji…" Lambat-lambat Sofea menjawab.

"Ada apa-apa lagi yang Aya tak beritahu papa yang sepatutnya papa tahu?"

"Tak ada, pa."

"Betul?

"Betul." Sofea kembali menunduk. Maafkan Aya, papa. Aya tak mampu beritahu semuanya.

"HARIi ini abang balik lambat ke?* Soal Sofea dalam perjalanan ke sekolah. Aiza tiada bersama mereka. Katanya, perlu ke sekolah awal.

"Pukul 6. Ada kelas Matematik." Sofea mengangguk faham. Maknanya, dia pulang sendiri hari ini.

"Nak abang call mama datang ambil Aya?" Laju Sofea menggeleng. Bukannya jauh pun rumahnya.

"Kaki dah okay. Aya boleh jalan je."

"Betul eh? Apa-apa jadi, abang yang kena." Seram-sejuk Izzudin dibuatnya melihat muka bengis Encik Isa. Taubat dia tak sembunyikan apa-apa lagi dari ayahnya selepas ini.

"Hehe.. Rasa macam jadi isteri abang. Semua pasal Aya, tanggungjawab abang!" Sofea bernada ceria. Seakan kisah lara selama beberapa bulan ini tidak pernah terjadi.

"Mengarutlah. Otak pagi-pagi tu, biar fikir benda bermanfaat sikit. Aya dah banyak ketinggalan tau." Sofea mencebik. Izzudin sudah kembali meleterinya seperti dulu. Dan dia menyukainya.

"Abang sayang Aya tak?" Soal Sofea tiba-tiba.

"Soalan apa macam tu?" Izzudin menggeleng. Kalau tak sayang, dah lama dia hempuk budak ni hari-hari. Ada sahaja ulahnya nak buat dia tidak senang duduk.

"Maksudnya Aya boleh kahwin dengan abang?" Izzudin tepuk dahi. Tak habis lagi rupanya topik tadi.

"Abang dah kata tak payah mengarut. Abang sayanglah sebab Aya adik abang." Sofea mencebik. Tak akanlah tak faham-faham lagi apa dia nak?

"Tapi Aya tak nak jadi adik. Aya nak jadi pasangan abang. Macam papa mama." Izzudin mengeluh. Tak tahu apa lagi perlu dia nasihatkan supaya Sofea berhenti memikirkan hal ini.

"Aya, kita budak sekolah lagi. Tanggungjawab kita, belajar. Hal macam ni, apabila Aya dah dewasa, Aya fikirlah. Abang tak halang. Panjang lagi perjalanan kita. Tak perlu fikir sangat." Cara bebelan tak jadi, cara lembut pula dicubanya.

“Tak jauh pun. Bukan selalunya orang macam Aya ni lepas habis sekolah terus kahwin ke? Duit tak ada. Otak bebal. Baik kahwin." Batu di hadapannya ditendang. Semua orang kata dia tiada masa depan. Bodoh. Buat apa dia fikirkan pelajaran lagi?

Lagi pula, dia miskin. Daun mana boleh digunapakai untuk bayar yuran pendidikan. Untuk pinjaman pendidikan, siapa yang boleh dia jadikan penjamin?

“Semua orang ada hak mendapat pendidikan. Bezanya, tak semua orang mampu. Ada yang tak mampu sebab masalah keluarga. Ada yang tak mampu sebab masalah kewangan. Dan ada banyak lagi sebab yang membuat seseorang itu tidak mampu. Aya kena ingat, Aya mampu semuanya. Kalau nak kata tak ada duit, papa dah bagi amaran yang Aya tanggungjawab papa sampai Aya boleh bekerja."

"Tapi Aya bukan–"

"Kalau Aya nak cakap Aya tak Terima sebab tak ada hubungan darah, baik Aya diam. Abang yang kena bebel nanti. Peluang ada depan mata. Kenapa tak ambil peluang ini? Kalau betul pun Aya segan, simpan dulu. Nanti dah dapat kerja, Aya bayar balik. Senangkan?" Sofea mencebik. Memang senang pun. Cumanya pasti Encik Isa tak akan terima.

"Iyalah. Aya pertimpangkan."

"Tak ada siapa suruh Aya pertimbangkan. Memang itu je pilihan Aya." Sofea mengembungkan pipinya. Memang tak ada peluang nak menang kalau cakap hal ini dengan Izzudin.

"Tapikan abang. Aya perasan sesuatu." Sofea tiba-tiba berhenti melangkah. Izzudin mengangkat sebelah keningnya sebagai tanda 'apa?'.

"Abang tak marah bila Aya cakap macam ni depan abang sahaja. Tapi haritu, abang tengking Aya. Maksudnya, abang malu ke dengan kawan-kawan abang?" Dahi Izzudin berkerut cuba memahami kata-kata gadis itu.

“Abang tak halang. Abang cuma cakap fikir nanti. Maksudnya, abang suka Aya juga kan?” Sofea tersengih lebar. Izzudin pula terkelu. Wajah Sofea yang ceria itu dipandang sebelum dia mengalih pandangan.

"Eleleh abang kita blushing! Okay nak pergi belajar biar dapat kerja jadi boleh beli cincin nak meminang abang." Terus sahaja Sofea berlari ke pagar sekolah.

"Aya!" Izzudin menepuk dahi. Yang kau kalu tadi kenapa?

CarnationWhere stories live. Discover now