Perjalanan ke sekolah hari itu agak sunyi tanpa celoteh Sofea. Gadis itu diberikan cuti sakit selama seminggu untuk mengelakkan lebih banyak tekanan pada kakinya.
"Aiza tak faham. Yang Along nak gaduh sangat dengan Aya kenapa?" Aiza tiba-tiba menyoal, memecahkan perjalanan sepi mereka berdua. Dia akui dia jarang bersama Izzudin dan Sofea sekarang kerana banyak terlibat dengan aktiviti sekolah. Jadi entah berapa lama hubungan abang dan rakannya itu dingin pun dia tak tahu.
Izzudin hanya menyepi. Tak berminat untuk menjawab.
"Along! Aiza tanya ni." Suara Aiza yang sedikit menunggu itu membuatkan Izzudin berdecit kuat. Kalau dia terus mendiamkan diri, sah perkara ini akan sampai ke pengetahuan ibu dan ayah mereka.
"Along tak nak pelajaran dia terganggu." Jawapan selamat diberikan.
"Hah? Apa kaitan gaduh dengan pelajaran ni? Dengan gaduh macam ni, Aya lagi terganggu tau, along!" Bukan Aiza tidak tahu Sofea bukannya boleh kalau sehari tidak bercakap dengan orang yang dia rapat.
"Aiza tak faham. Haritu dia..." Izzudin ketap bibir erat. Patutkah dia memberitahu Aiza?
"Dia apa?" Kali ini Aiza berdiri di hadapan abangnya, menghalang Izzudin daripada meneruskan langkah.
"Dia confess!"
"Apa?" Berkerut dahi Aiza mendengarnya.
"Siapa?" Izzudin hela nafas berat. Dia malas betul mahu berbincang cerita monyet ini.
"Jalan. Nanti lambat." Izzudin mengelak ke tepi dan terus menapak ke hadapan. Aiza terus mengejar langkah abangnya.
"Along, siapa?!" Aiza mendesak namun Izzudin tetap mengunci mulut.
"Along, kan?" Langkah Izzudin terhenti. Dari gerak badan abangnya, Aiza tahu jawapannya tepat. Padanlah Izzudin meletakkan jarak. Aiza kenal sangat abangnya yang tidak gemar terlibat dengan perkara begini di ambang persekolahan. Mereka memang sudah dididik untuk menjaga batas dalam berkawan.
Izzudin sendiri tidak faham kenapa dirinya bersikap begiitu terhadap Sofea sedangkan boleh sahaja dia menasihati gadis itu secara baik seperti kebiasaannya. Mungkin kerana gadis itu, Sofea. Seorang yang sukar mendengar nasihat. Dia tak rasa nasihat sahaja akan berkesan untuk gadis itu.
"Aiza tahu along tak suka." Izzudin hanya mendengar. Tiada rasa mahu membuka mulut lagi. Cukuplah Aiza tahu mengapa dia meletakkan jarak di antara dia dan Sofea. Sungguh, dia tidak mahu gadis itu hanyut. Lihat sahaja ketika teman-teman Izzudin memuji mereka secocok, Sofea sudah tersenyum lebar.
"Aiza pun." Kali ini langkah Izzudin terus terhenti. Segera dia berpaling melihat raut wajah Aiza yang serius.
"Apa dia ingat dia kayak jadi kakak ipar Aiza?" Dahi Izzudin berkerut seribu. Terkejut mendengar nada suara Aiza yang tiba-tiba berubah.
"Teruskan dengan pendirian along. Jangan berubah. Aiza suka." Ujar Aiza senada lantas terus melangkah melintasi abangnya.
"Aiza..." Izzudin menggumam perlahan. Mengapa nada suara Aiza seperti tersirat dengan dendam?
BURUNG yang berkicauan di atas pokok diperhatikan. Teringin rasanya mahu terbang bebas seperti burung itu. Sekarang bukan setakat terbang, nak berjalan pun dia tak mampu. Suasana tenang ini, sudah lama tak dia nikmati. Betapa dia alpa dengan nikmat udara segar yang Allah kurniakan. Suasana yang mengingatkan bahawa nikmat kehidupan indah pernah dia rasai.
"Safa, jom beli aiskrim." Safa mengangguk. Tangannya laju memaut lengan kakaknya agar tidak terpisah.
"Jaga adik elok-elok. Nak lintas jalan tengok?"
"Kiri kanan!" Wanita lingkungan 30 an itu tersenyum melihat telatah kedua anaknya.
"Jumpa pakcik aiskrim cakap apa dulu?"
"Assalamualaikum!" Sekali lagi dua-beradik itu menjawab serentak.
"Pandai anak-anak ummi. Jalan elok-elok. Ingat, seorang boleh beli?"
"Satu!"
"Kalau tak?"
"Rosak gigi!"
"Nanti dah tak?"
"Cantik!" Wanita itu tertawa perlahan. Bersyukur dia dikurniakan anak-anak yang menengar kata.
"Kakak, Safa nak aiskrim awan." Beritahu Safa sebaik mereka tiba di kedai. Sofea mengangguk.
"Vanilla, Safa. Ummi kata, warna putih tu aiskrim vanilla." Petah sahaja kanak-kanak berusia 7 tahun itu menerangkan. Safa hanya mengangguk. Entah faham atau tidak adiknya yang baru mencecah usia 3 tahun itu. Baru sahaja Sofea mahu memesan aiskrim, Safa menarik tangannya berkali-kali.
"Kakak, nak balik."
"Sekejap Safa. Kakak belum cakap lagi dekat pakcik nak aiskrim apa."
"Safa takut. Kakak, jom balik."
"Takut?" Tidak sempat Sofea bertanya, adiknya terlebih dahulu melepaskan tangan dan melarikan diri.
"Safa!" Sofea mula mengejar yang berlari agak laju. Dari sisi matanya, Sofea dapat melihat ada yang mengejar adiknya.
"Adik!"
"Aya." Panggilan Nek Yah mematikan lamunan Sofea. Nampaknya Nek Yah sudah selesai menjual kuih untuk hari ini.
"Nenda." Sofea cuba bangun menghampiri Nek Yah namun orang tua itu lebih pantas duduk di sebelahnya. Sebuah kotak merah dihulurkan.
"Apa ni nenda?" Nek Yah tidak menjawab malah hanya tersenyum. Anak rambut Sofea dibelai penuh kasih sayang. Cucu tunggalnya kini sudah besar panjang. Hanya Sofea ahli keluarganya yang masih tinggal.
"Dah 15 tahun cucu nenda ni. Makin cantik, makin sama dengan Khadijah." Sofea tersentak. Bagai baru timbul di ingatan yang hari Ini merupakan ulang tahun kelahirannya. Kotak tadi diperhatikan dengan senyum lebar.
"Terima kasih nenda." Sofea terus memeluk erat tubuh yang sudah menua itu. Walaupun sudah dimamah usia, ingatan Nek Yah sangat kuat. Sofea sendiri lupa akan tarikh hari ini.
"Bukalah." Sofea tersenyum lebar. Laju dia mengoyakkan pembalut hadiah itu.
"Nenda..." Rantai emas berloket yang sungguh cantik terletak di dalam kotak itu. Sofea geleng kepala tanda tidak percaya.
"Nenda, mahal ni..." Dibukanya loket itu pula. Tersemat indah gambar dia, Nek Yah, arwah ibu bapa dan adiknya.
"Lagi mahal cucu nenda seorang ini. Tak ternilai. Jutaan ringgit pun tak mampu membeli seorang Sofea Irdina." Penuh syahdu Nek Yah tuturkan kata-kata itu tanda dia benar-benar memaksudkannya.
"Nenda..." Tubuh Nek Yah dipeluk sekali lagi. Hari ini, air matanya mengalir lagi. Entah bagaimana dia mahu ungkapkan rasa syukur kerana dikurniakan nenek sebaik ini.
"Aya sayang nenda. Aya sayang nenda. Aya sayang nenda."
"Nenda pun sayangkan Aya." Hari itu bagaikan hari yang terindah buatnya. Seharian mereka meluangkan masa bersama bagaikan itu hari terakhir mereka.
YOU ARE READING
Carnation
RomanceBerdamai dengan takdir, walaupun ianya menyakitkan. Pastu ada hikmahnya. Adakah bahagia dunia itu miliknya?