- 10 -

106 8 8
                                    

"SOFEA Irdina!" Terus tegak kepala Sofea apabila namanya dilaung begitu kuat. Dipandangnya keadaan sekeliling. Rakan-rakannya semua sedang melihat ke arahnya.

"Tak cukup-cukup lagi tidur dalam kelas?" Cikgu Dahlia bercekak pinggang. Penat dia terangkan termokimia ni. Dari endortermik, sampai eksotermik dia lihat Sofea sudah berlayar ke alam mimpi. Sofea pula masih terkebil-kebil.

"Telinga cikgu ni dah penat dengar nama kamu asyik naik dekat bilik guru. Awak tak malu ke?" Suara Cikgu Dahlia kedengaran letih bercampur kasihan. Tiada langsung unsur menyindir kerana dia tahu puncanya tak lain tak bukan adalah kejadian tempoh hari. Sofea seolah-olah tiada semangat lagi mahu meneruskan pelajaran. Sebagai seorang guru yang mempunyai adik sebaya Sofea, dia memahami rentak remaja itu.

Sofea masih diam. Dia mula bertongkat dagu sambil merenung ke luar tingkap.

"Malu? Kelakarnya perkataan tu. Saya layak ke ada sifat malu lagi?" Sofea tersenyum nipis. Matanya galak memerhati burung yang melintasi tingkap kelas mereka di tingkat 3 itu. Teringin juga dia memiliki sayap itu agar dia dapat terbang tinggi melihat keindahan dunia yang tidak mampu dia lihat dari sudut dirinya yang kerdil,

"Ya, awak layak. Awak nak protes sebab kes tempoh hari? Nama awak dah bersih, Sofea. Awak tak perlu protes. Tolonglah jangan macam ni lagi. Saya dah penat dengar orang cakap buruk mengenai kamu. Saya tahu kamu baik, Sofea." Cikgu Dahlia berbicara lembut. Sepanjang dia mengajar gadis itu, dia sedar gadis itu ada kesitimewaannya walaupun ura-ura mengatakan Sofea sangat nakal. Tetapi Cikgu Dahlia tahu itu hanya satu kepura-puraan kerana dalam tidak sedar, Sofea selalu menunjukkan sikap aslinya yang suka membantu rakan-rakannya. Sangat berbeza dengan apa yang digosipkan.

Sofea hela nafas berat. Apabila dia menoleh ke hadapan, kelihatan Cikgu Dahlia dan rakan-rakannya sudah menumpukan perhatian ke arahnya. Ah dia benci pandangan mereka sekarang terhadapnya. Pandangan simpati.

"Saya minta-maaf sebab mengganggu cikgu mengajar. Izinkan saya keluar." Sofea terus berdiri setelah mendengar kata-kata itu. Baik? Baik pun tak ada guna kalau asyik dibenci.

"Tak boleh! Saya suruh awak bangun sahaja. Bukan halau. Teruskan duduk, kita sambung pelajaran." Cikgu Dahlia cuba kembali ke sesi pembelajaran kerana dia juga tahu sifat Sofea yang tidak suka mengalah.

"Saya nak keluar, cikgu. Apa gunanya saya dekat sini kalau saya asyik menaikkan darah cikgu? Orang lain pun tak tenang belajar." Cikgu Dahlia tarik nafas dalam. Sudah dijangka kata-kata begini akan keluar dari mulut anak muridnya. Sungguh dia kasihan dengan Sofea. Pasti ada seribu satu perkara terpendam yang membuat dia jadi begini.

"Tanggungjawab cikgu didik kamu semua, Sofea. Cikgu tak nak ada yang tercicir. Duduk. Kamu anak murid cikgu yang baikkan?" Cikgu Dahlia memujuk lembut membuatkan Sofea terdiam.

"Sofea... anak cikgu yang baik dan cemerlang. Kita sambung belajar ya, sayang?" Sofea ketap bibir. Suara lembut memujuk Cikgu Dahlia menjetik tangkai hatinya. Rasa sebak mula bertandang. Air matanya bergenang kerana begitulah suara Puan Wati memujuknya setiap kali dia berduka. Kini, sudah hampir sebulan dia tidak bertemu dengan wanita itu.

"Tolong hentikan..." Bergetar suara Sofea berkata.

"Jangan buat baik dengan saya, cikgu. Sebab saya tak sanggup kehilangan lagi." Tanpa pamit, Sofea terus berlari keluar.

"Sofea!" Cikgu Dahlia menghela nafas berat. Niatnya cuma mahu menyedarkan Sofea yang dia sedang membinasakan dirinya sendiri namun lain pula yang berlaku.

Sofea berlari ke arah tempat persembunyiannya seperti biasa. Hampir sahaja dia berlari memeluk Cikgu Dahlia tadi yang merupakan antara guru yang selalu memahaminya. Dia mahu, tetapi dia tak sanggup andai kata ada sesuatu yang berlaku lagi dan menyebabkan guru itu mula membencinya. Dia sudah merasa peritnya. Beberapa guru yang dari dulu selalu memberi sokongan dalam diam kepadanya kini sudah mula meletakkan jarak setelah kejadian tempoh hari. Ada juga yang masih tidak mempercayai rakaman CCTV yang ditunjukkan dan mahu mendengar sendiri penjelasan dari Hidayah yang entah bila akan sedarkan diri.

CarnationWhere stories live. Discover now